Azmin dapat kritikan hebat, petisyen minta dia letak jawatan raih sokongan hebat

f1

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) mendapat kritikan ramai apabila ia dilihat seperti PKP separuh masak. Cuba bayangkan, sejak ‘total lockdown’ diperkenalkan, lebih 95,000 perniagaan dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Keadaan ini membawa kepada persoalan; adakah kita benar-benar serius dalam PKP kali ini?

728 X 90

Situasi ini menyebabkan ramai yang mengalihkan perhatian kepada Dato’ Seri Azmin Ali, memandangkan dia merupakan Menteri MITI. Bagi mereka yang mungkin jarang membaca perihal politik negara, Azmin sering dikenali sebagai individu yang mempunyai ‘pembenci’ yang ramai. Hal ini kerana dia selalu melakukan aksi yang di luar norma politik; contohnya menjadi arkitek kepada Langkah Sheraton.

Drama tutup pintu berlaku dalam Kabinet, Azmin positif Ismail tak maksudkan apa-apa

Beberapa hari selepas pelaksanaan PKP 3.0 ni, kita melihat ada drama berlaku dalam Kabinet. Ia berlaku apabil Menteri Pertahanan Ismail Sabri membuat hantara media sosial dengan hanya menulis “saya dah tutup pintu depan tapi…”. Hantaran ini disertai sekeping gambar yang memaparkan dia sedang menutup pintu si pejabat Menteri Pertahanan. Ramai menyifatkan catatan tersebut membawa makna tersirat yang cukup besar.

1
Antara komen netizen. Via FMT

Ismail Sabri tak memperincikan kapsyen dan gambar itu ketika ditanya media dan hanya menjelaskan mengenai pembukaan banyak sektor diuruskan oleh MITI.

“Perkara ini diuruskan oleh MITI, jadi wajar kalau media tanya MITI. Saya sukar nak jawab sebab dah serah kepada MITI, biar MITI jawab,” – Ismail Sabri, seperti yang dilaporkan AWANI

Pembukaan sektor ekonomi ini turut dapat kritikan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang nak semua pihak berkorban selama dua minggu untuk menutup seketika sektor ekonomi. Katanya, dijangkakan jumlah kes baharu akan bertambah dan matlamat melaksanakan PKP 3.0 untuk melandaikan lekuk jangkitan tak akan tercapai.

“Semua pihak harus berkorban untuk dua minggu ini. Kita tidak akan dapat melandaikan lekuk jangkitan dengan pelbagai sektor terus beroperasi secara berpilih. Tindakan kerajaan terus membenarkan sektor pembuatan atau perkilangan terpilih terus beroperasi walaupun dalam keadaan terhad akan terus mendatangkan risiko jangkitan,” – Mohd Hasan, melalui hantaran Facebooknya

Kritikan-kritikan ini dapat reaksi yang positif dari Azmin, dia mintak semua pihak tak buat apa-apa spekulasi berhubung hantaran “saya dah tutup pintu depan tapi…” oleh Ismail Sabri. Katanya, sebagai satu pasukan; semua jemaah menteri sentiasa memberi kerjasama dan sokongan bagi menghapuskan penularan Covid-19.

2
Via FMT

“Siapa yang buat spekulasi? Jangan buat spekulasi. Datuk Seri Ismail Sabri antara ahli jemaah menteri yang diberi peranan penting menguruskan Covid-19. Kita ada dua jurucakap, pertama Ismail Sabri untuk isu keselamatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah untuk isu kesihatan,” – Azmin Ali, seperti yang dilaporkan FMT

Akibat kritikan hebat dari rakyat, wujud petisyen yang mahu Azmin segera letak jawatan

Akibat kemarahan orang ramai, satu petisyen dalam talian dilancarkan bagi mendesak Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali meletak jawatan telah meraih lebih 150,000 tandatangan ketika artikel ini ditulis. Petisyen yang dilancarkan di laman change.org oleh pengguna dikenali Kerajaan Gagal pada Khamis dengan tanda pagar #AzminLetakJawatan mensasarkan 150,000 tandatangan.

Difahamkan, petisyen itu dilakukan kerana mendakwa Azmin selaku menteri yang bertanggungjawab menjaga MITI dikecam kerana membenarkan pembukaan ekonomi, macam yang kami dah cerita panjang lebar tadi.

Apabila Azmin dan MITI dapat kritikan yang hebat, Azmin mengatakan MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan sesuatu sektor perniagaan dianggap penting atau sebaliknya. Menurut Azmin, surat kebenaran beroperasi oleh COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) hanya dikeluarkan setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi, memberi pengesahan kepada MITI.

Via Giphy

Sehingga hari ini, dikatakan 15 Kementerian telah gunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.Azmin berkata, setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan berkenaan, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.

“Namun, terdapat juga beberapa Kementerian seperti MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI.

Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama. Maka, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh Kementerian lain,” – Azmin, seperti yang dilaporkan UTUSAN

Kita harus laksanakan PKP dengan betul, jangan sampai kes baharu melonjak lagi

Secara jujur, kami tak tahu lagi sampai bila PKP 3.0 ini akan diteruskan; melihat kepada jumlah kes baharu Covid-19 yang semakin meningkat, kami fikir yang akan mengambil masa yang lebih panjang. Adalah lebih baik kita melakukan full lockdown untuk meratakan lekuk jangkitan, berbanding melakukan PKP separuh masak seperti ini. Bimbang nanti, ekonomi ingin diselematkan, tapi kes baharu Covid-19 tak surut-surut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *