Kalau kat negara luar, penjualan tanah peribadi khususnya di atas tanah atau kawasan perairan yang cantik selalunya menarik perhatian ramai. Selain dari pemandangannya yang mengagumkan, potensi pembangunan untuk dijadikan perniagaan tarikan pelancong pun tinggi jugak. Namun di sebalik fakta ni, rupa-rupanya Sabah pun ada jugak isu seperti ni.
Baru-baru ni, kami difahamkan bahawa satu lagi senarai baharu mendedahkan nama, lokasi dan anggaran harga pulau kat Sabah. Senarai ni dikatakan diperoleh dari satu laman sesawang yang banyak jual pulau peribadi untuk orang lain. Kot-kotlah rezeki korang pulak lepas ni untuk beli pulau indah kat Sabah kan…
Lokasi selam yang cantik dijual serendah RM12 juta, penjual dakwa boleh tukar status hak tanah
Salah satu pulau yang kami difahamkan tengah naik dalam senarai pulau untuk dijual tu adalah Pulau Mantanani. Pulau Mantanani terletak di Kota Belud, dan merangkumi gugusan tiga pulau kecil lagi iaitu Pulau Mantanani Besar, Pulau Mantanani Kecil dan Pulau Lungisan.
Mantanani jugak terkenal dengan kehadiran dugong yang terancam, dan dilaporkan boleh ditemukan memakan rumpai air di sekeliling pulau tersebut. Dikatakan jugak, ia turut dikenali sebagai ‘Pulau Ikan Duyung’ kerana kehadiran spesis dugong tu. Banyak lagi haiwan laut dan terumbu karang yang masih lagi hidup terpelihara sekitar pulau tersebut.
Ni jugak bukan pertama kali Mantanani masuk ke dalam senarai pulau untuk dijual. Pada tahun lalu, plot seluas 2.95 ha dinilaikan pada RM14.3 juta. Penjual tu mendakwa, dia boleh tukarkan status hak tanah tu daripada status hak tanah adat menjadi tanah komersial.
Setakat tu je, beberapa pulau lain jugak turut disenaraikan. Contohnya pada 2011, Pulau Mengalum berdekatan Kota Kinabalu jugak muncul dalam senarai pulau untuk dijual dengan harga sebanyak RM75.21 juta. Dua lagi pulau, iaitu Pulau Pandanan berdekatan Semporna dijual dengan harga USD2 juta manakala Pulau Montukod berdekatan papar pula dijual dengan harga RM35 juta.
Ada orang kata kerajaan negeri tak boleh buat apa-apa, tu hak pemegang geran tanah
Menurut laporan The Vibes pula, satu lagi pulau iaitu Pulau Daat yang merupakan sebahagian dari Labuan kini dilelong selepas pemegangnya Potensi Bernas Sdn Bhd dicairkan asetnya. Harga untuk pulau seluas 237.55ha tu ditentukan sebanyak RM135 juta.
Pulau Daat ni antara pulau yang berpotensi besar jugak kepada Sabah. Mengikut carian kami, sejak 2013 lagi macam-macam dah perancangan pembangunan dijanjikan berlaku pada Pulau Daat. Dulu nak buat projek berkaitan petroleum di bawah Program Transformasi Ekonomi (PTE) bernilai RM3 bilion kat sana, lalu dipindahkan pulak ke pulau lain. Kemudian, nak buat lagi jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah – sepatutnya dah mula pun sejak tahun lalu.
Ada betulnya jugak petikan dari satu artikel lama sebuah blog peribadi berkaitan isu ni. Katanya, memang pelik bila kerajaan bersungguh nak pertahankan Pulau Sipadan daripada tuntutan negara jiran… tapi dengan mudahnya pulak, membenarkan pulau-pulau di Sabah tu terjual ke tangan orang luar.
Dalam banyak hal, penjualan pulau ni suatu perkara yang menguntungkan kerana secara asasnya, kita nak tanah-tanah ni dibangunkan atas tujuan komersial dan dilihat produktif bagi menjana wang. Akan tetapi, benarkah hal ni membolehkan tanah tersebut disalahgunakan oleh pihak tak bertanggungjawab?
Kata sumber dari kerajaan negeri kepada The Vibes; kerajaan negeri tak mampu hentikan penjualan tanah pulau tersebut. Sebahagian dari pulau tu memang sekarang tengah di bawah pemilikan syarikat swasta, sementara tu ada jugak yang dipegang oleh penduduk tempatan dengan hak tanah adat.
“Jika orang kampung atau orang tempatan memutuskan untuk menjual tanah mereka, ini di luar bidang kuasa dan kawalan kerajaan negeri”- seperti yang dilaporkan Daily Express
Sama cerita jugaklah dengan Taman Tunku Abdul Rahman, berdekatan Kota Kinabalu. Pulau Gaya, pulau terbesar dalam kluster pulau-pulau tu pun turut terbahagi kepada tiga jenis pemilikan tanah – tempat peranginan, Taman Sabah dan orang kampung. Oleh demikian, penjualan tanah pulau ni bukanlah suatu masa depan yang asing dan pelik.