Bukan setakat lagu dan pelakon je yang ada anugerah, para penulis pun ada jugak anugerahnya yang tersendiri. Dari satu sudut, kita tak boleh ketepikan para penulis dalam bermacam-macam isu khususnya mengenai budaya membaca. Salah satu anugerah untuk meraikan penulis dalam lingkungan Asia Tenggara ni adalah Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award).
Anugerah ni agak menarik sebab ia menampilkan calon-calon penulis dari pelbagai negara seperti Thailand, Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura dan Vietnam. Karya penerima anugerah akan dipertimbangkan mengikut syarat dan kriteria yang telah digariskan, membuktikan bahawa perbezaan budaya dan bahasa tak jadi masalah apabila nak mengangkat sasterawan Asia Tenggara. Mari kita kenali beberapa penerima yang dah diumumkan awal tahun lalu…
1. Sasterawan otai jadi fokus utama, karyanya jadi kajian subjek Bahasa Melayu
Salah sorang sasterawan yang tersenarai sebagai penerima anugerah ni adalah Rejab F.I atau nama sebenarnya, Rejab Ismail dari Malaysia. Kami sebut dia dulu kerana dia antara sasterawan hebat dan lebih setengah abad hidupnya tu disumbangkan ke arah pembangunan sastera negara. Untuk pengetahuan korang, dia dah mula menulis sejak 1960. Tu dah sebelum pembentukan Malaysia pada 1963, jadi agak berpengalaman luas dalam penulisan sastera.
Sepanjang berkecimpung dalam sastera, rekod karyanya pun banyak jugak. 135 judul buku berjaya diterbitkan, cerpen eceran berjumlah 200 judul, puisi berjumlah 410 judul, drama (termasuklah pentas, radio dan televisyen) sebanyak 41 judul dan esei sebanyak 362 judul (105 judul esei sastera, 257 judul esei sosial dan kemasyarakatan). Nak gabung sekali… kira-kira lebih 1,000 judul jugak tu.
Tak hairanlah dengan jumlah sebesar tu serta pengalaman penulisannya yang cukup lama; dia dikalungkan gelaran penerima SEA Write Awards pada 2016. Beberapa buku yang mungkin korang pernah baca, ataupun kaji demi memenuhi keperluan korang lulus Komponen Sastera (KOMSAS) untuk subjek Bahasa Melayu adalah Sejambak Bakti, cerpen dalam Sehijau Warna Daun dan beberapa lagi. Dia turut menulis cerita rakyat untuk kanak-kanak dalam Siri Nilam Kasturi seperti “Batu Belah Batu Bertangkup” dan “Budi Sang Kancil”.
2. Sastera tak kenal usia, penulis wanita ni pegang rekod penerima termuda setakat ni
Salah satu tanggapan salah ramai adalah sasterawan ni kenalah sorang lelaki, ataupun kenalah yang dah berumur 30 tahun ke atas. Penulis wanita ni memecahkan kedua-dua rekod, sekaligus mencatat rekod penerima termuda sepanjang SEA Write Awards ni berlangsung sejak 1979. Penulis wanita ni adalah anak kelahiran Thailand, dan merupakan penerima SEA Write Awards pada 2017.
Usia muda bukan penghalang kejayaan untuk Jidanun Luengpiansamut, 25 tahun. Dia dah menulis sejak berumur 12 tahun dalam novel fiksyen dan beberapa cerpen bertemakan fantasi, seram, mistik dan fiksyen sains. Sebelum ni, dia memang dah menang banyak penghargaan dan anugerah atas tiket penulis amatur. Jika korang pernah tonton Bad Genius (psst.. ada kat Netflix Malaysia), haa dia pun pernah jugak tulis novel yang diinspirasikan oleh filem hangat tersebut.
Karya yang membawanya ke pentas SEA Write Awards adalah Singto Nok Khok (Rebellious Lion), yang mengandungi 9 cerpen bertemakan fiksyen, sains, distopia, fantasi dan futuristik. Cerpen-cerpen tersebut mesti sangat bagus sehingga melayakkan dirinya dibariskan bersama ramai calon penerima. Mengikut Insight Guides Thailand, Singto Nok Khok tu sebenarnya diinspirasikan daripada krisis politik Thailand pada 2010.
Disebabkan pergolakan politik dan kemangkatan rajanya, majlis anugerah SEA Write ni tak dapat dijalankan selama 3 tahun. Oleh demikian, hanya pada 2019 barulah ia diumumkan serentak pemenangnya untuk 3 tahun lalu iaitu 2016, 2017 dan 2018. Takpelah, buat sekaligus lebih meriah kelak apabila dah selamat untuk kita adakan majlis formal untuk raikan pemenang-pemenang ni.
3. Sanggup mengembara ke negara-negara lain demi ilmu menulis, akhirnya menang anugerah antarabangsa
Sorang lagi penulis terkemuka dunia, H.E Proeung Pranit dianugerahkan sebagai pemenang SEA Write Award 2016. Judul puisinya “Asking for Share” berjaya menambat hati para penilai. Puisinya yang lain “Culture Lost Nation Melting Off” dihasilkan pada 1997 dulu dapat perhatian meluas sehingga dapat pengiktirafan Preash Sihanuk Raja II, meraih hadiah kesusasteraan Nou Hach pada tahun 2006 dan Anugerah Kesusasteraan Mekong pada tahun 2012.
Anak kelahiran negara Kemboja ni sebenarnya tak dapat latihan formal untuk jadi penulis. Memegang Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti of Poly Technology pada 2006, dia sememangnya begitu rajin dan bersungguh-sungguh usaha nak mantapkan kemahiran penulisannya. Dia terlibat aktif dalam beberapa bengkel penulisan kreatif yang dianjurkan oleh penulis terkenal dari luar negara termasuklah bengkel anjuran persatuan dan badan bukan kerajaan di Kemboja.
Selain tu, dia sanggup mengembara ke Perancis, Sweden, China dan Thailand semata-mata nak hadir bengkel penulisan, persidangan antarabangsa dan rebut peluang bertemu dengan para penulis antarabangsa. Dengan pengalaman kembara rentas negara ni, ia jugak pasti akan memperkaya bekalan ilham yang diperlukan untuk menghasilkan penulisan yang baik.
4. Lahir di Melaka dan berstatus warganegara Singapura, penulis Cina ni fasih berbahasa Melayu dan berbakat besar dalam penulisan
Malang sekali apabila ramai fikirkan untuk memartabatkan bahasa Melayu, ia hanya ekslusif untuk bahasa Melayu. Dalam banyak-banyak stereotaip terhadap beberapa kaum tertentu seperti Cina tak pandai cakap Melayu; kehadiran penulis ni membuktikan sebaliknya. Bukan setakat fasih berbahasa Melayu, dia jugak boleh menulis dalam bahasa Melayu sehingga diangkat menjadi penerima SEA Award 2018. Dia jugak kini berkhidmat sebagai polis di Singapura.
Goh Mey Teck, bernama pena Peter Augustine Goh dilahirkan di Melaka pada 1953. Dia dapat pendidikan awal di Malaysia, tapi menerima kelulusan GCE-A di Singapura pada 1978. 3 tahun sebelum tu, dia dah bergiat aktif dalam penulisan pelbagai genre seperti cerpen, puisi, novel kanak-kanak, drama radio, TV serta esei kritikan. Setakat ni, Peter Goh dah hasilkan 10 novel kanak-kanak dan berjaya menghasilkan cerpen pemenang tiga kali untuk Anugerah Golden Point pada 1995, 1999 dan 2003.
Cerpen yang melayakkan dia diangkat sebagai penerima SEA Award adalah buku berjudul ‘Air Mata Arafah’. Buku tersebut memuatkan koleksi 19 cerpen, dengan harapan ia dapat menjentik jiwa dan mata fikir manusia agar memanfaatkan setiap detik masa yang dah diberikan oleh Tuhan kepada kita. Walau dengan kesibukan berkhidmat sebagai anggota polis, dia tetap cuba mencuri masa untuk mengadakan bengkel penulisan untuk menggilap bakat-bakat lain.
5. Karyanya dijulang menjadi karya agung di Myanmar, popularkan penulisan sejarah Buddha dan budaya Myanmar
Penerima terakhir yang kami sebutkan untuk artikel kali ni adalah Chit Oo Nyo dari Myanmar. Dia lahir pada 30 Disember 1947 di Mandalay dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dari Universiti Sains dan Seni Yangon pada 1968. Dengan pelbagai pengiktirafan yang diberikan, tak hairanlah kami apabila dia diumumkan sebagai antara pemenang SEA Write Award 2017, apatah lagi apabila kebanyakkan karyanya terinspirasi dari sejarah masyarakatnya sendiri.
Sepanjang 30 tahun berkarya, dia dah berjaya terbitkan 89 judul buku. Daripada jumlah tu, salah sebuah bukunya berjudul ‘Lingadi-pa Chit Thu’ yang terbit pada 1977 dijulang sebagai karya agung di Myanmar. Ramai yang minat dengan karya tersebut mengakui bahawa karya tersebut mencerminkan pemikiran kritis yang berjaya ditonjolkan dengan menyuarakan isu penting secara tersirat. Lazimnya, yang tersirat itulah mesej yang lebih meninggalkan kesan.
Karya ‘Lingadi-pa Chit Thu’ sememangnya popular di sana. Menurutnya;
“Inspirasi saya untuk buku ini adalah Ravana (karakter hero dalam epik Ramayana). Saya berminat dengan karakter dan sifat dinamiknya, manakala karakter lain agak kaku. Saya cuma 29 tahun ketika menulis buku tersebut, dan sebagai penulis muda saya ingin cipta idea baharu dan ekspresikan perasaan baharu berbanding sekadar ikut cara lama. Saya turut meneliti banyak hikayat dan esei yang ditulis oleh pakar sejarah seperti Dr. Than Htun. Saya penulis fiksyen sejarah tetapi saya dasarkan penulisan itu kepada hikayat sejarah yang betul”- seperti yang dilaporkan Myanmar Times
https://www.youtube.com/watch?v=kzTTPIUSP-0
Karya-karya dan para penulisnya perlu diraikan agar ia terus diingati sepanjang zaman. Kita di Asia Tenggara pun memiliki sumber pengetahuan dan bakat-bakat penulisan yang amat besar sehingga boleh dijadikan teks utama dalam silibus sekolah negara masing-masing. Tu boleh dikira besar dah tu… walaupun ada sesetengah orang masih lagi memperlekeh apa yang kita ada. Penerima SEA Write Award ni pun dah banyak kali ada orang Malaysia sebagai wakil, membuktikan kita mampu ke persada antarabangsa.