Semalam Nurul Hidayah, (anak perempuan Ahmad Zahid Hamidi) cabar pihak yang mengkritiknya atas dakwaan langgar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk buat laporan polis terhadapnya. Dia kata macam tu semasa membalas ulasan netizen pada salah satu gambarnya selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Muhammad. Nurul jelaskan;
“Selepas selesai dengan YB Menteri Hal Ehwal Agama, kami ke Kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa dengan YB Datuk Dr Masrizal, Timbalan Menteri. Bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan YB Datuk Dr Masrizal sejak beliau menjadi Setiausaha Politik kepada abah saya @ahmadzahidhamidi tidak berapa lama dahulu. A dear friend to our family,” – Nurul, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini
Bukan setakat kecaman langgar PKP yang diterima oleh Nurul, kenyataannya berkenaan 9 daripada 10 orang Islam telah murtad turut mendapat kecaman netizen. Yalah, kalau difikir secara logik, dari mana sebenarnya Nurul ni dapat data yang 90% umat Islam dah murtad? Dalam bahasa kasarnya, main sedap mulut je dia tuduh ramai orang dah murtad.
Katanya “9 antara 10 orang Islam telah MURTAD?” Maksudnya apa? Hanya 1 org sahaja dari 10 org yg masih kekal muslim? Saya berminat nak tahu statistik dari mana yg dikongsi Nurul ini kepada Menteri Agama? Wahai Tuhan selamatkan kami dari kebodohan ini. pic.twitter.com/6Re0q4K3lV
— AfiqMNoor (@afiqmnoor) April 21, 2020
Mungkin Nurul tak tahu bagaimana seseorang tu boleh murtad, mari kami jelaskan
Memandangkan Nurul ni main sedap mulut je cakap 90% orang Islam dekat Malaysia dah murtad, kami cuba korek maklumat berkenaan bagaimana seseorang tu boleh murtad. Untuk pengetahuan Nurul dan yang lain, berpaling dari agama Islam ni boleh dilakukan dengan niat, perbuatan atau perkataan yang bawa kepada kekufuran, tak kiralah dia main-main atau memang dah betul-betul yakin.
Menurut Imam al-Ghazali – hakikat riddah (beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain) ialah pengucapan dengan perkataan kufur secara persendaan, iktiqad atau ingkar, manakala daripada perbuatan ialah menyembah berhala, sujud kepada matahari, demikian juga mencampakkan Al-Quran ke tempat kotor dan setiap perbuatan yang jelas menghina agama. Ada beberapa benda yang boleh menyebabkan kita jadi murtad;
Dari segi perkataan
Sebarang perkataan yang jelas membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya.
‘Patutkah nama Allah dan ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman..’. (at-Taubah ayat 65 dan 66)
Antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur;
- Ingkar sesuatu yang diketahui daripada agama (islam) secara darurat seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.
- Menghalalkan apa yang diharamkan.
- Mengharamkan apa yang dihalalkan.
- Mencela Nabi Muhammad S.A.W atau nabi-nabi lain
Dari segi perbuatan
Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada riddah ialah:
- Mencampakkan Al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah S.A.W ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.
- Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.
Dari segi niat
Contohnya seseorang tu berazam untuk kafir pada hari esok atau pada saat itu jugak. Niat seperti ni boleh menyebabkan seseorang tu terus jadi kufur.
Bukan main sedap mulut je nak tuduh orang murtad, ada syarat sah yee.
Para ulama sepakat letakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.
- Berakal, tak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.
- Pilihan sendiri atau sukarela. Tak sah murtad orang yang dipaksa.
Kalau benda murtad ni berlaku disebabkan kejahilan, perasaan takut atau marah, benda tu tak boleh dianggap murtad lagi. Sebab kebiasaannya diorang tetap lakukan amalan-amalan Islam walaupun selepas kata diorang nak murtad. Contohnya seseorang yang terlalu marah tentu akan rasa tertekan, kemarahan boleh sebabkan seseorang berkata sesuatu yang dia tak maksudkan untuk lahirkan rasa kepuasan.
Contoh lain, seseorang yang ditangkap kerana kesalahan jenayah syarie, diorang berada dalam ketakutan atau malu. Oleh sebab tu, ada yang cuba mengelak dari ditangkap dengan mengaku sebagai bukan Islam. Boleh jadi dia memang jahil tentang hukum pengakuan tu atau tahu tapi tetap dilakukan sebagai helah supaya tak ditangkap.
Kalau korang perasan; agama Islam memang terangkan – bukan senang untuk seseorang tu terkeluar daripada Islam. Dia perlu keluar secara sukarela dan tanpa tekanan. Melihat daripada angka 90% yang diberikan oleh si Nurul ni, kami boleh katakan dia tengah mengarut. Walaupun kami akui ada je beberapa isu berkaitan dengan Islam di Malaysia, tapi untuk suka-suka hati kata 90% orang dah murtad, memang tak masuk akal.
Daripada kita sibuk nak murtadkan orang, adalah lebih baik kita fokus lawan Covid-19
Kami pelik apabila ‘anak tokoh politik’ takde masalah untuk keluar rumah dan jumpa orang-orang penting kerajaan dengan alasan untuk nyatakan kegusaran diorang. Benda ni kami tak boleh brain sebab macam diorang je yang ada kegusaran. Kalau nak diikutkan, kegusaran orang-orang yang tak dapat bantuan yang secukupnya lagi banyak.
Anak tokoh politik ni “gusar” pun, makanan dan pekerjaan masih terjamin, berbeza dengan kebanyakan rakyat yang mula risau dengan bekalan makanan dan pekerjaan diorang selepas pandemik Covid-19 berakhir. Siapa yang nak dengar keluhan mereka? Sepatutnya kita terus patuhi PKP tanpa mengira darjat, supaya ia beri refleksi yang kita serius dalam melawan virus ni.
Artikel ini merujuk e-sumber maklumat fatwa berkaitan tentang murtad.