Krisis air di Afrika Selatan, diorang cadang nak tunda bongkah ais dari Antartika

Kapal Aisberg

Kita boleh hidup tanpa makanan lebih lama daripada kita hidup tanpa air. Sehari takde air kat rumah pun dah bingung macam mana nak mandi, nak cuci kain, nak urus diri dan keluarga, kan? Biasanya sumber bekalan air ni boleh diperolehi dari macam-macam cara – gali kat bawah tanah, ambil dan tapis dari air sungai atau laut, pasang pam supaya boleh tarik air dari kawasan tinggi…

Tapi macam mana kalau sumber bekalan air susah sangat nak didapati, hingga terpaksa catu teruk-teruk untuk setiap keluarga kat sebuah bandar yang dah memang padat dan besar? Ni lah masalah yang dihadapi oleh Cape Town, Afrika Selatan sekarang. Jadi nak selesaikan masalah tersebut, muncul pula cadangan pelik iaitu nak tunda bongkah ais besar dari Antartika!

Tow Iceberg
Mampu ke nak tunda bongkah ais besar tu? -Via Amusing Planet

‘Day Zero’ hari yang ditakuti dalam krisis air Afrika Selatan…

Lebih teruk, krisis air ni tak hanya bermula kat satu bahagian di Cape Town tu. Terdapat beberapa bahagian yang dah lebih awal kemarau, iaitu Northern dan Eastern Cape. Perkara ni bukanlah suatu yang normal kat Afrika Selatan, sebab boleh dikatakan taburan hujan pun takdelah sedikit mana. Namun faktor perubahan iklim dan cuaca yang tak menentu berperanan utama dalam hal krisis air ni.

Quartz Africa jelaskan bahawa beberapa masalah yang memungkinkan krisis air ni tambah teruk sampai melarat dari 2015 sampailah ke 2018 adalah kekurangan ‘tenaga pakar’ nak betul-betul ramal hujan tu bila. Dah beberapa kali ramal, tak kunjung tiba pulak hujannya. Tambah lagi, fenomena iklim El Nino banyak mengubah kadar hujan dan suhu kat sesebuah tempat.

Day Zero Cape Town
Terpaksa beratur panjang. -Via The Irish Times

Maka, kempen nak elak ‘Day Zero’ dilancarkan dengan catuan air untuk kegunaan penduduk tempatan. Tiap orang hanya dibekalkan 50 liter air untuk digunakan setiap hari, dengan 25 liter akan diberi tiap hari. Boleh jadi mereka boleh ambil sebanyak 2 kali jika perlu. Ketika ni, saluran air ke kawasan domestik menerusi paip ditutup sepanjang hari kecuali untuk kegunaan tandas je.

Walaupun dengan catuan tu, mereka masih takde cara lain nak ambil sumber bekalan air yang lebih lestari dan stabil nak isi empangan mereka. Empangan terbesar mereka, Theewaterskloof pun dah nampak semakin kering. Pihak hotel pula disuruh bekalkan je air masin kat laut tu sebagai air mandi para pelancong. Ada pula yang bergaduh sebab nak rebut air lebih. Mereka masih harapkan air hujan sebagai penyelamat utama.

Cape Town Theewaterskloof
Empangan Theewaterskloof boleh simpan hingga 480,000 megaliter air. -Via The TimesLIVE

Cadangan pelik, tapi bukan idea baharu…

‘Day Zero’ ni boleh dikatakan sebagai hari yang paling ditakuti kerana tu menandakan bahawa bekalan air mereka dah terlalu sikit, iaitu bila dah tinggal 13.5% lagi kat empangan mereka. Ertinya, sebahagian besar rakyat mereka tak akan dapat air langsung. Ditambah lagi dengan suasana panik yang boleh tercetus, ia hanya memburukkan keadaan hingga boleh darurat.

Nasib baiklah hujan dah turun dan mengisi sikit empangan yang dah nak kering tu. Pada awal tahun ni, kadar bekalan air mereka melonjak dari 28.8% pada tahun lalu kepada 63.1%. Kenaikan bekalan air pun juga ada kena mengena dengan amalan para penduduk termasuklah pegawai-pegawai besar mereka yang tegas nak jimat air. Mereka sedar bahawa mereka belum boleh tarik nafas lega lagi.

Carta Bekalan Air Afrika Selatan
Kemarau boleh terjadi lagi, maka kena bersedia. -Via Quartz Africa

Sebab tu, seorang kapten yang berpengalaman luas iaitu Nicholas Sloane bercadang nak bawa bongkah ais besar dari Antartika ke Afrika Selatan agar dapat tambah lebih banyak bekalan air untuk lebih 4 juta penduduk, termasuklah Cape Town. Bukanlah baru wujud sebenarnya ideanya tu, apatah lagi bila ia sampai ke telinga Raja Faisal, pemerintah Arab Saudi ketika tu. 2 kali percubaan Arab Saudi nak bawa aisberg, tak juga berjaya pada 70-an dan 80-an.

Namun kalau dalam skala kecil, sudah ada yang bawa ketulan-ketulan ais kat selatan Chile untuk dijadikan sebagai sumber penyejukan minuman mereka. Manakala pada 1960-an pula, syarikat petroleum biasanya akan tunda aisberg yang hanyut kat laut jika nampak macam boleh datangkan bahaya kat pelantar minyak mereka.

Aisberg Tunda
Gambaran kasar nak tunda aisberg. -Via The Engineering World

Kalau dilihat dalam perspektif sejarah, idea ni memang dah lama namun belum ada lagi yang berjaya bawa aisberg besar ke sebuah bandar. Tu cuma sejarah percubaan lalu, dan Nicholas Sloane ni tetap positif dengan perancangannya nak tunda bongkah ais besar untuk sampai ke Cape Town.

Tunda aisberg besar ke Afrika Selatan ada cabarannya…

Menurut temubualnya dengan Bloomberg, usaha nak tunda bongkah ais besar dari Antartika ni kena ada perancangan yang teliti, kumpulan pakar penyelidik yang hebat dan sudah tentu, kewangan yang mencukupi. Setakat ni, dia sendiri dah campur duit simpanan peribadinya sendiri ke dalam jangkaan kos projek tersebut iaitu lebih dari $100,000. Jumlah jangkaan keseluruhan kos tersebut adalah lebih $200,000 juta, dimana sebahagian besarnya disumbangkan oleh dua bank Afrika Selatan dan syarikat Water Vision AG.

Cara Aisberg Cape Town
Via The Times

Projek tu diberi nama ‘Southern Ice Project’ oleh Nicholas Sloan. Sekarang ni, projek ni dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ni kerana nak tunggu keadaan laut di Antartika tenang sedikit. Kalau nampak kat peta tu, kita boleh faham kenapa mereka boleh yakin projek mereka ni akan berjaya. Ia taklah jauh mana jika nak dibandingkan dengan rancangan Raja Faisal dulu.

Tetapi projek ni tetap ada risiko dan cabarannya yang tersendiri. Gelora laut kat Antartika ni kuat juga, hinggakan wujud kajian yang buktikan bahawa arus di kawasan laut tersebut secara semulajadinya kuat untuk melindungi Antartika tu. Antartic Circumpolar Current (ACC) jadi punca kenapa Antartika boleh terus sejuk sedangkan Africa dan benua sekitarnya tak pula.

Ocean Temperature Antartic Aac Map
Via The Conversation.com

Selain tu, projek tersebut nakkan saiz bongkah ais yang boleh ditunda dan masih lagi mampu menambah jumlah bekalan air untuk Afrika Selatan. Ye lah, nanti macam peribahasa Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Kata Nicholas Sloan:

“Untuk jadikan ia dapat dilaksanakan, aisberg tersebut perlulah besar… secara idealnya, ia berukuran lebih kurang 1,000 meter, 500 meter lebar dan 250 meter dalam serta beratnya 125 juta tan… Ia akan bekalkan 20% keperluan air Cape Town untuk setahun.”

Harapan baharu untuk kawasan yang kekurangan air…

Jika projek ni berjaya, ia boleh jadi satu harapan baharu untuk kawasan-kawasan yang perlukan bekalan air macam yang dah berlaku kat Afrika Selatan ni. Jika keadaan kat Afrika Selatan terutamanya Cape Town tu berterusan, ia mungkin boleh jadi kota bandar pertama yang tak memiliki bekalan air.

Walau bagaimanapun, usaha sebegini perlu dipantau kerana kami khuatir jika aktiviti tunda aisberg ni mulai berleluasa dan bakal memburukkan ekosistem dunia. Dahlah iklim dunia dah berubah, paras air laut semakin tinggi hingga mampu jejaskan bandar sibuk… manalah tau kalau ada pula sanggup letak bom nak hancurkan plat ais kat Antartika tu untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *