Berdekad lamanya kita bersolidariti terhadap penderitaan dan nasib malang yang menimpa penduduk Palestin, khususnya di Gaza. Ramai antara kita jugak banyak memberikan bantuan baik dari kewangan ataupun barangan lain yang diperlukan di sana. Namun begitu, perubahan situasi dunia dengan kemunculan pandemik COVID-19 ni tentunya memberi impak yang lebih buruk kepada para penduduk di Palestin.
Dalam perkhabaran yang sama, Israel pulak dinobat menjadi negara terpantas yang dah berjaya vaksinkan rakyatnya. Kegembiraan ni walaupun begitu, dibina daripada penderitaan dan ketidakadilan; Gaza dibiarkan mati dengan kit ujian saringan yang dah habis dan dihalang daripada menerima vaksin oleh Israel.
Israel bangga jadi negara paling cepat vaksinkan rakyatnya, membelakangkan kawasan Palestin yang dijajah
Nak kata Palestin takde kes jangkitan? Tak boleh jugak… ada je laporan kes mereka. Ikut laporan Worldometer, Palestin mencatatkan sebanyak lebih 150,000 kes dari tahun lalu hingga awal tahun ni. Bagaimanapun, catatan laporan kes ni mungkin sekali dilihat rendah sebab di Gaza pada Disember lalu… kit ujian saringan COVID-19 dah habis. Al Jazeera melaporkan, Gaza amat memerlukan bantuan kesihatan termasuklah infrastruktur yang sesuai.
Satu-satunya makmal yang boleh buat ujian saringan tu pun tak lagi dapat dioperasikan kerana kekurangan peralatan. Oleh demikian, Ahmed Mushtaha yang merupakan pengarah makmal tersebut kata dia dah cuba minta bantuan daripada WHO, PBB dan pihak berkuasa Palestin (PA). PA pun tak boleh tolong kerana kawasan mereka di Tebing Barat tu pun bergelut akibat kekurangan kit ujian saringan.
Susulan tu, United Nation Relief and Works Agency memberi amaran bahawa sistem sokongan kesihatan Palestin berkemungkinan akan lumpuh sekiranya jumlah kes aktif terus meningkat. Wakil kanan Hamas menambah, mereka dah buat ‘lockdown’ bermula 11 Disember hingga akhir bulan tersebut. Tempat-tempat awam seperti sekolah, universiti, masjid dan tadika tak dibenarkan beroperasi dalam waktu tersebut.
Sementara itu, Israel pulak tengah gembira dan bangga apabila rakyatnya dah menerima sebuah dos suntikan vaksin Pfizer. Ketika Palestin tengah ‘lockdown’, Israel baru nak mulakan program vaksinasi kepada hampir 10 peratus rakyatnya. New York Times menceritakan apa rahsia di sebalik program vaksinasi Israel ni. Hah, bila kami sebut rahsia… buang ke laut je lah teori konspirasi tu. Kami tak terangkan konspirasi, kami terangkan fakta ye.
Macam kisah bagaimana kita buat rundingan vaksin Pfizer; Israel pun buat perkara yang sama. Rahsia utama di sebalik kejayaan Israel ada 2 je, mereka ada sistem pangkalan data kesihatan yang baik dan populasi hanya sekadar 9 juta orang je. Oleh sebab tu, amatlah mudah untuk mereka dakwa paling berjaya vaksinasikan rakyatnya. Bila mereka dah terlebih ‘claim’ macam tu, ni buatkan dunia tertanya-tanya pulak dengan kebajikan penduduk Palestin khasnya yang berada dalam kawasan taklukan Israel.
Dunia persoal keangkuhan Israel, Malaysia pun tegur perangai sebar fitnah palsu dari media Israel
Dalam laporan berita dari Times of Israel, Menteri Luar PA Riyad al-Maliki mengkritik Israel kerana tak berikan vaksin kepada warga Palestin. Tegasnya lagi, Palestin sepatutnya diberikan vaksin sebagaimana yang dah dilakukan kepada rakyat Israel yang lain; sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul Israel sebagai ‘occupier’ tanah Palestin tu. Malah permohonan rasmi dari Ramallah, sebuah kota Palestin hanya 10 km dari Jerusalem untuk vaksinasikan petugas kesihatan di sana pun tak dilayan.
Gilad Erdan menafikan perkara ni, dan berkata dalam Perjanjian Oslo, sepatutnya Palestinlah yang urus sendiri urusan imunisasi kepada rakyat Palestin. Dalam Perjanjian Oslo, sememangnya Palestin diberikan ruang untuk berkerajaan sendiri dan tetap akan diiktiraf oleh Israel. Memang betul jugak bahawa urusan kesihatan pun dah menjadi bidang kuasa Menteri Kesihatan di bawah kerajaan sendiri yang dah dibentuk dulu.
Tetapi di sinilah titik yang berjaya kaburkan mata ramai pihak – Israel tak pernah benar-benar memberikan ‘kuasa’ kepada kerajaan Palestin. Apa-apa benda, termasuklah makanan dan bantuan perubatan yang masuk ke dalam sempadan Palestin perlu permit daripada Israel. Israel jugak tak pernah angkat kaki daripada Tebing Barat dan Gaza, meskipun atas kertas, mereka kata dah iktiraf Palestinian Authority. Ni bermaksud Israel, secara realitinya, mempunyai tanggungjawab memberi vaksin kepada warga Palestin.
WHO dah minta Israel teruskan imunisasi kepada rakyat Palestin, tapi Israel tak dengar. Human Rights Watch turut meminta Israel berikan vaksin kepada Palestin, pun tak didengari jugak. Business Insider pulak cuba menjadi orang tengah kepada isu ini, dengan menyatakan bahawa sebenarnya ada orang Palestin yang dah dapat vaksin. Khabar ni dipetik dari beberapa laman media Israel, dengan dakwaan bahawa 20% warga Palestin dalam lingkungan 60 tahun dan ke atas dah diberikan vaksin.
Sebab utama yang diberikan adalah ketakutan orang Palestin terhadap risiko dan berita palsu yang tersebar, menimbulkan ketakutan kepada rakyat Palestin yang lain untuk terima vaksin tersebut. Dari satu sisi, mungkin perkara ni ada benarnya memandangkan ada sorang pakar di Malaysia pun ada keluarkan kenyataan menyelar dakwaan media Israel berkenaan vaksin Pfizer.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Kalaiarasu M Peariasamy kata media tempatan Israel dilihat sengaja menangguk di air keruh apabila keluarkan dakwaan bahawa 12,400 penerima vaksin tu positif COVID-19 lepas terima vaksin. Yang silapnya Israel ni pulak – lepas bagi vaksin tu, mereka tak kawal dah pergerakan penerima vaksin tu. Dahlah bagi satu dos je. Satu dos tu hanya beri perlindungan 50% je. Sebab tu untuk negara maju yang awal terima, mereka bagi 2 dos baru nak khabarkan ke seluruh dunia.
Bila dah terima vaksin, janganlah angkuh macam Israel ye…
Memandangkan kita pun tengah menunggu vaksin dan kini sedang dalam fasa pengujian, pengajaran paling utama yang dapat kita ambil daripada keangkuhan Israel ni adalah jangan sebar berita palsu dan janganlah melupakan norma baharu. Ada sebab kenapa ia dipanggil norma baharu, bermakna untuk 2-3 tahun lagi kita terpaksa berhati-hati dan menjaga jarak sehinggalah kita berjaya membina tahap imun kita daripada COVID-19.
Kembali kepada isu Palestin dan Israel; amatlah penting untuk kita memberi tekanan kepada Israel supaya turut melibatkan warga Palestin terutamanya dalam aspek kesihatan. Solusi lain yang dapat difikirkan adalah memberi bantuan kewangan kepada Palestin untuk merangka polisi imunisasinya sendiri tanpa perlu berharap kepada Israel. Israel boleh buat rundingan kerana mereka ada duit, jauh berbeza dengan situasi Palestin sebagai negara yang sengaja direncatkan pembangunannya oleh Israel.
Terbaharu, Israel akhirnya dikatakan nak bagi vaksin kepada warga Palestin. Tapi… ia bukanlah vaksin Pfizer. Sebaliknya, vaksin tersebut datangnya dari Rusia. Sejauh mana keberkesanannya? Kita tak pasti. Yang dapat kita kenalpasti adalah vaksin Rusia yang dimaksudkan tu adalah vaksin Sputnik V – dahulunya digelar vaksin pertama yang berjaya dihasilkan, sebelum vaksin Pfizer dan Moderna.