Negara digemparkan dengan berita seorang wanita yang cedera parah kerana dipukul oleh bapanya yang berusia 58 tahun dengan menggunakan tukul pemecah dinding di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau, kelmarin.
Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika bapa mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah, baru pulang dari bekerja.
Lebih menyedihkan, mangsa ketika itu sedang membaca al-Quran, sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba memukulnya di beberapa bahagian di kepala menggunakan tukul pemecah dinding, sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Oleh sebab menyesal pukul anak, bapanya cederakan diri sendiri
Bapanya yang kemudian menyesali perbuatannya, bertindak mencederakan diri dengan menghentakkan kepalanya pada dinding rumah dan menerima lima jahitan di kepala selain retak pada tulang tapak tangan kiri.
Siasatan awal mendapati bapa mangsa bertindak demikian berikutan mangsa yang sehingga kini masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian dan mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan.
Mangsa yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Taiping dan kini dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh berikutan kecederaan serius yang dialami kesan dari hentakan dan pukulan tukul berkenaan.
Bapa mangsa kini ditahan reman dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Masalah pengganguran yang tengah menekan ramai graduan
Realitinya, sektor pekerjaan di Malaysia didominasi oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, menyebabkan majoriti graduan IPT gagal mendapat pekerjaan kerana majikan lebih selesa mengambil pekerja yang mempunyai tahap pendidikan dan tangga gaji lebih rendah.
Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2019 yang meneliti kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia dari tahap pendidikan berbeza berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2017, menyatakan bahawa ramai belia bumiputera berpendidikan tinggi yang menganggur berbanding rakan mereka yang tidak belajar di IPT.
Pada 2017 4.6 peratus yang belajar di IPT menganggur, jauh lebih tinggi daripada belia bumiputera yang hanya mempunyai kelulusan tahap sekolah menengah (4 peratus).
Sementara itu, belia dengan pendidikan sekolah rendah merekodkan kadar pengangguran 1.9 peratus manakala bumiputera yang tidak mempunyai sebarang pendidikan sekolah formal dengan kadar pengangguran terendah pada 1.5 peratus.
Statistik menunjukkan bahawa majoriti pekerja di negara ini iaitu seramai 55.8% mempunyai tahap pendidikan menengah, manakala 27.5% pula pendidikan tahap tertiari.
Kadar pengangguran belia di Malaysia adalah 3 kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran semasa negara. Malah, ia mencatatkan kadar tertinggi pada tahun 2009 iaitu pada kadar 11.65%.
Masalah pengangguran ini menyebabkan graduan sukar untuk menjalankan kehidupan seharian kerana tidak mempunyai sumber pendapatan. Namun, mereka boleh juga menceburi bidang keusahawanan atau perniagaan untuk mendapatkan pendapatan.
Mahasiswa harus didedahkan dengan lebih banyak latihan
Para mahasiswa juga seharusnya didedahkan dengan lebih banyak latihan industri dan mempertingkatkan kemahiran komunikasi. Para majikan pula tidak seharusnya hanya memikirkan keuntungan dengan memberi fokus kepada kos tenaga buruh yang rendah.
Tatkala pasaran buruh menguncup akibat kelembapan ekonomi, bilangan siswazah dan bukan siswazah pula meningkat saban tahun di negara kita.
https://www.youtube.com/watch?v=lbbacmgbUgw
Kesan pengangguran bukan hanya bersifat intra-peribadi, tetapi juga membawa kesan terhadap proses sosial seseorang. Pengangguran jangka panjang membawa beban penyakit khususnya mental, berbanding mereka yang bekerja.
Dan ia juga mungkin memberi kesan negatif kepada persekitaran serta ahli keluarga penganggur, sama ada atas sebab impian berjaya yang tidak tercapai mahupun kos hidup tinggi yang perlu ditanggung.
Isu masalah mental serta tekanan jiwa ini turut dikupas oleh OrangKata baru-baru ini.
Tahun lepas, Menteri Kesihatan Dr Dzulkifli Ahmad menjawab soalan Nurul Izzah Anwar di Parlimen bahawa ada 4.2 juta orang atau dekat 30% peratus rakyat Malaysia atas 16 tahun ada masalah mental.
Isu pengangguran harus dipandang serius oleh semua orang
Hal ini perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kesemua pihak, memandangkan kadar pengangguran merupakan salah satu kayu ukur tahap kesihatan ekonomi negara, selain mempunyai kesan serta kaitan dengan soal kesihatan khususnya mental.
Kajian perlu dibuat sedalam-dalamnya bagi membolehkan industri memberi ruang yang lebih kepada graduan IPT sesuai dengan kelulusan mereka. Jika tidak, bukan hanya peratusan pengangguran bertambah, tetapi juga kes-kes berkaitan masalah psikologi dan jenayah.