Ahli Parlimen pembangkang tak boleh sombong

f1 min

Kerajaan dan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang perlu segera duduk semeja bagi mencapai kata sepakat berhubung peruntukan sama rata kepada kepada semua wakil rakyat.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisomudin Bakar berpandangan isu peruntukan belum menemui jalan penyelesaian dipercayai kerana tak dapat kerjasama yang sepatutnya daripada Ahli-ahli Parlimen, khususnya daripada pembangkang.

Dia berkata perkara ini menuntut sikap terbuka kerajaan dan pembangkang untuk tampil menyelesaikan kemelut tersebut.

“Kita tahu sebenarnya Kerajaan Perpaduan, saya melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebenarnya bagi pihak kerajaan, mereka bersikap terbuka untuk mempertimbangkan tuntutan untuk berikan agihan yang sama rata.

“Namun, ketika ini yang dituntut adalah cadangan daripada pihak pembangkang, yang mana sesi untuk menuntut (pandangan) itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, tidak mendapat maklum balas yang baik daripada pembangkang.

“Jadi saya merasakan itu adalah faktor yang menyebabkan perihal berkaitan peruntukan kepada pembangkang masih belum berkesudahan,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien mencadangkan agar mewujudkan undang-undang baharu mengenai pemberian peruntukan khas kepada semua Ahli Parlimen termasuk di blok pembangkang.

Mengulas lanjut, Hisomudin berkata kedua-dua belah pihak perlu menunjukkan iltizam politik bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing dapat dibela.

Mengambil contoh ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau menambah kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini dilihat stabil dan tidak perlu untuk memeterai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bagi memberi peruntukan yang adil kepada pembangkang.

“Dalam situasi di mana Kerajaan Perpaduan (memiliki sokongan) 147 Ahli Parlimen, sudah tentu kerajaan tidak menghadapi masalah (untuk meluluskan Rang Undang-Undang).

“Tetapi di sini lebih kepada kuasa budi bicara kerajaan dan Menteri Kewangan untuk mempertimbangkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Tetapi dalam situasi sekarang, isu ini berlarutan kerana sikap pembangkang yang tidak memberi kerjasama yang baik untuk berunding seperti mana dinyatakan tadi, Fadillah memerlukan perincian dan cadangan untuk peruntukan yang dituntut,” ujarnya.

Pada 2021, kerajaan pimpinan Ismail Sabri melakar sejarah apabila julung kali memeterai perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Ahli Parlimen pembangkang tak boleh sombong

Ahli Parlimen pembangkang diingatkan supaya tidak angkuh dan sombong dalam usaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka perlu berunding dengan kerajaan seperti yang dilakukan ketika pemerintahan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jika mahukan dana seperti yang dibangkitkan.

Anwar beri jaminan akan mengguna pakai syarat-syarat yang tidak jauh berbeza dengan perjanjian dimetrai pembangkang ketika itu.

“Bila Yang Berhormat Bera (Datuk Seri Ismail Sabri) ambil alih, saya terima kasih kepada YB Bera, kerana YB Bera kata, kalau betul nak, kita bincang baik-baik. Jadi kita hantar perwakilan, bincang baik-baik dan kemudian ada hala tuju. Akhirnya beliau jemput saya, bincang sekali lagi. Lepas putus, tandatangan dan luluslah. Ini tak perlu tandatangan, bincang, kata ini hak kami…bukan, ini bukan hak ahli Parlimen. Rundinglah, lepas itu lulus. Kalau tak nak runding, tunggulah sampai bila pun. Saya tidak akan luluskan,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi pergulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat. Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu mengkritik kenyataan pemimpin pembangkang yang mendakwa tiada peruntukan diberikan ke kawasan mereka.

SPRM akan siasat penyalahgunaan peruntukan Parlimen

Perdana Menteri Anwar Ibrahim beri amaran SPRM akan mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan peruntukan ahli parlimen.

Dia berkata demikian sebagai maklum balas kepada ahli parlimen pembangkang yang meminta peruntukan ahli parlimen untuk menyalurkan sumbangan di kenduri perkahwinan dan pengebumian.

“Kalau kata tidak ada peruntukan kepada wakil rakyat, ‘saya tidak boleh tolong orang kematian tidak ada duit’. Saya nak bagi ingatan wang ini kalau digunakan untuk bagi orang kahwin akan diambil tindakan oleh SPRM. Tidak boleh guna wang itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar juga menjelaskan kepada pembangkang supaya tidak mendakwa tiada peruntukan diberikan ke kawasan mereka.

“Peruntukan kepada rakyat dan ahli parlimen berbeza. Jangan kata tidak ada peruntukan untuk rakyat,” jelasnya.

Ketika ini, Putrajaya tidak memberikan sebarang peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Namun, perdana menteri memberi contoh kawasan yang dikuasai pembangkang seperti Sik dan Ketereh menerima peruntukan jutaan ringgit untuk projek awam.

Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor kemudian bangkit mencelah dan menjelaskan peruntukan ahli parlimen diperlukan untuk menyelenggara pusat perkhidmatan mereka dan melawat mangsa ribut.

“Jadi bila saya pergi, kalau 50 buah (rumah mangsa ribut), macam mana saya nak tolong dia?

“Maksud saya (dalam keadaan itu) bukan saya nak guna duit tu untuk diri saya,” katanya.

Dalam jawapan balas, Anwar mengulangi bahawa kerajaan bersedia untuk berunding dengan ahli parlimen pembangkang mengenai jumlah peruntukan sebelum meluluskan perkara itu.

“Dia ada wakil daripada pembangkang bincang dengan Timbalan Perdana Menteri (Fadillah Yusof), kita bincang kaedahnya dan kita luluskan.

“Saya dah bagi jaminan, ini ada rekod. Kalau dipersetujui perbincangan, kita luluskan.

“Tapi kalau ada banjir, YB boleh tulis kepada saya, itu tak termasuk dalam peruntukan ini,” katanya.

Pada April lalu, PN menamakan Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya Mohd Radzi Jidin untuk mengadakan rundingan dengan Fadillah berhubung isu peruntukan untuk wakil pembangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *