Semalam Dr Mahathir tular akibat telah mengatakan bahawa orang Islam ada hak untuk membunuh pada ciapan Twitternya, namun beberapa jam selepas ciapan itu mendapat kritikan – dia menjelaskan ciapan yang dia telah dilakukan diambil di luar konteks. Apa-apa pun, kami rasa dia telah melakukan kesilapan kerana bebenang yang menyebutkan ‘orang Islam ada hak untuk membunuh’ diletakkan pada bebenang tunggal. Sudah tentu orang akan melihat ia sebagai seruan untuk membunuh.
Akibat kegagalan Perancis menangani keadaan dan lebih mudah untuk menyelar orang Islam di sana, masyarakat Islam seluruh dunia termasuklah Malaysia sendiri mengecam Perancis. Siap ada lagi yang berkempen nak boikot barangan Perancis. Kenapa dah sampai macam tu sekali? Kami ringkaskan perkembangan isu yang berlaku di Perancis, dan reaksi dunia Islam terhadap tindakan Macron tu.
Akibat karikatur ala Nabi Muhammad, guru Perancis dibunuh dan dipenggal kepalanya oleh ekstremis dari Rusia
Pada 16 Oktober lalu, sorang guru sejarah di Perancis telah dibunuh dan dipenggal kepala semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Mangsa dikenali sebagai Samuel Paty, manakala pembunuhnya telah dikenalpasti dengan nama Abdoullakh Abouyedovich Anzorov yang merupakan sorang imigran pelarian Chechen dari Rusia.
Ni semua berlaku apabila Samuel Paty memulakan kelasnya dengan menunjukkan beberapa gambar yang menampilkan karikatur menyerupai Nabi Muhammad, kesemuanya diterbitkan oleh Charlie Hebdo, sebuah majalah satirikal di Perancis. Kalau korang masih ingat, peristiwa serangan ke atas syarikat Charlie Hebdo pun ada kena mengena jugak dengan tindakan mereka melukiskan imej-imej karikatur menyerupai Nabi Muhammad pada 2015.
Di Perancis, benda-benda macam ni cuba dinormalisasikan sebagai ‘kebebasan bersuara’. Begitulah jugak halnya dengan apa yang cuba dilakukan di dalam silibus kerajaan Perancis, dan dilaksanakan dalam kelas oleh guru sejarah dan moral Samuel Paty. Sebelum dia nak mula tu, memang dia ada tawarkan beberapa pelajar Islam dalam kelasnya untuk keluar dari kelas jika tak nak ikuti sesi tersebut.
Mengikut beberapa sumber, Samuel Paty kemudiannya menunjukkan beberapa lakaran yang dikatakan menyerupai Nabi Muhammad dari Charlie Hebdo kepada para pelajar dalam kelasnya tu. Lakaran-lakaran ni didakwa mengandungi unsur lucah, seperti karikatur sorang lelaki berserban yang tengah bogel.
Daripada sumber ni lah, sorang bapa kepada pelajar Samuel Paty iaitu Brahim Chnani tuduh Samuel Paty ni sebarkan bahan lucah dan menghina Nabi Muhammad. Khabar tersebut disebarkan lagi ke pengetahuan komuniti Islam di media sosial, ditambah lagi lepas Brahim Chnani ni buat laporan polis dan pernah bawa rombongan melibatkan ahli masjid Grande Mosque de Pantin untuk desak Samuel Paty dipecat dari sekolah.
Video desakan tersebut disiarkan dalam laman rasmi masjid tersebut, namun kini telah dipadamkan beberapa jam lepas pembunuhan Samuel Paty. Samuel Paty tak rasa benda tu salah pun, lalu dia failkan saman malu Brahim Chnani. Konflik tu berlangsung lebih teruk apabila Brahim Chnani sendiri bertindak mengajak untuk sama-sama menekan pentadbiran sekolah dan memburukkan Samuel Paty di media sosial.
Walaupun bukan Brahim Chnani yang bunuh, tetapi usaha Brahim Chnani menyebarkan dakwaan buruk ke atas Samuel Paty termasuklah mendedahkan alamat sekolah tempat Samuel mengajar tu menarik perhatian orang yang salah pulak. Pembunuhnya, Abdoullakh Abouyedovich Anzorov memang ada kaitan dengan kumpulan ISIS dan berhubungan dengan dua orang jihadis dari Syria menerusi IP yang dijejaki pihak polis.
Trauma masyarakat buatkan Islamofobia memuncak sehingga memisahkan Eropah dan dunia Islam
Presidennya Emmanuel Macron menyatakan simpatinya ke atas tragedi Samuel Paty, dan kelihatannya menyokong sentimen anti-Islam yang semakin menjadi-jadi. Tindakan agresif kerajaan Perancis lebih mengkucar-kacirkan keadaan kat sana, apabila ramai minoriti Islam di Perancis telah ditahan dan dihantar pulang, manakala persatuan bukan kerajaan yang memperjuangkan anti-Islamofobia digesa untuk dibubarkan oleh Menteri Dalam Negerinya sendiri.
Sentimen rakyat jugak memperlihatkan Perancis kini ‘diancam’ oleh Islamisme, dan mengugat semangat sekularisme yang menjadi intipati jiwa bangsa Perancis. Isu ni dilihat akan memberi ‘kelebihan’ kepada parti konservatif di sana untuk mempertimbangkan pemansuhan elemen keagamaan dalam sektor awam dan sistem pendidikan.
Bagai menyimbah minyak ke dalam api, ada pulak yang sengaja buat ‘stunt’ dengan memancarkan lakaran satirikal Charlie Hebdo mengenai Nabi Muhammad ke atas dinding bangunan kerajaan sebagai sebahagian dari tribut untuk memperingati Samuel Paty. Hal ni dikecam teruk oleh Erdogan, dan membawa kepada konflik antara negara apabila duta negara masing-masing dipanggil pulang.
Keadaan ni membawa kepada konflik yang lebih besar, iaitu apabila masyarakat Islam mulai memboikot membeli barang-barang import dari Perancis. Kita pun tak terkecuali jugak daripada mengeluarkan kenyataan terhadap Perancis.
Kita kena perangi fahaman radikal, tanpa mengira apa jua anutan pengikut radikal itu
Fahaman radikal dan ekstremisme agama kenalah diperangi, apatah lagi apabila ia membawa kepada kemusnahan dan perpecahan sesama manusia. Apa yang berlaku di Perancis seharusnya kita pelajari sebab ni jugak membantu kita melihat bagaimana menafsirkan dan memaknakan nilai kebebasan bersuara tu.
Kita harus menolak ekstremisme tanpa melihat apa agama yang dianuti. Tindakan guru itu memaparkan karikatur yang menghina agama lain sepatutnya ditolak, dalam masa yang sama – pembunuhan terhadap guru yang melakuka tindakan itu – harus mendapat kecaman yang sama daripada kita. Kita dapat lihat bagaimana kesan keganasan di Perancis, ia akan melahirkan keganasan yang baharu, dan lebih teruk.