Kalau korang perasan, sekarang ni berita pasal kematian sorang lelaki berkulit hitam kat Amerika jadi topik bualan hangat seluruh dunia. Tapi apa yang buatkan dia ni istimewa sangat sehingga ada bangunan terbakar dan nampak huru-hara sangat dah kat Amerika tu?
Memandangkan protes-protes ni tengah berlaku di bandar-bandar utama di Amerika ketika kupasan ni ditulis, jadi kami akan mula dari bagaimana George Floyd ni kena tahan sampailah reaksi Trump sendiri bila dengar berita berlakunya protes seperti yang sekarang ni korang tengah perhatikan di media sosial.
Disyaki guna duit palsu, George Floyd jadi suspek setelah polis terima laporan pekerja kedai
Pada 25 Mei lalu, George Floyd ni pergi ke sebuah kedai runcit yang biasa dilawatinya, Cup Foods, bila nak beli barang-barang keperluan diri. Bos Cup Foods, Mike Abumayyaleh kata dia memang kenal pun dengan George ni, dan memujinya sebagai lelaki yang mesra dan tak pernah cetuskan masalah pun.
Tapi pada hari tu, bos tu takde jadi pekerja kedai tu yang jaga. Pekerja kedai tu kemudian telefon pihak polis, dan kata ada lelaki berkulit hitam beri duit palsu bernilai $20 nak beli rokok yang berharga $16.20. Menurutnya lagi, pekerja tu dakwa dia dah minta baik-baik dengan suspek berkulit hitam tersebut namun tak diendahkan. Pekerja tu pun cakap jugak yang suspek macam ‘mabuk’ dan ‘tak dapat kawal diri sendiri’.
Bila dua orang polis sampai ke tempat kejadian, mereka mendekati kereta George yang diletakkan dekat dengan sebuah persimpangan di kawasan tersebut. Thomas Lane, salah seorang pegawai polis yang sampai dahulu ke lokasi tu keluarkan sepucuk pistol dan mengarahkan George untuk keluar dari kereta.
Pada mulanya Thomas Lane, dalam kenyataannya, kata George enggan digari dan melawan percubaan nak gari tangannya. Lepas berjaya digari, barulah George dilihat tenang sedikit bila Thomas kata dia ditahan sebab jadi suspek guna duit palsu. Tapi tak berapa lama lepas tu, George dikatakan tak nak masuk ke dalam kereta polis dengan alasan dia rasa claustrophobic (rasa takut bila diletakkan dalam ruang yang sempit).
Tak lama lepas tu, datang pulak dua lagi pegawai polis iaitu Derek Chauvin dan Tao Thou. Mereka pun ikut paksa jugak George untuk masuk ke dalam kereta polis tu. Derek Chauvin kemudiannya tolak George hingga jatuh ke ruang jalan raya tu hingga terbaring dengan wajahnya tersembam ke lantai jalan raya yang kasar tu.
Derek kemudiannya letak sebelah lututnya kat belakang tengkuk George, manakala yang lain tengah tahan kaki dan tangan George yang telah pun digari tadi. Tao Thou tu pulak tengok-tengok je sambil melarang para pejalan kaki untuk mendekati mereka. Ramai yang rakam kejadian tu bising sebab George jerit-jerit tak dapat bernafas. Jeritan tu tak dipedulikan Derek Chauvin dan rakan-rakan polisnya.
Meronta minta diberi peluang bernafas dan mulai panggil ibunya, lutut di tengkuk sengaja dilepaskan terlalu lambat
Di sinilah detik penting yang buatkan ramai marah dengan keempat-empat anggota polis tu khususnya untuk Derek Chauvin dan Tao Thou. Detik ni lah yang terakam oleh para pejalan kaki yang sempat minta, ada yang merayu agar polis angkat lutut tu sebab George nampak betul-betul perlukan oksigen.
Kami yang tengok sebahagian dari klip video saat akhirnya pun rasa amat sedih dan ngeri, macam kami pun ada kat sana. Kami rasa orang awam pun boleh tau jika orang tu dah nampak seolah-olah nak putus nafas dan amat perlu oksigen. Tetapi oleh sebab lutut Derek Chauvin tu dilihat menghalang laluan pernafasan George, ni buatkan orang nampak Derek ni memang sengaja nak buat begitu kat George.
George sempat memanggil ibunya, yang dikatakan baru je beberapa bulan meninggal dunia sebelum tu. Kami rasa bila dah sampai meronta-ronta panggil ibu sendiri, George pastinya rasa amat takut dah pada waktu itu. Orang awam yang saksikan insiden tersebut pun ikut rasa sedih dan mulai berkeras suruh polis tengok wajahnya yang jelas nakkan udara.
Hanya 8 minit selepas George berhenti meronta dan bergerak, barulah Derek Chauvin lepaskan lututnya yang diletakkan betul-betul kat belakang tengkuk George. Tu pun hanya lepas digesa oleh orang awam untuk diperiksa nadi George lepas 6 minit tak bergerak, salah seorang anggota polis tu iaitu JA Kueng periksa nadi di tangan kanan George. Tu pun lutut Derek masih lagi kat tengkuk George.
Hanya bila dipastikan dah takde nadi, mayat George akhirnya dibawa ke Pusat Perubatan Hennepin County dengan ambulan lepas tu. Kisah ni sebenarnya bukanlah kisah tragik pertama dalam sejarah hubungan polis berkulit putih dengan rakyatnya yang berkulit hitam.
Beberapa minggu sebelum tu di Louisville, Kentucky; Breanna Taylor yang merupakan seorang petugas kecemasan terbunuh akibat ditembak oleh pihak polis yang mendakwa ada waran geledah rumahnya tengah-tengah malam. Rasisme jugak diheret masuk dalam fokus isu ni, iaitu dengan kes penembakan Ahmad Arbery yang dilakukan oleh dua orang berkulit putih pada Februari lalu.
Ramai mulai tak percaya dengan polis dan kerajaan hingga tunjuk perasaan, Trump pulak dikatakan lari ke bunker Rumah Putih
Selepas tularnya video tersebut, ramai jadi tak puas hati dengan tindakan polis lagi-lagi apabila mendapati bahawa Derek Chauvin tu pun sendiri mempunyai rekod keganasan lalu dan terlibat dalam insiden tembak-menembak, yang mana tiada satupun rekod tu dibuka dan diambil tindakan ke atasnya. Kena pulak si Derek ni pun dikatakan seorang white supremacist.
Protes dan demonstrasi besar-besaran mulai dirancang dan dijalankan, namun banyak jugak kes yang mana protes aman tu jadi semacam rusuhan lah pulak. Ada yang sampai bakar bangunan, termasuklah baling batu kat polis serta curi barang-barangan kat kedai.
Some protestors in Brooklyn calling to loot the Target, but organizers are rushing in front of the store to stop them, keep things non-violent #nycprotest pic.twitter.com/6x70cpcjep
— Andrew Solender (@AndrewSolender) May 31, 2020
Tu bukanlah niat sebenar penganjuran tunjuk perasaan. Ada dakwa sebahagian dari aksi ganas tu pun dilakukan oleh pegawai polis yang menyamar jadi sebahagian dari kumpulan penunjuk perasaan. Kalau tengok kat klip video yang dikongsi dari seorang pengguna Twitter, ada antara mereka siap halang orang jarah kedai runcit Target di Brooklyn.
Kami tengok Trump pun gagal kawal keadaan, dia menulis ciapan yang akhirnya ‘disembunyikan’ pihak Twitter atas sebab ia “mengagungkan keganasan”. Meskipun Derek Chauvin kini dah didakwa atas tuduhan membunuh, ia masih tak cukup lagi sebab rekod polis berkulit putih yang benar-benar disabitkan kesalahan khususnya di Minneapolis memang takde lagi.
Apabila gelombang protes tu sampai ke Washington D.C, Trump segera dipindahkan ke bunker Rumah Putih di mana Secret Service mendakwa ada antara mereka yang tercedera akibat dibaling benda-benda keras seperti batu, botol dan lain-lain. Ada jugak kata anggota Secret Service turut ditumbuk dan ditendang.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul… kita hanya boleh cuba ambil tahu apa sebenarnya yang berlaku supaya boleh diambil menjadi teladan esok hari. Yang pasti adalah masalah yang berlaku di Amerika kini adalah isu yang berakar dari pelbagai benda dan tak diselesaikan dengan baik buat masa yang lama. Kami turut berduka cita atas kematian George Floyd, dan berharap keluarganya dapat keadilan yang sewajarnya.