Bermula dari kesedaran, rumah sendiri, sehinggalah jadi NGO global…

Sds
Bermula dari kesedaran, rumah sendiri, sehinggalah jadi NGO global…

Apa yang akan anda lakukan apabila berdepan dengan kemiskinan? Sama ada anda merasainya sendiri atau anda menyaksikan kemiskinan tersebut di depan mata? Apa yang akan anda lakukan?

Ya, kita bukan ahli politik yang mampu menabur janji dan wang ringgit untuk membantu golongan yang tertindas dek kemiskinan ini. Tapi, ia bukanlah penghalang untuk kita membantu sesama manusia. Pada tahun 1996, Najah Bazzy masih ingat saat-saat awal dia menyaksikan kemiskinan yang akhirnya merubah perjalanan hidupnya di kemudian hari.

Najah Bazzy At Zaman International In Inkster 1
Najah Bazzy – via ReadTheSpirit

Kematian yang menghidupkan sebuah gerakan…

Semasa bertugas sebagai seorang jururawat, dia ditugaskan untuk memberi rawatan kepada sebuah keluarga pelarian dari Iraq di rumah mereka. Bayi mereka nazak! Dari apa yang dilihatnya pula, rumah keluarga miskin ini tidak ada sebarang keperluan hidup langsung! Tak ada peti ais, tak ada dapur… dan bayi mereka hanya diletakkan dalam bakul baju beralaskan tuala sahaja. Tidak lama selepas itu, keluarga tersebut kehilangan bayi mereka yang  menemui ajalnya. Yang lebih menyayat hati, untuk mengebumikan anak mereka pun, mereka tak ada wang.

Zaman Burial Park
Antara usaha terawal Zaman International ialah mereka membeli tanah khusus untuk membantu mengebumikan anak-anak pelarian ketika era pasca Perang Teluk – via Zaman International

Sejak itulah, Najah bertekad untuk menggerakkan komuniti kebajikan yang dapat membantu golongan yang memerlukan. Dia telah mengajak penduduk setempat untuk bersama-sama berganding bahu menderma barang terpakai, makanan, pakaian dan keperluan hidup buat fakir miskin.

Usaha awalnya itu dimulakan dengan sebuah van mini milik keluarganya untuk mengumpul dan mengedarkan hasil derma tersebut kepada penduduk miskin di kawasan kejiranannya.

Daripada sebuah komuniti setempat kepada sebuah organisasi antarabangsa…

Hari ini, Zaman International, sebuah NGO yang diasaskan oleh Najah dan komunitinya telah bertapak dengan kukuh di Detroit, Amerika Syarikat. Buat yang tak tahu, Detroit merupakan antara bandar termiskin di Amerika Syarikat. Hampir sepertiga daripada penduduk di situ hidup melarat dan separuh daripadanya adalah kanak-kanak dari keluarga miskin.

Bangunan Zaman International
Gudang NGO Zaman International – via LaunchGood

Usaha yang bermula dengan kesedaran terhadap kemiskinan masyarakat ini kini telah berhasil membantu lebih 250,000 warga miskin yang memerlukan, khususnya golongan ibu tunggal.

“Women walk in and they are in desperate need, and they walk out with their basic needs met.” – Najah Bazzy, CEO Zaman International

Mereka datang dalam keadaan terdesak, NGO ini pula bekerja keras untuk menstabilkan kehidupan mereka dengan memberi pertolongan dalam bentuk keperluan asas. Bagaimanakah mereka melakukannya? Dengan menubuhkan sebuah kedai seperti ‘Good Deeds Resale Shop’. 

Di kedai ini, kata Najah lagi, “Ibu-ibu yang datang ke sini akan diberikan baucar, dan mereka bebas berbelanja dengan baucar tersebut tanpa perlu membayar apa-apa. Mereka dapat rasa bagaimana orang-orang yang berkemampuan berbelanja. Ia memberi sebuah pengalaman yang buat mereka rasa bermaruah (dignified).”

Kalau di Malaysia, konsepnya samalah seperti ‘Free Market‘ yang pernah diusahakan oleh aktivis seperti Syed Azmi.

Memperkasakan kaum wanita seperti golongan ibu tunggal…

NGO ini juga turut menawarkan program yang dapat membantu mereka yang memerlukan pekerjaan dan kursus kemahiran yang dapat melatih peserta untuk menambahkan skill bagi menampung kehidupan mereka seperti kursus menjahit dan kursus kulinari.

Zaman Training
Kursus Menjahit anjuran Zaman International – via Zaman International

Menurut sebuah wawancara di portal CNN, Najah menyatakan sememangnya usaha mereka bermula dengan hendak meringankan beban orang yang miskin yang memerlukan, namun, mereka dapati bahawa golongan yang lebih memerlukan dan perlu diberikan perhatian adalah kaum ibu tunggal, yang terpaksa membesarkan anak-anak tanpa mempunyai sebarang pendapatan tetap.

Adakah agama anda yang mendorong kerja-kerja kebajikan sebegini?

Itulah antara soalan yang ditanya kepada Najah. Dengan tersenyum, ia menjawab dengan penuh yakin;

“Organisasi kami bolehlah dikatakan macam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu versi mini. Anda akan dapat lihat orang African American, Arab, Yahudi, gay, OKU dan semua orang pun, bekerjasama di sini. Itu yang saya suka. Bagi saya, lambang keimanan yang tertinggi adalah ‘kebersamaan’. Islam banyak mengajar tentang kemanusiaan tapi saya akan tetap menjadi manusia seperti hari ini walau apa pun agama saya. Kerana dalam hati saya, saya percaya bahawa kita semua adalah dalam keluarga yang sama, ‘manusia’.”

Najah, adalah salah seorang manusia yang memilih untuk menyebarkan cinta dan kemanusiaan, biarpun muslim di Amerika Syarikat pernah mengalami saat-saat getir dengan kemuncak Islamphobia pasca perisitiwa 9/11.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top