Media sosial ni ada masanya menjengkelkan dan menaikkan nafsu amarah, tapi kadang-kadang ada baiknya juga. Baru ni di Twitter telah tular satu bebenang tweet berkenaan seorang mangsa kanser, Azira Binti Baharum (@egyazira) yang menghidap kanser Hodgkin Lymphoma tahap ii (b) dan mendapat perhatian warga Twitter termasuklah seorang chef terkemuka!
Mungkin ramai yang tak sedar, tapi kanser merupakan penyebab kematian kedua terbesar di dunia dan bertanggungjawab di atas kematian sekitar 9.6 juta orang pada tahun 2018, menurut World Health Organisation (WHO). WHO menganggarkan 70% kematian akibat kanser berlaku di negara berpendapatan miskin atau sederhana.
Di Malaysia, kematian akibat penyakit kanser di hospital kerajaan di negara ini meningkat sebanyak 50 peratus sejak tahun 1996. Manakala Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad pula menyatakan bahawa kanser adalah penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia, yang dianggarkan 60 peratus daripadanya dikesan pada tahap lewat iaitu peringkat ketiga dan keempat. Majlis Kanser Negara (MAKNA) juga menyatakan yang ramai pesakit kanser tidak mampu menanggung perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan,
Azira masih mempunyai peluang sembuh
Kisah Azira mula mendapat perhatian warga Twitter apabila rakannya Nuyulhuda Yusof (@nuyulhuda) menceritakan dalam satu bebenang tweet, berkenaan keadaannya. Azira mula dikesan mempunyai kanser sejak umurnya 26 tahun, dan menjalani rawatan kemoterapi selama setahun sehingga hampir pulih. Tetapi tiga minggu selepas rawatan kemoterapi terakhirnya, kanser itu dikatakan tumbuh semula di bahagian leher dan toraks.
Doktor yang merawat juga menyatakan bahawa ketumbuhan yang ada pada Azira adalah terlalu besar oleh itu dia perlu melalui proses rawatan kemoterapi semula dengan segera. Rejim baru ini terdiri daripada enam kitaran, dan setiap kitaran akan memakan masa empat hari dan dia perlu diwadkan. Tetapi, seperti rawatan kanser yang lain, kosnya akan makan belanja ratusan ribu ringgit.
Nuyulhuda turut menyenaraikan caj rawatan yang perlu dibayar Azira, termasuklah port kemoterapi RM1,300, Pet CT Scan RM1,500 dan kos-kos lain yang berjumlah RM4,200 yang perlukan bayaran segera. Bagi pesakit seperti Azira, secara keseluruhannya, kos rawatan untuk kemoterapi boleh mencecah sehingga RM300,000 atau lebih lagi.
Semasa kali pertama dia menghidap kanser, setiap kos rawatan telah ditanggung oleh ibu bapanya sehingga habis wang simpanan. Apabila kanser ini berulang keadaan menjadi semakin rumit dengan ayahnya seorang pencen kerajaan manakala ibunya seorang surirumah. Azira juga mengambil inisiatif untuk berniaga barangan seperti buku dan aksesori bagi menampung sedikit sebanyak kos yang perlu dibayar.
Sampai ada yang nak buat event untuk Azira
Tapi warga Malaysia ni memang dikenali sebagai masyarakat yang pemurah jadi tak hairan bila kisah Azira ni tular ramai pula yang tawarkan bantuan. Yang lebih menarik, rupanya ada juga yang berminat untuk anjurkan program semata-mata untuk menyalurkan bantuan kepada Azira dan rakannya Izham yang juga menghidap kanser (boleh baca kisah Izham di website Simply Giving ini di samping menyalurkan bantuan).
Pengguna Twitter @Elmielmo, kini dengan kerjasama Nuyulhuda dan rakan-rakan lain, telah merancang satu event kutipan dana dengan acara seperti bacaan puisi, deklamasi sajak, muzik dan gerai jualan yang mana 100% jualan tiket akan disalurkan kepada dana untuk membantu Azira membayar rawatan kansernya.
Event yang dinamakan #DeleteCancer tersebut akan diadakan di Angkasa Event Space, Cheras pada 28 April 2019 jam 12 tengah hari sehingga 11 malam. Setiap tapak gerai jualan disediakan secara percuma dengan syarat sebahagian keuntungan jualan disalurkan sebagai dana kepada Azira.
Pengunjung boleh membeli sambil beramal dengan adanya gerai-gerai jualan makanan, minuman, aksesori, pakaian dan sebagainya. Pada masa yang sama persembahan deklamasai sajak, bacaan puisi serta muzik oleh Aepul Dramaband, Orkes A Hizadin, Loko, Dish, Lukarts dan Oceanlights antara lain akan turut memeriahkan program sepanjang event. Azira sendiri akan membuat persembahan bacaan puisi di event tersebut pada siang hari selain akan ada sesi berkongsi bersama Hiba, seorang survivor kanser.
Chef cilik berjiwa besar komited membantu
Lebih menarik, event ni juga telah mendapat perhatian chef cilik, Danish Harraz, yang memang dikenali sebagai seorang yang amat prihatin terhadap golongan yang memerlukan. Menurut tweet yang telah dipaparkan, Danish bersedia memasak beberapa kilogram Fried Chili Tuna Pasta untuk dijual di event tersebut. Tanpa menetapkan harga, dia juga bersetuju memberikan semua hasil jualan kepada Azira.
Chef 11 tahun yang mempunyai bisnes masak dan bakeri sendiri melalui Danish’s Red Kitchen sebelum ini juga telah banyak membuat kerja-kerja amal terutamanya bagi golongan gelendangan, anak kurang berkemampuan serta pesakit kanser.
Menurut ibunya, Noorliza Abdul Rahman, Danish mula melibatkan diri dengan kerja amal sejak berusia 7 tahun dan mula menjadi krew tetap Soup Kitchen sewaktu umur 8 tahun untuk bantu anak-anak yatim.
“Setiap minggu dia akan ke Soup Kitchen untuk agihkan kek yang dibuat sendiri atau jika tak sempat, Danish akan membeli makanan untuk diagihkan”, kata ibunya.
Tetapi merasakan dia boleh melakukan lebih lagi, Danish telah menubuhkan group amalnya sendiri semasa umurnya 9 tahun iaitu #DanishsLoveAndSupportCrew.
“Alhamdulillah Danish dapat memberi bantuan kepada anak-anak kanser, keluarga dan murid-murid asnaf, dan mereka yang betul-betul memerlukan bantuan dengan menggunakan hasil dari bisnes, selain dari jemputan demo masakan dan bantuan followers Danish,” kata Danish kepada ORANGKATA.
Apabila dapat tahu tentang Azira, chef cilik itu segera meminta izin mak ayahnya untuk membantu.
“Danish mempunyai sedikit kebolehan iaitu memasak dan baking, jadi Danish mahu menggunakannya untuk sama-sama membantu meringankan kos rawatan kakak Egy dan abang Izham”
Bercakap mengenai cita-citanya pula, dia menyatakan, “Danish bercita-cita mendapat tahap akademik tertinggi, selain menjadi usahawan berjaya dan menubuhkan yayasan bagi membantu lebih ramai mereka yang memerlukan, insya’Allah”.
Kita juga boleh membantu
Kisah seperti ni memang tak asing di Malaysia dan pada kebanyakkan masanya rakyat Malaysia akan mengenepikan drama politik, perkauman atau ideologi untuk menghulurkan bantuan. Bagi yang sihat walafiat, tak mungkin dapat membayangkan apa yang mangsa kanser seperti Azira ni lalui dari sudut fizikal, mental dan kewangan.
Walaupun event yang akan diadakan itu pastinya membantu sedikit sebanyak, tapi tak mungkin ia cukup untuk membayar keseluruhan rawatan Azira. Jadi ORANGKATA juga galakkan sesiapa lagi yang rasa nak bantu bolehlah berkunjung ke event #DeleteCancer pada 28hb April di Angkasa Event Space, Cheras untuk belanja sambil beramal, atau menghulurkan terus bantuan dana ke akaun Azira Binti Baharum (Maybank – 155015212969).
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut boleh contact Nuyulhuda di akaun Twitter @nuyulhuda.