Muhyiddin dan Ahmad Maslan tak bertanding kali ni, Maszlee pulak jadi calon MB dari Pakatan Harapan

orangkata

Susulan pembubaran DUN Johor baru-baru ni, kita pun turut ternanti-nanti jugak siapa yang akan bertanding dan siapa yang tak lagi bertanding untuk PRN Johor ni. Sebelum ni, kami banyak berbincang mengenai PRN Johor dan kepentingannya ke atas demokrasi Malaysia khususnya bila dah melibatkan satu lagi kelompok pengundi baharu di bawah 21 tahun. Sementara tu, dinamik pakatan parti nasional jugak dapat kita lihat, khususnya bila UMNO dah umumkan nak bergerak solo selepas dapat keyakinan kemenangan dari PRN Melaka baru-baru ni. PAS yang berharap dapat banyak kerusi dengan rundingan bersama Hasni pulak hanya mampu berpuas hati ditawarkan 4 kerusi je. sementara Bersatu jugak terpaksa merangka strategi tersendiri lagi-lagi selepas Mazlan Bujang keluar Bersatu.

prnjohormskini
Via Kosmo

Sekarang ni pulak, beberapa nama terkemuka dalam senario politik negara mengumumkan bahawa diorang tak bertanding dalam PRN Johor kali ni. Manakala di sudut PH pulak, Maszlee disebut sebagai calon MB sekiranya diorang menang kali ni dan dikatakan bersedia mencabar cicit Onn Jaafar, Onn Ghazi di DUN Layang-Layang.

Muhyiddin dan Ahmad Maslan tak bertanding kali ni, dah ada pengganti baharu untuk DUN masing-masing

Dua nama ni tak asing dalam sejarah politik negara. Muhyiddin, antara wajah utama Bersatu dan mantan Perdana Menteri ni dah umumkan bahawa dia tak bertanding mempertahankan kerusi DUN Gambir yang disandangnya sebelum ni pada PRN Johor kali ni.

Berita Harian melaporkan, Muhyiddin kata keputusan tu dibuat bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan. Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri kata calon yang bakal ganti Muhyiddin diyakini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi.

“Tan Sri Muhyiddin sudah meminta kepemimpinan Bahagian BERSATU Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepada beliau kerana DUN Gambir terletak di bahagian ini.

Justeru, saya sebagai Ketua Bahagian BERSATU Ledang sudah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi,”-seperti yang dilaporkan Berita Harian

Di sudut UMNO pulak, Ahmad Maslan yang merangkap Setiausaha Agung UMNO turut mengesahkan bahawa dirinya takkan bertanding dalam mana-mana kerusi DUN di kawasan Parlimen Pontian. Kali ni dia hanya akan bantu operasi dan kempen sebagaimana yang ditugaskan oleh pucuk pimpinan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya tidak akan bertanding di mana-mana DUN dalam kawasan Parlimen Pontian ini. Dan saya tumpukan tugas saya sebagai Ahli Parlimen dan apabila waktunya nanti, bila Pilihan Raya Umum ke-15, apa pun saya pasti membantu untuk DUN Benut dan Pulai Sebatang.
Dan saya akan menyokong penuh Datuk Hasni (Mohammad) dicalonkan semula untuk DUN Benut dan sudah pasti kita berharap semua jentera digerakkan untuk membantu beliau dan dalam konteks Parlimen Pontian ini kita ingin menawan DUN Pulai Sebatang,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
Sebelum tu, Ahmad Maslan pernah terpalit dengan hukuman bayar kompaun RM1.1 juta sebagai penyelesaian terhadap dua pertuduhan jenayah yang dihadapinya di mahkamah pada tahun lalu. Walaupun begitu, SPR menjamin bahawa dia tak hilang kelayakan untuk bertanding akibat kompaun tersebut. Jaminan SPR yang disebutkan tu merupakan hasil rundingan penyelesaian kes berkenaan dengan Jabatan Peguam Negara sejak awal tahun 2021 ni.
Ikut perlembagaan Persekutuan, seseorang tu sepatutnya dah hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya sekiranya disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tak kurang setahun atau denda tak kurang RM2,000. Setakat ni, takde lagi sebarang khabar tentang siapa yang bakal menggantikan Ahmad Maslan untuk bertanding dalam PRN Johor kali ni. Namun kita boleh kata, ni suatu peluang baharu untuk memunculkan wajah-wajah muda dalam pilihan raya selaras dengan gelombang pengundi muda.

Maszlee disebutkan jadi calon MB jika PH menang, takde masalah cabar cicit Onn Jaafar walaupun bertembung dengan DAP

Maszlee Malik, sebelum ni pernah jadi Menteri Pendidikan di kala zaman pentadbiran PH, kini disebut sebagai antara nama calon Menteri Besar Johor seandainya diorang menang untuk kali ni. Sumber turut memaklumkan kepada Astro Awani, Ahli Parlimen Simpang Renggam tu berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi DUN Layang-Layang.

Pada PRU14, kerusi tu dimenangi Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dia tewaskan pencabarnya Murugan Muthu Samy (PH) dan Mohd Jubri Selamat (Pas) dengan majoriti tipis 364 undi. Secara tradisinya, kerusi tu ditandingi PKR, namun ia tak bermakna DAP tak minat. DAP bersedia je nak bertanding kat sana, dan menyenaraikan Marina Ibrahim, Penolong Setiausaha Publisiti DAP sebagai calon kat sana.

maszlee onn ghazi marina
Dari kiri: Onn Ghazi, Maszlee Malik dan Marina Ibrahim.. -Via Mykmu.net

Walaupun begitu, ia hanyalah desas-desus dan suatu khabar angin. Maszlee takde komen apa sangat dan sebagaimana Marina jugak; diorang akur je dengan keputusan akhir pimpinan. Harian Metro melaporkan, PH Simpang Renggam bercadang nak guna logo PKR kerana ia lebih dikenali di DUN Machap serta Layang-Layang. Sementara PKR nak guna logo sendiri, Amanah dan DAP pulak nak kekal guna logo PH.

Selain dari isu logo, perletakan Maszlee dikatakan strategik untuk DUN Layang-Layang. DAP pulak dikatakan bersedia untuk meletakkan Marina di mana-mana kerusi lain yang tengah dipertimbangkan seperti Senai, di bawah parlimen Kulai. Dahulunya, kerusi Senai lebih ‘selamat’ untuk DAP memandangkan ia dimenangi oleh calon parti tersebut dengan majoriti 18,902 undi pada 2018.

logophmskini
Via Malaysiakini

Perlu dinyatakan, meskipun Maszlee menang kerusi parlimen Simpang Renggam pada PRU14 lalu, PH masih gagal tawan kedua-dua kerusi DUN di bawahnya. Akan tetapi, PKR tetap yakin mengatasi Onn Hafiz berdasarkan jumlah perbezaan undi kecil yang pisahkan wakil UMNO dengan PH sebelum ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *