Ada youtuber yang mengaku “Melayu” kata Jepun tak pernah bunuh orang Melayu, ramai kecam

F1

Bila kita cakap pasal sejarah, kita kena hati-hati dengan fakta serta risiko penyelewengan fakta yang dilakukan oleh pihak berkepentingan. Lagi-lagi apabila ‘penyelewengan’ tu dilakukan oleh orang Malaysia sendiri, di mana mereka menafikan langsung kekejaman dan peristiwa berdarah yang pernah berlaku di negara kita.

Awal bulan lalu, tular pulak kisah sorang Youtuber bernama Mastura ni yang mendakwa dirinya orang Malaysia berani kata askar Jepun tak pernah bunuh dengan orang Melayu. Siap kata tindakan askar Jepun menjajah Tanah Melayu tu betul dan kita semua tak diajar sejarah yang sebenar…

Mastura Jepun Askar
Via Twitter

Dakwa tentera Jepun cuma bunuh British, Jepun datang bawa bantuan dan kebebasan dari pemerintahan kejam British

Kami bukanlah pro-British pun, cuma ni adalah terjemahan dari apa yang dia katakan sendiri dalam video yang telah disiarkan di saluran Youtubenya sendiri. Dia kata kita semua ni tak tau banyak perkara tentang Jepun, dan kalau bukan sebab Jepun, kita semua mungkin masih lagi menderita di bawah pentadbiran British dahulu.

Daripada terjemahan yang dapat kami peroleh hasil dari jasa seorang pengguna Twitter Yoroshique (@RidzwanMahazan), dengan jelas si Mastura ni menyatakan bahawa buku teks yang diajarkan di sekolah tu memang hanya cakap benda-benda yang negatif je tentang Jepun. Oleh sebab tu, orang Malaysia pun macam tak sedar bahawa Jepunlah pembangkit semangat Asia untuk bebas dari British.

Tambah lagi, menurut terjemahan tu… Mastura ni jugak nampak macam mengagungkan keperwiraan tentera Jepun ni. Dia tau Jepun pada waktu tu cuma ‘tegas’ dan ‘keras’, tapi bukanlah kejam sebab dia sendiri pun tengok orang Jepun sekarang macam baik-baik je… jadi tak mungkinlah Jepun dulu ni jahat sepertimana yang digambarkan dalam buku teks.

“…Saya percaya kami berlatih untuk berdiri atas kaki sendiri, dan tentera Jepun dengan hati samurai mengambil tanggungjawab untuk mempertaruh nyawa berlawan sama-sama…”- Mastura

Selain tu, si Mastura ni siap petik lagi kata-kata “Raja Non Chik” yang menyatakan bahawa tentera Jepun ni hanya bunuh tentera British dan gerila cina Komunis yang bertempur. Raja Nong Chik ni pernah jadi Senator dan Menteri Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Dia adalah lantikan politik masa tu di bawah Najib Razak.

Raja Nong Chik
Ni ke yang Mastura maksudkan? Dalam terjemahan, Raja Non Chik. Ni Raja Nong Chik… Via Yahoo News Malaysia

Dia kalah dua kali berturut-turut kepada calon PKR iaitu kepada Nurul Izzah Anwar pada 2013 dan Fahmi Fadzil pada 2018. Kalau diikutkan apa yang Mastura sebut tu, dia sendiri pun dah salah faham kedudukan Raja Nong Chik ni sebab dia cakap tu ahli Parlimen. Kami tak jumpa sebarang artikel yang menyatakan Raja Nong Chik (atau Raja Non Chik?) pernah cakap macam tu, jadi kami tak tau dari manalah Mastura dapat fakta sebegitu palsu.

Daripada video tersebut jugak, kita boleh tengok bahawa dia ni memang dah lama buat kerja macam ni dan tentunya, ni bukanlah video terakhir yang akan dia buat pasal sejarah Jepun-Malaysia lepas ni. Berikut adalah video yang telah dikenalpasti mengundang kecaman dari warganet terutamanya yang faham bahasa Jepun.

Mastura dikatakan ada kepentingan peribadi, sanggup tukar fakta demi dapatkan keuntungan dan kemashyuran dari nasionalis kanan fanatik di Jepun

Ni bukanlah video pertama dia cuba untuk ‘menukar’ versi sejarah yang memurnikan Jepun. Video dia cakap pasal ‘kemuliaan’ tentera Jepun dulu di Indonesia pun ada jugak. Rupa-rupanya Mastura ni pun ada agenda sendiri jugak, sebab menurut perkongsian sorang pengguna Twitter yang lain, Ash (@ashleeen3), Mastura ni dikatakan pencipta kandungan yang ‘dibayar’ hasil kerjasama dengan sebuah kedai ramen halal Ouka di ShinjukuGyoen.

Shinjukugyoen Halal Ramen Rasis
Dah boleh boikot dah ni.. Via Halal Gourmet Japan

Kedai ramen halal tu pun memang popular dalam kalangan para pelancong, tapi kami pun hairan kenapalah kedai ramen ni nak bekerjasama dengan si Mastura, dan buat kandungan yang menafikan penderitaan di Tanah Melayu dulu. Benda ni banyak sekali terbukti dari sejarah lisan mereka yang pernah hidup zaman Jepun. Dr. Mahathir pun pernah tulis pengalaman dan penderitaan di bawah penjajahan Jepun dulu.

Jelas Ash lagi, di Jepun ni memang wujud satu golongan nasionalis fanatik yang suka menyebar fakta-fakta sejarah yang palsu dan dibuat-buat untuk menampakkan bahawa Jepun adalah hero dalam Perang Dunia kedua kerana dapat membebaskan Asia dari Eropah. Kumpulan ni mendakwa bahawa fakta-fakta ni sebenarnya ‘disembunyikan’ supaya orang Jepun takde keyakinan dan berasa kecil di Asia.

Tambah lagi, kumpulan ni jugak kerap ‘munculkan’ tokoh-tokoh yang tak dikenali orang Malaysia pun. Mereka jugak banyak guna nama Tun Dr Mahathir lepas tu tokoh-tambah je di bawah nama Dr. Mahathir. Ash tak menolak bahawa ni bukanlah kerja Mastura sorang je, sebaliknya atas arahan orang Jepun yang memang pakar serta ingin menyebarkan dakyah nasionalis fanatik mereka tu.

Kami rasa benda ni logik jugak sebab ikut dapatan sorang pengguna Twitter @Syobon_san_, Mastura secara aktif padam setiap komen buruk yang terdapat dalam saluran tersebut. Walaupun ada yang menegurnya atau tak setuju dengan video tersebut, Mastura mendakwa tu hanyalah komen yang ‘buruk kata’ dan sesiapa yang komen buruk-buruk tu mesti tak tengok video dia.

https://twitter.com/Syobon_san_/status/1272533271918686210

Bila kami tengok setakat ni pulak, dia dah matikan fungsi ruang komen tersebut, namun video tu dapat lebih dari 5.k ribu ‘tidak suka’. Ternyata benda ni memang dah popular sangat khususnya untuk orang Malaysia yang tau sejarah dan kekejaman Jepun tu. Kami pun ada jugak godek-godek saluran Mastura ni. Saluran dia dipenuhi dengan kandungan berbahasa Jepun je, jelas sangat hanya nakkan penonton dari Jepun atau fasih bahasa Jepun.

Jepun Youtube
Sekali tengok, memang tak macam orang Malaysia dah ni…

Dr. Mahathir pun tulis tentang kekejaman Jepun masa perang, kena tangkis propaganda negara lain untuk putar sejarah negara

Kami pun ada buku tebal biografi yang dipena sendiri oleh Dr. Mahathir, dan dia sendiri pun menulis kekejaman Jepun. Kita tak boleh cepat termakan dengan dakyah negara lain yang terlalu ingin dipandang tinggi sehingga sanggup menukar cerita dan sejarah negara-negara yang menjadi mangsa keadaan.

“Saya membenci cara Jepun yang sewenang-wenang menyerahkan kuasa ke atas Kedah kepada Siam seolah-olah Kedah dan negeri-negeri utara Semenanjung adalah hartanah yang boleh dipindah milik seperti harta peribadi. Kami orang Melayu tidak ada hak ke atas apa yang berlaku kepada negeri sendiri. Kami tidak diambil kira langsung. Menjelang waktu itu saya sudah sedar jati diri saya sebagai orang Melayu dan mula membenci penjajah. Saya mahu orang Melayu dihormati…”- Dr. Mahathir, Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohammad, halaman 86

Petikan ringkas ni mempunyai maksud yang sangat mendalam, sebab Jepun tak datang sebagai pembebas. Jepun datang sebagai penjajah yang banyak membuatkan nenek moyang kita sakit, kekurangan bekalan makanan, takut dan risau setiap hari. Jepun buatkan orang Melayu rasa dikhianati, India dikasari dan Cina dilayan sesuka hati. Walau bagaimanapun, Jepun sendiri jugak mengakui kesilapan mereka dahulu dan telahpun banyak membantu negara kita lepas Perang Dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *