Ini ringkasan undang-undang yang sebabkan rakyat Indonesia turun ke jalanan

F1
Ini ringkasan undang-undang yang sebabkan rakyat Indonesia turun ke jalanan

Baru-baru ni, hangat jugak berita demonstrasi besar-besaran yang berlaku di Indonesia. Ia tular kat media sosial, dan mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat kita tentang apa yang berlaku di sana. Setakat ni, ada beberapa demonstrasi besar-besaran telah diadakan kat beberapa negara jiran seperti Filipina.

728 X 90

Apa sebenarnya yang buatkan rakyat Indonesia keluar beramai-ramai membantah kerajaannya? Sebelum kita nak bagi sokongan atau bantahan atas solidariti serumpun, kita pun kena faham dulu apa yang berlaku di sana. Barulah mudah untuk kita nak bagi pandangan.

Protestors Indonesia
Via The Asean Post

Undang-undang Omnibus suatu tindakan yang besar, padanlah rakyat Indonesia terkejut

Sebelum ni, kami dah banyak menulis tentang Jokowi yang pernah dipuji ramai kerana sifat kepimpinan dan dedikasinya dalam memajukan Indonesia. Namun tu cerita yang lain. Cerita kali ni, Jokowi pulak ditentang rakyatnya sendiri apabila timbulnya isu ‘undang-undang omnibus’ pada awal tahun ni.

Pertama sekali kita kena faham dulu apa tu undang-undang omnibus. Undang-undang ‘omnibus’ ni maksudnya satu undang-undang yang menggantikan pelbagai undang-undang. Dalam situasi di Indonesia, Undang-undang Cipta Kerja digubal bagi menyelesaikan masalah undang-undang gaji minimum, pampasan pemberhentian pekerja, mengurangkan kerenah birokrasi kelulusan projek, undang-undang tanah dan banyak lagi.

Omnibus Law Jawapos
Via Jawapos

Jadi secara umumnya, kita boleh faham bahawa apa yang tak dipersetujui rakyat kat sana adalah berkaitan dengan pekerjaan dan hak-hak pekerja serta para peniaga di sana. Penggubalan undang-undang pekerjaan ni adalah untuk tarik sebanyak mana pelabur asing untuk datang membuka perniagaan mereka kat Indonesia.

Kertas cadangan penggubalan undang-undang pekerjaan di sana pun dah tebal, iaitu sebanyak 1,028 halaman dengan 73 pindaan akta. Ni boleh dilihat sebagai satu tindakan yang besar sebab boleh dikatakan nak ubah hampir sebahagian besar ekosistem hubungan industri tu sendiri. Malah perubahan besar ni dikatakan tak dibincangkan terlebih dahulu pun oleh para persatuan sekerja kat sana. Apa taknya rakyat Indonesia pun terkejut dengan cadangan tersebut.

Ni ringkasan perubahan yang dicadangkan, banyak yang mungkin memberi impak yang buruk pada kebajikan pekerja

The Jakarta Post dah ringkaskan beberapa pindaan besar yang dicadangkan dalam kertas cadangan Jokowi tu. Jadi kami nak jugak simpulkan lagi secara mudah supaya korang boleh faham dan bayangkan kesan penggubalan ni terhadap rakyat Indonesia khususnya kaum pekerja di sana. Berikut adalah carta mudah untuk korang lihat cadangan pindaan yang penting.

Omnibus Law
Via The Jakarta Post

Antara pindaan terbesar yang dicadangkan adalah dari segi aktiviti perniagaan dan ekosistem perniagaan yang lebih mesra pelabur. Memandangkan Indonesia nak tarik minat para pelabur, maka sedikit sebanyak pindaan tu akan melonggarkan ruang untuk para pelabur membuka perniagaan di sana. Misalnya, mereka banyak memansuhkan syarat-syarat yang harus dipenuhi untuk dapatkan lesen perniagaan termasuklah syarat keselamatan bangunan dan kemudahan untuk OKU.

Namun dalam masa yang sama, ruang nak dapat lesen perniagaan yang semakin mudah tu jugak membolehkan lebih banyak penciptaan kerja untuk rakyatnya. Selain tu, pengurusan nak dapatkan lesen jugak turut dipercepatkan apabila prosedur nak mohon lesen perniagaan tak serumit dahulu terutamanya bila banyak syarat terpaksa dipenuhi hanya nak lulus permohonan dapatkan lesen.

Indonesia Labur Omnibus
Via The Jakarta Post

Untuk para pekerja pulak, haa bahagian ni yang buatkan ramai rakyat Indonesia tak puas hati. Dahulunya, para pekerja di Indonesia boleh saman syarikat dalam mahkamah industri jika nak cabar keputusan syarikat nak lepaskan pekerja tersebut. Dalam kertas cadangan tu, hak ni dimansuhkan dan digantikan dalam program keselamatan sosial. Program tu pun tak percuma ye, kena bayar premium kalau nak lebih banyak perlindungan.

Para majikan jugak tak diwajibkan lagi untuk bayar gaji para pekerja khususnya dalam industri berat dengan kadar gaji minimum yang ditetapkan di peringkat negeri. Majikan boleh bayar ikut kadar yang diusulkan gabenor (kat Indonesia, peranannya macam ketua negeri), tapi mesti di atas kadar garis kemiskinan. Walaupun begitu, majikan kena bagi bonus setiap tahun.

Gaji Minimum Pekerja
Ada kata gaji minimum di Indonesia lebih baik dari Malaysia… Via Ekonomi Rakyat

Ada beberapa lagi yang kami tak huraikan lebih lanjut, seperti hubungan kerajaan negeri dan kerajaan pusat sebab demonstrasi besaran yang kita lihat sekarang ni banyak menonjolkan ketidakpuashatian para pekerja. Korang boleh rujuk lebih lanjut mengenai ringkasan The Jakarta Post kat sini.

Kertas cadangan tu ditentang dan dikritik ramai, Jokowi kata rakyat tak dapat informasi yang betul

Demonstrasi besar-besaran yang berlaku di serata negara tersebut menunjukkan penolakan keras rakyatnya terhadap kertas cadangan pindaan tersebut. Cadangan tu pun sebenarnya dah diluluskan oleh Parlimen pada awal bulan ni, jadi hal ni membuatkan rakyat kemudiannya turun ke jalanan untuk menyatakan pendirian mereka.

Beberapa kritikan yang dilontarkan adalah pindaan undang-undang cipta kerja tu merugikan para pekerja dan melemahkan perlindungan alam sekitar. Kesatuan pekerja, pelajar dan ahli akademik juga mengkritik Rang Undang-Undang (RUU) itu kerana kerajaan dianggap kurang berunding terlebih dulu dan terus meluluskannya.

Beberapa gabenor lain jugak kata akan menulis surat kepada Presiden untuk mempertimbangkan pembatalan ke atas pindaan undang-undang tersebut. Kenyataan gabenor-gabenor ni jugak sebenarnya adalah untuk surutkan kebingungan rakyat provinsi mereka berikutan tindakan Jokowi tu.

Jokowi kata para pendemonstran ni sebenarnya tak berapa faham kebaikan pindaan tersebut, kerana pada waktu jangka panjang, ni akan membuka peluang yang lebih besar untuk para penganggur di negara tersebut. Selain tu, dia jugak menyarankan golongan pembantah ni agar cabar kelulusan undang-undang tersebut di mahkamah Perlembagaan je. Saranan ni disahut kembali oleh kumpulan pekerja dan NGO Islam termasuklah Nahdatul Ulama.

Nu Muhammadiyah Tolak Omnibus Law
Poster NU dan Muhammadiyah bersama tolak Omnibus Law.. Via Pinterpolitik

Kami harap ia dapat diselesaikan secara baik dimana pihak kerajaan dapat mendengar luahan rakyatnya, manakala rakyatnya jugak dapat bersetuju dalam ketetapan yang bersesuaian. Perubahan yang dicadangkannya datang dari hasrat yang praktikal, namun perlu diperbaiki. Tentunya perubahan besar sebegini akan menimbulkan konflik jika tak diuruskan dengan baik. Konflik dalaman ni hanya akan melemahkan sesebuah negara, lagi-lagi dalam situasi pandemik sekarang ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top