Salah satu pengajaran yang dapat kita saksikan ketika pandemik berlangsung adalah keperluan untuk sesuaikan diri nak manfaatkan teknologi masa kini. Sejak sekolah terpaksa ditutup dan cara pembelajaran mulai bertukar ke dunia digital, pelbagai cabaran mula timbul. Kekangan gajet, masalah ketercapaian Internet tu sendiri, lepas tu nak cuba seimbangkan tekanan belajar di rumah… dan banyak lagi.
Oleh sebab tulah, ramai mencadangkan kita jadikan televisyen sebagai salah satu kaedah pembelajaran atas idea bahawa banyak keluarga B40 ni sepatutnya ada televisyen. Kalau takde gajet yang mencukupi untuk seluruh keluarga, televisyen boleh berfungsi sebagai ‘guru’ jugak. Namun idea yang baik ni tak datang tanpa pengorbanan…
Selamat tinggal NTV7, jasamu dikenang (ada ke?). Selamat datang DidikTV
Idea wujudkan sebuah saluran khas untuk pendidikan ni akhirnya disambut baik oleh kerajaan, namun kita terpaksa ucapkan jugak selamat tinggal kepada NTV7. Pada mulanya, ramai jugak terkejut sebab NTV7 ni saluran nostalgia untuk kanak-kanak zaman 2000-an. Apa taknya, macam-macam kartun serta anime dulu-dulu pernah ada kat NTV7. Drama Kantonis dan Mandarin pun ada, begitu jugak dengan saluran berita tambahan.
Dah menjadi adat dunia; setelah lebih 20 tahun bersiaran, akhirnya NTV7 tak lagi ke udara. Walaupun begitu, kami difahamkan NTV7 taklah benar-benar mati, sebab korang boleh je tonton kandungan NTV7 ni kat saluran Youtube rasmi mereka. DidikTV kini menggantikan posisi NTV7 sebagai peneman dan pemudahcara ilmu untuk ibu bapa serta anak-anak di rumah.
Selamat tinggal memori zaman kecil ku 🤞 https://t.co/nVhif88GB0 pic.twitter.com/qd31PYJ0eF
— . (@dnialhaikl) February 15, 2021
Sekurang-kurangnya ‘pemergian’ NTV7 ni bermakna jugak dengan adanya inisiatif KPM tu. Kata sorang murid yang ditemubual di Sik, dia teruja kerana saluran ni membolehkan dia belajar dengan lebih baik. Di rumahnya, capaian Internet kurang baik dan skrin telefonnya yang kecil membuatkan dia jugak kurang selesa untuk belajar.
“Sebelum ini, jika saya kongsi video tutorial, proses untuk memuat naik atau memuat turun video sangat lambat kerana masalah internet. Sekarang dengan DidikTV, pelajar akan lebih mudah untuk belajar tanpa gangguan. Sekiranya pelajar kurang faham subjek yang diajar menerusi tontonan TV, pasti guru akan lebih mudah memberi penerangan lanjut kerana kami juga melihat dan mendengar perkara yang sama di televisyen,” – Habibah Md Tanziri, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai di Kuala Ketil, Baling, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Untuk pihak guru jugak, mereka tak lagi terpaksa berhadapan dengan proses memuatnaik dan memuat turun bahan untuk para pelajar. Bila dah ada DidikTV ni, para pelajar luar bandar boleh belajar tanpa perlu fikirkan macam mana nak akses bahan belajar. Ibu bapa pun tak lagi kalut nak fikir macam mana nak ajar anak, dan boleh belajar sama-sama dengan anak.
TV Pendidikan ni jugak selaras dengan apa yang sepatutnya diajarkan dalam sesi pembelajaran dan pengajaran biasa, sekaligus merapatkan jurang antara kelas ekonomi dan sosial. Kesamarataan dalam pendidikan dapat dicapai, antara sorang pelajar yang takde gajet atau terpaksa berkongsi gajet hinggalah yang memiliki laptop serta ruang dan masa bersendirian untuk fokus belajar.
Ibu bapa dan keluarga di rumah pun boleh pantau kegiatan belajar antara satu sama lain. Dah keluar jadual, boleh tampal kat rumah dan ikut je sesi kelas dalam televisyen. Kalau sesi dalam talian, kadangkala keluarga pun tak dapat selia dan pantau aktiviti pembelajaran. Terutamanya untuk keluarga yang agak tegas, kalau dah nampak kelas tengah berlangsung depan mata; barulah mereka percaya korang tengah belajar.
Walaupun DidikTV merupakan idea yang bagus, ramai berbelah bahagi nak kesiankan guru atau ketawakan guru yang kendalikan sesi belajar
Penerimaan rakyat terhadap DidikTV ni kami yakin majoritinya setuju dan puji. Memandangkan ni jugak boleh dikatakan projek perintis sebenarnya untuk siaran televisyen pendidikan, jadi ada kalangan rakyat dah letak piawaian dan jangkaan tinggi terhadap DidikTV. Ye lah, kalau korang tonton siaran pendidikan Astro; kebanyakan daripada hos program tu bukanlah guru bertauliah yang dilatih untuk berucap depan televisyen.
Kisah sorang guru Sains yang tengah ajar murid Tahun 2 dalam DidikTV ditularkan dan dibincangkan di khalayak ramai. Kami difahamkan guru tersebut tengah ajar Sains dalam bahasa Inggeris, di bawah program Dual Language Programme (DLP). Kami ada sentuh sikit mengenai program ni dulu, semasa Dr. Mahathir bertegas nakkan subjek Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris.
Ramai tak kisah dengan sebutan serta tatabahasa bahasa Inggeris yang dituturkan oleh guru tersebut. Namun ada jugak yang berbeza rasa terhadap cara pertuturan guru yang kendalikan siaran subjek tu. Ada kata guru nampak kekok dan tak berkeyakinan, ada kata jugak sebutan guru ni tak jelas dan ‘tak lurus’. Ada jugak yang siap dakwa ni tandanya sistem pendidikan kita gagal, dan guru Malaysia tak berkualiti.
Lebih dikesalkan, ada yang mengejek dan mentertawakan guru tersebut hanya kerana tak bertutur bahasa Inggeris dengan baik. Segala kritikan yang dilontarkan ni kami rasa boleh dijawab dengan baik. Namun bila dah sampai mentertawakan seorang guru yang dirasakan tak cukup padu nak berbahasa Inggeris tu, tak hairanlah ramai yang marah dengan tindakan DJ Yusuf, kini bekas kakitangan Hitz FM Sarawak ni.
Bagi kami, amatlah perlu untuk kita maklum bahawa ni adalah projek perintis kerajaan. Guru-guru ni pulak bertauliah nak mengajar anak-anak, bukan menghiburkan korang yang dewasa ni. Bahkan, sesetengah yang mengkritik dan nekad sebut “sistem pendidikan Malaysia ni dah gagal” jugak nak kena tarbiah sikit ye: kekurangan bukan bererti kegagalan. Bila kita tak memperbaiki keadaan hingga musnah negara, tu baru kegagalan. Daripada kegagalan, kita jugak boleh bangkit dan belajar lagi.
Kerajaan kena mantapkan lagi DidikTV, masih ada yang mendesak agar guru yang lemah bahasa Inggeris tolak pelawaan DidikTV
Mungkin ada yang rasa kami dah macam jilat kerajaan apabila kami tegur sesetengah orang yang terus ‘lompat’ ke dalam kolam konklusi bahawa pendidikan negara tak berkualiti. Jikalau korang perasan, rata-ratanya orang yang sama jugak bernada sinis dan utarakan pendapat sedemikian bila satu negara ni heboh pasal predatory journal. Padahal kajian tu tak mencerminkan apa yang mereka percaya pun… mereka lebih percaya luahan rasa sorang pensyarah berbanding bersikap objektif dan baca kertas kajian tu sendiri.
Teo Nie Ching, bekas menteri pendidikan kata guru tak perlu dipersalahkan dalam hal ni kerana mereka hanya jalankan tugas mereka je. Walau bagaimanapun, KPM sepatutnya lebih bijak memilih guru untuk kendalikan rancangan pendidikan tu dan kena pastikan kandungan rancangan tu dengan baik. Teo Nie Ching zahirkan rasa terkejut apabila mengetahui bahawa guru-guru ni turut menulis skrip sendiri, sedangkan staf teknikal yang relevan boleh dimanfaatkan sebaiknya.
Bukan setakat staf teknikal; Adibah Noor yang sudah bertahun-tahun lamanya di depan kaca televisyen sendiri nak tawarkan diri untuk bantu guru-guru yang jadi pemudahcara sesi pembelajaran tu. Sebelum ni, tindakan Adibah Noor yang memperbetulkan sebutan Rina Harun dan pengacara televisyen mengundang pelbagai reaksi. Oleh tu, rasanya tak salah pun kalau KPM memperbaiki kualiti rancangan pendidikan tanpa perlu ‘memalukan’ para guru.
Pengerusi Gerakan Akademik Malaysia, Zaharom Nain pulak berpandangan semua pihak yang terlibat tu perlu disalahkan daripada belakang tabir hinggalah kepada guru tu sendiri. Pihak penerbitan silap sebab tak memberikan bantuan teknikal yang lebih baik dan memilih ‘muka depan’ yang lebih layak. Guru tu pun harus disalahkan sebab dia tak tolak pelawaan walhal penguasaan bahasa Inggerisnya lemah.
Selain tu, dia turut menyenaraikan beberapa lagi isu penguruan lain seperti latihan yang lemah dan gaji guru yang rendah. Berkenaan penguasaan bahasa Inggeris tu, sepatutnya kalaulah guru tu tak tolak pelawaan mengajar di DidikTV demi menjalankan perintah, ni membuktikan “kebodohan mentaliti feudalistik ‘saya yang menurut perintah’ ni” diperturunkan dari generasi lalu sehingga sekarang.
“Ini adalah sistem yang menghasilkan idea yang tidak begitu bijak untuk memulakan saluran TV baharu untuk pendidikan, malah mengabaikan pelbagai sumber perisian pendidikan yang dibuat secara profesional, yang boleh diperolehi secara percuma dan dalam talian. Ia seperti mencipta semula roda kayu ketika kita sudah mempunyai rim tayar sport dan tayar simpanan.”-seperti yang dipetik FMT
Di sini kita boleh berbeza pandangan dengan Prof Zaharom ni. Antara tujuan utama DidikTV adalah untuk mengurangkan pergantungan pembelajaran dalam talian, disebabkan akses ketercapaian Internet yang lemah di kawasan luar bandar. Yang isu latihan perguruan dilabelkan ‘lemah’ ni, korang boleh pertimbangkan sejauh mana pandangan Prof Zaharom tu boleh diterima pakai.
DidikTV akan terus diperbaiki walaupun lepas masuk sekolah, kami pun ada cadangan tersendiri untuk DidikTV
Memandangkan sekolah pun dah nak dibuka, KPM jelaskan DidikTV akan tetap berlangsung rancangannya. Kita mengharapkan KPM terus menekankan kualiti rancangan pendidikan yang terbaik untuk DidikTV ni. Kalau nak dilangsungkan lebih banyak saluran rancangan pendidikan, kami alu-alukan. Walaupun begitu, kami berharap DidikTV turut menambahkan sari kata di bawah tu supaya murid-murid lebih faham.
Antara cadangan lain yang kami rasa terbaik untuk DidikTV adalah berikan insentif kepada guru, atau mudahkan kerja guru yang bakal dijemput nanti dengan menyediakan skrip yang diluluskan KPM. Baik juga andainya dijemput jugak Adibah Noor atau Prof Zaharom Naim sebagai antara tenaga di belakang tabir DidikTV. Penambahbaikan berterusan inilah yang menghindarkan sistem pendidikan kita dianggap gagal oleh rakyat kita sendiri.