Kisah pengarang buku kelahiran Lubnan yang perangi gangguan seksual

“Saya tidak akan meminta maaf kerana menyuarakan kebenaran. Dan saya tidak akan berdiam diri.”

Itulah kata-kata penulis terkenal dan aktivis wanita, Najwa Zebian yang kini sudah lali dengan kritikan pelbagai pihak.

Beliau lantang dalam memperjuangkan hak mangsa jenayah seksual, baru-baru ini telah diancam dengan tindakan undang-undang atas dakwaan kononya beliau menfitnah seorang individu melakukan jenayah seksual. Namun menurut Najwa, perkara tersebut tidak menggoyahkan pendiriannya malah menjadikan beliau semakin lantang membantu golongan yang tertindas untuk sama-sama bersuara.

Via GC

Pada hujung tahun lepas, Najwa Zebian bertekad untuk mendedahkan identiti individu tersebut yang melakukan jenayah seksual di tempat kerja di laman Facebooknya.

Anak kelahiran Lubnan dan mula bermastautin di Kanada sejak usia remaja

Semasa perarakan besar Hari Wanita yang berlangsung di London, Ontario, dan Kanada, beliau bersama ramai aktivis yang lain menegaskan bahawa sudah tiba masa untuk wanita menjadi lebih berani untuk ke hadapan dan melawan segala bentuk penindasan.

Selain Najwa, kebanyakan mangsa yang bersuara juga berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ugutan saman, hilang pekerjaan dan reputasi bahkan ancaman keselamatan apabila mereka memilih untuk melaporkan penjenayah ke pihak berkuasa.

Via Dailyhunt

Wanita hebat ni merupakan anak kelahiran Lubnan dan mula bermastautin di Kanada sejak usia remaja. Walaupun sering dilihat sebagai aktivis dan penulis, Najwa Zebian merupakan seorang guru Bahasa Arab yang juga mengajar subjek kepimpinan di sebuah sekolah menengah.

Najwa kata – setiap hari, saya mengingatkan para pelajar untuk tidak membisu sekiranya mereka berdepan dengan sebarang ketidakadilan. Namun jauh di sudut hati, saya sendiri melihat pesanan ini tidak lebih dari hanya kata-kata.

“Saya malu, kerana itu saya berdiam diri sehingga perkara tersebut melemahkan diri. Saya meminta maaf kerana lambat bersuara” katanya semasa berada di London Abused Women’s Centre’s International Women’s Day Breakfast and Auction.

.

Peguam yang mewakili lelaki yang dituduhnya turut hadir untuk dengar ucapan Najwa

Ucapan Najwa yang berlangsung selama 30 minit itu diakhiri dengan tepukan gemuruh dan sokongan oleh semua yang hadir. Beliau menyeru agar semua pengusaha syarikat dan mereka dibarisan hadapan kepimpinan syarikat agar menilai semula prosedur siasatan kes gangguan seksual, lebih-lebih lagi yang melibatkan pekerja-pekerja bawahan.

Walaupun secara amnya memang ada undang-undang yang melindungi pekerja, secara praktikalnya, aduan daripada pekerja bawahan seringkali dipandang sebelah mata dan tidak dilayan

Yang menariknya, sepanjang ucapan Najwa, barisan peguam mewakili lelaki yang dituduhnya turut hadir untuk mendengar. Apabila ditanya oleh pihak media tempatan di sana, mereka menegaskan bahawa tujuan mereka hadir hanyalah untuk mendengar ucapan Najwa, dan tidak sama sekali untuk menghalangnya bersuara.

https://www.youtube.com/watch?v=TYfeLlQfwOM

Ketika ditemu ramah, Najwa berkata; “Saya menyuarakan hal ini untuk diri saya, supaya saya boleh sembuh dari masa lampau. Saya juga mahu mesej ini sampai ke semua wanita di luar sana agar mereka berani melakukan perkara yang sama. Jangan disebabkan malu atau ingin memelihara maruah keluarga dan kaum, kita menyembunyikan kejahatan orang lain. Kita tidak akan tenang dan sentiasa resah.”

“Luka silam yang dialami, hanya akan menyakitkan sekiranya tidak diluahkan. Kita tidak boleh membiarkannya ia berkuasa terhadap diri. Selepas bersuara dan menamakan individu yang menyakiti saya, seakan ada beban besar yang hilang dari bahu saya,”

Najwa, 27 tahun mula mendapat pengiktirafan ramai selepas terbitan buku pertamanya berjudul Mind Platter disusuli dengan buku keduanya, Nectar of Pain. Kedua-dua buku ini mendapat sambutan ramai dengan angka “likes” dan “retweet” yang tinggi dan sering dijadikan “qoutes” harian. Tulisannya yang berbentuk puitis itu sememangnya membuat para pembaca terkesan dengan lenggok bahasa yang seakan-akan memahami jiwa pembaca.

Buku Najwa. Via Talk with sosa

Najwa merupakan penggerak kepada kempen #MeToo

Tulisan Najwa itu turut diminati oleh selebriti terkenal Hollywood seperti LeAnn Rimes, Hilary Swank dan pengacara siri podcast popular School of Greatness, Lewis Howes.

“When you walk away from your source of pain, you start healing”, “These mountains you are carrying, you were only meant to climb” ini merupakan antara ungkapan Najwa yang selalu dikongsi di media sosial.

Selain daripada mempunyai hampir sejuta pengikut di Instagram dan ribuan lain di Facebok dan Twitter. Beliau juga sering mendapat liputan di portal berita seperti The New York Times dan CBS News. Najwa juga merupakan penggerak kepada kempen #MeToo. Kempen yang bertujuan untuk menggalakkan mangsa-mangsa jenayah seksual atau jenayah lain agar bersuara dan menceritakan pengalaman mereka.

Seorang wanita yang sopan, tapi berani untuk berhadapan dengan risiko

Secara peribadi, Najwa sangat beradab dan sopan. Dengan tenang beliau berkata “Saya tidak takut” sebelum memulakan ucapannya. Beliau juga amat berhati-hati dalam penggunaan kata bagi memastikan perhimpunan berjalan dengan aman.

Walau apa jua yang bakal terjadi di masa hadapan, Najwa berkata beliau tiada niat untuk berhenti sebagai seorang guru, di samping memberi inspirasi melalui penulisannya. Najwa kini sedang sibuk menyiapkan buku ketiganya dan bakal menyambung pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran. Beliau akan terus kuat tabah, sama seperti kata-katanya di Twitter pada Ogos lepas, “What they did will never be okay. But you will be. You will be.”

 

Artikel ini terjemahkan dari artikel Emirates Women yang bertajuk MeToo: How this Lebanon-born poet stood up to her harasser.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *