Korang ingat lagi tak Steve Jobs, pengasas Apple Inc.? Dengan gaya penuh yakin, dia selalu muncul kat depan orang ramai dengan seluar jeans dan baju kolar ‘turtleneck’ warna hitam, kan? Pengaruh Jobs yang hidup dari 1955 sampai 2011 banyak bagi impak kat orang lain, sampai ramai yang terinspirasi dengan dia. Tak kurang jugak, ramai yang jadi taksub untuk tiru kejayaan dia.
Antara kes yang paling terkenal adalah Elizabeth Holmes, pengasas Theranos, sebuah syarikat kesihatan yang membuatkan pengasas dia jadi popular dan kaya gila, tapi akhirnya tersungkur di lembah kehinaan. Kat sini kitorang kongsikan fakta menarik tentang Holmes, seorang yang asalnya bilionair yang berjaya merevolusikan teknologi ujian darah, tapi terciduk bila kantoi dia sebenarnya adalah ‘scammer’ bertauliah.
Holmes dah mula ulangkaji pelajaran dan kerja sampai lewat malam dan pelajar cemerlang
Holmes lahir pada 3 Februari 1984 kat Washington D.C dan mengasaskan Theranos Inc., sebuah syarikat diagnostik kesihatan dari 2003 sampai 2018. Dia gagal habiskan pengajian kat Universiti Stanford, tapi mula jadi popular bila berjaya menubuhkan syarikat yang buat ujian darah sampai boleh ada kekayaan sebanyak $9 bilion.
Lepas kena buang dari Stanford masa umur 19 tahun, Holmes bercinta dengan Presiden dan COO Theranos ketika itu, Sunny Balwani yang tua 20 tahun dari dia. Macam Holmes, Balwani dikatakan suka membuli dan berlaku zalim kepada pekerja diorang. Diorang jugak suka nak tahu ke mana pekerja diorang pergi, walaupun lepas waktu bekerja.
Masa sekolah menengah, Holmes ulangkaji pelajaran dan kerja sampai lewat malam. Dia merupakan pelajar cemerlang – ‘straight A’s’ dan ada buat perniagaan sendiri – jual perisian untuk terjemah kod computer kepada sekolah kat China. Holmes mula belajar bahasa Mandarin dan dapat melawat Beijing masa dia belajar kat Standford.
Dia buat latihan praktikal kat Institut Genome, Singapura dan dapat kerja kat situ antaranya sebab fasih cakap Mandarin. Dia bincang dengan profesor dia, Channing Robertson untuk tubuhkan syarikat, dan dia kemudiannya asaskan Real-Time Cures. Masa awal penubuhan tu, slip gaji tersilap cetak nama “Real-Time Curses”. Lepas tu dia tukar nama syarikat tu kepada Theranos.
Pernah disenaraikan dalam senarai Forbes sebagai 400 orang terkaya kat Amerika pada 2014
Holmes pernah disenaraikan dalam senarai Forbes sebagai 400 orang terkaya kat Amerika pada 2014, dan digambarkan sebagai bilionair perempuan paling muda, yang kononnya kaya atas usaha sendiri – bukan warisan daripada Ahmad Albab. Bila dah popular dengan liputan dari Fortune dan Forbes, dapat pulak bagi ceramah TED Talk, dan jadi panelis forum bersama Bill Clinton dan Jack Ma (AliBaba), nama Holmes makin besar.
Lepas dah terkenal, ramailah nak jadi rakan niaga, antaranya; Capital Blue Cross, Cleveland Clinic, Walgreens dan Safeway yang bagi tawaran sampai berbilion dolar. Tapi sejak Jun 2016, Forbes mula mengurangkan jumlah anggaran kekayaan Holmes sampailah akhirnya dia didakwa kat mahkamah dan tak lagi ada pegangan saham dalam Theranos.
Dia popular sebab dikatakan genius sebab berjaya bawa revolusi ujian darah segera yang menjimatkan masa ramai orang. Dia jadi lagi terkenal sebab menggambarkan diri dia sebagai Steve Jobs versi perempuan. Dengan idea yang penuh revolusi, dengan gaya penuh karismatik, tak pernah ambik cuti dan baju hitam berkolar turtleneck menjadikan Holmes sangat hampir sebagai Jobs dengan jantina berbeza.
Dia kata, dengan hanya beberapa titik darah, alat dan mesin yang Theranos ada boleh kesan penyakit seseorang. Theranos dakwa yang diorang boleh kesan penyakit kanser dan kolestrol tinggi pada masa yang cepat dengan hanya perlukan jumlah darah yang sikit. Moyang Holmes, Christian Holmes adalah seorang doktor pakar bedah, jadi Holmes bercita-cita nak ikut jejak langkah dia dengan belajar perubatan. Tapi tak lama lepas tu baru dia sedar yang dia takutkan jarum.
Holmes selalu keluar dalam TV atau mana-mana forum dengan suara besar bernada rendah atau ‘baritone’
Untuk menampakkan dia adalah seorang pemimpin dan tokoh yang dominan dan perlu dihormati, Holmes selalu keluar dalam TV atau mana-mana forum dengan suara besar bernada rendah atau ‘baritone’. Sebenarnya, suara tu dibuat-buat, dan bukan suara asal dia. Ada banyak situasi bila Holmes terkantoi bila suara asal dia terkeluar.
Ramai jugak kawan-kawan dan pekerja Theranos yang bagitau diorang ada dengar Holmes guna suara asalnya dia yang kedengaran halus – biasanya masa dia mabuk. Dah mabuk, mestilah susah nak berlakon dan kawal suara, kan? Jadi, janganlah minum arak. Kalau dah mabuk, apa benda korang buat pun korang tak sedar.
Holmes ada seekor anjing baka ‘husky’ yang dia bagi nama Balto. Dengan konfiden Holmes bagitau semua orang yang Balto adalah serigala, sedangkan dah terang-terang makhluk tu anjing.
Holmes kata nama syarikat dia adalah akronim daripada terapi dan diagnosis, bersesuaian dengan apa yang syarikat diorang bekalkan. Realitinya, diorang gagal kenalpasti apa sebenarnya penyakit yang dialami pelanggan diorang, sebab alat dan mesin ujian darah yang Theranos hasilkan, gagal berfungsi dengan baik.
Holmes susah nak percaya orang lain, jadi dia ambik adik dia, Christian untuk kerja kat Theranos walaupun takda latar belakang perubatan atau sains, sampai dia jadi bilionair – dengan kekayaan $4.5 bilion. Mamat ni pulak bawak kawan-kawan dia yang jugak tak ada pengalaman atau latar belakang perubatan untuk masuk sekaki dan payung gaji diorang.
Masa tu orang dah mula sindir dan label Theranos dengan gelaran “Frat Pack” dan “Therabros” sebab utamakan kroni. Bab keselamatan syarikat memang Holmes obses, sampai sesiapa yang melawat ibu pejabat Theranos kena tanda tangan perjanjian kerahsiaan sebelum boleh masuk dan akan diiring pengawal keselamatan – walaupun masuk ke bilik air!
Dikatakan telah menipu pelabur Theranos sebanyak $700 juta
Ian Gibbons, ketua saintis Theranos dah bagi amaran sejak awal yang teknologi Theranos belum sesuai untuk diguna orang awam, tapi Holmes buat tak tau saja. Pada 2015, pihak berkuasa mula menyiasat Theranos dan jumpa macam-macam masalah tentang ujian klinikal syarikat tu yang tak tepat. Pada Oktober 2015, daripada laporan wartawan Wall Street Journal, John Carreyrou pasal masalah teknologi Theranos, maka ramai mula syak tentang kesahihan teknologi diorang. Bila dah kantoi yang teknologi tu tak berkesan pun, makmal ujian Theranos digantung operasi selama 2 tahun.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, tersembam juga ke jalan tar. Lepas mengecapi dunia glamour dan populariti yang penuh dengan fatamorgana, Holmes pun akhirnya terkantoi pada 2018. Pendakwaan pertama hadir pada Mac 2018, sampaikan Theranos terpaksa gulung tikar tak lama lepas tu. Dia didakwa sebab menipu pelabur Theranos sebanyak $700 juta untuk teknologi, perniagaan dan prestasi kewangan syarikat yang sebenarnya adalah satu skim penipuan besar-besaran.
Kalau didapati bersalah, Holmes boleh dipenjara sampai 20 tahun! Kes dia ni sekarang ditangguh ke Mac 2021 sebab Covid-19.