Sejak PKP dulu, ramai jugak yang mula layan media sosial. Ada yang muat turun Tik Tok, ada jugak yang baru menginjakkan diri dalam dunia Youtube. Macam kisah Sugu Pavithra yang baru-baru ni hangat diperkatakan warganet; dia buat saluran Youtube pada mulanya kerana minat berkongsi pasal masakan resepi India.
Perwatakannya berjaya memenangi hati ramai hingga jadi bualan ramai. Kami pun terpesona dengan saluran Youtube Selain Sugu Pavithra, ini channel Youtube masakan tempatan yang korang patut follow, jadi kali ni, kami nak senaraikan 5 saluran masakan kat Youtube yang diusahakan oleh orang Malaysia.
Haa… dah asyik tengok masakan tak jadi je, kali ni jom kita tengok (dan cuba sendiri) masakan-masakan tempatan kita.
1. Memang betul-betul buat orang lapar, Nazatul terus berkongsi masakan sedap untuk keluarga dan penonton setia
Antara saluran memasak yang terkenal dalam kalangan penggemar masakan tempatan, saluran ‘Buat Orang Lapo’ (ertinya makanan tu nampak sedap sangatlah…) dah capai 487 ribu subscribers di Youtube. Pada mulanya ia hanya sekadar saluran suka-suka je, dimana Nazatul sebagai tukang masak utama di depan kamera ni akan masak resepi-resepi mudah sejak 2016.
Namun ia bukanlah kerja Nazatul sorang je. Suaminya Azman Razali jugak turut membantu Nazatul Fairuz dengan bakat dan kepakarannya tersendiri iaitu membina laman web untuk saluran memasak kepunyaan isterinya. Selain tu, Azman pun kata dia pun suka buat ulasan makanan jika terjumpa makanan yang luar biasa sehingga layak diketahui umum.
Boleh sampai sejuta jugak peminat saluran keluarga ni kalau nak dikira dari semua platform yang mereka ada. Selain dari Youtube, korang boleh cari mereka ni kat Facebook, Instagram, Twitter dan Telegram dengan nama akaun yang sama seperti nama saluran mereka: “Buat Orang Lapo”.
2. Resepi kuih menarik untuk Hari Raya Aidilfitri ni, katanya cuma seminit nak buat
Kami rasa takdelah seminit je terus siap bila kami tonton beberapa video dari saluran memasak ‘Seminit Resepi’ ni. Cuma kebanyakan dari video rakaman buat kuih dan kudapan manis tu memang tak sampai 2 minit. Bolehlah kalau korang perlukan inspirasi pantas nak masak dan bakar resepi pastri. Apapun, resepi-resepi yang dikongsikan memang menarik dan nampak sedap.
Lebih mesra dengan gelaran ‘Cik Ain’, saluran Seminit Resepi ni dah diwujudkan sejak 2016 kat Youtube dan mempunyai lebih dari 200 ribu subscribers dah. Lebih menarik lagi, Seminit Resepi ni dah ada aplikasi sendiri, tau! Dalam aplikasi tersebut, lebih banyak resepi sedap yang mudah untuk dicuba dan diolah ikut cita rasa masing-masing.
Di samping itu, saluran tersebut sekali sekala turut memuatkan vlog yang menampilkan kehidupan sehariannya. Contohnya masa PKP tu, Cik Ain ni ada kongsikan hobi peribadinya selain dari memasak iaitu hasilkan seni visual. Ni boleh kira berbakat dah… memasak pun pandai, melukis pun pandai.
3. Dari Amerika terkenangkan masakan Malaysia sambil belajar pasal budaya dengan resepi
‘Malaysian Chinese Kitchen’ yang diusahakan oleh pasangan Linda dan Paul bukanlah saluran masakan biasa-biasa; saluran ni menampilkan resepi-resepi makanan tempatan untuk tumpuan audiens mereka di luar negara. Tambah lagi, mereka pun selalu kongsikan sejarah dan budaya di sebalik makanan Cina Peranakan yang ada di Malaysia ni.
Linda ni orang Kuala Lumpur, manakala Paul pulak berasal dari Georgetown, Pulau Pinang. Tapi mereka duduk kat Colorado, Amerika Syarikat dan selalu rindukan masakan Malaysia. Sejak 2014, saluran ni dah cecah 3 juta tontonan dengan 37.6 ribu subscribers dari serata dunia.
Berbeza dengan saluran yang dah kami sebut terdahulu, ni adalah saluran masakan yang diusahakan oleh anak Malaysia untuk penonton luar negara. Perkara ni pun disebut sendiri oleh Linda, bahawa sebelum ni, dia seringkali disoal mengenai jenis masakan yang ada kat Malaysia ketika dia melancong (dan menetap di Amerika). Last-last dia tunjuk terus kat Youtube supaya rakan-rakannya boleh cuba sendiri kat rumah.
4. Sheena anak pemilik restoran minat memasak, bermula dari Facebook hingga ke Youtube
Jika korang memang jenis pemburu resipi, mungkin korang pernah terjumpa perkongsian resepinya ataupun korang memang dah ikuti perkembangannya di Facebook sejak 2016. Bakat memasak dan mencipta resepi datangnya dari datuknya, seorang tukang masak di sebuah restoran dahulu. Kemudian, ibu bapanya pulak berjaya buka restoran sendiri.
Minat mencipta resepi dan memasak ni memang dah berkembang sejak waktu remaja, namun hanya lepas melahirkan anak sulungnya pada 2015 dulu, dia bercadang nak kongsikan hasil masakannya tu dengan orang ramai. Pada 2016 tu, barulah dia buka laman rasminya “Sheena’s Cooking Passion” di Facebook dan membuka akaun Youtubenya pada 2017 pulak.
Menariknya, pada mulanya perkongsian resepinya di sebuah laman resepi popular ni adalah dalam Bahasa Melayu, jadi memang ramai tertarik nak cuba. Dalam salah satu temubualnya dengan The Star, dia sendiri taknak resepi-resepinya tu dijadikan sebagai bahan untuk dijual pada orang ramai. Sebaliknya, dia lebih suka kalau orang boleh dapatkan resepi tu secara percuma.
5. Sugu Pavithra Youtuber hangat, resepi masakan India kini berada di hujung jari
Sudah pastilah kami tak tinggalkan Sugu Pavithra, Youtuber yang mendapat perhatian ramai termasuklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri. Ramai suka dengan perwatakan dirinya yang mesra, lancar bertutur dalam bahasa Melayu dan nampak rendah hati je.
Sugu Pavithra memang suka memasak pun, namun hanya tergerak nak buka saluran Youtube dan muat naik video masakannya lepas dicadangkan oleh salah seorang kawannya yang jugak merupakan seorang Youtuber. Setakat artikel ni ditulis, dia dah mengumpul sebanyak 557 ribu subscribers di Youtube. Boleh jadi nombor tu akan melonjak lebih tinggi lepas ni.
Katanya, ramai jugak yang minta dia teruskan video memasak tu dan turut kongsikan masakan India untuk dicuba. Yelah, dah namanya berkongsi ilmu… apalah salahnya? Namun begitu, ada pulak yang taknak dia kongsikan resepi masakan India ni, siap kecam lagi. Nasib baik warganet pertahankan jugak Sugu Pavithra.
Nak jadi pencipta kandungan tak semudah yang disangka, yang penting niat baik dan terus berusaha
Kerja jadi Youtuber, atau secara umumnya, pencipta kandungan ni bukanlah semudah yang disangka. Dalam waktu pandemik ni, banyak yang mulai beralih mencari kerja di alam digital termasuklah nak jadi pencipta kandungan digital.
Bukan sekali kami dah liputi kisah-kisah ‘peralihan’ tersebut – Media Prima antara syarikat media yang terpaksa menukar model operasi mereka, sekaligus terpaksa mengurangkan bilangan para pekerja yang ada. Pada waktu PKP dulu, lebih banyak syarikat media yang terpaksa hentikan operasi percetakan mereka.
Nak jadi pencipta kandungan, terutamanya secara bersendirian ni memang boleh je; yang penting kena datang dari niat yang baik dan terus konsisten hasilkan idea yang menarik untuk dikongsi.
Kena tahan hati, dan kena kental dimaki dan dikritik. Kritikan membina tu boleh diambil, tapi ada jugak yang suka mengkritik kerana suka-suka nak kritik. Warganet macam ni takyah layan sangat…
Macam Sheena Haikal- dia dah lama tu kongsi resepi, pun kena kritik. Jangan hanya kejarkan pendapatan nilai USD je, sebab para penonton atau subscribers boleh nilaikan tahap kualiti sesebuah idea tu. Kami yakin para pembaca kami pun bijaksana semuanya dan tau menilai artikel yang kami persembahkan tiap hari; sebab tulah kami sentiasa berikan artikel berkualiti tinggi untuk korang.
Kami pun ada buka saluran Youtube jugak, jadi korang boleh ikuti lebih banyak pengisian minda yang penting untuk minda bijaksana. Subscribe sekarang dengan klik sini.