Kami ni memang suka usik-usik ahli Kabinet, tak kiralah siapa jadi kerajaan. Untuk kerajaan Perikatan Nasional ni, kami selalu usik Menteri Kesihatan kita. Sebab dia ni selalu buat lawak – macam dia kata air suam bantu tolak virus ke perut untuk dihadamkan, tempoh hari. Kali ni, kita tulis benda serius sikit pasal dia. Ada yang kata dia terlibat dengan rasuah.
Ketika musim pandemik Covid-19 ni, memang susah kita nak tengok cerita-cerita rasuah sukar untuk dapat perhatian dari rakyat. Sebabnya rakyat tengah hidup susah, dan fikir macam mana nak survive dengan keadaan ekonomi yang semakin buruk ni. Cuma, untuk mudahkan korang faham, kami tulislah artikel ni, sambil-sambil fikir macam mana nak survive tu, bolehlah ikuti cerita semasakan?
Kementerian Kesihatan dikatakan beri wang muka yang tinggi kepada syarikat tak layak, menteri ada kepentingan…
[Bahagian ini diambil dan diterjemahkan dari kenyataan media Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center)]
Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) kata, pada 5 Mei sekurang-kurangnya lima kontraktor dah dipanggil oleh SPRM untuk bantu siasatan berhubung kontrak yang dipercayai bernilai sekurang-kurangnya RM30 juta. Kontrak tu dikatakan merangkumi pembelian alat ujian Covid-19, peralatan pelindung diri dan topeng muka.
Siasatan mengenai konspirasi ni muncul apabila bekas Anggota Parlimen, Wee Choo Kiong dakwa ada syarikat yang terima kontrak telah dibayar “wang muka yang tinggi” tapi sebenarnya tak memenuhi syarat.
Walaupun SPRM dah menolak dakwaan syarikat-syarikat ni tengah berada di bawah siasatannya, dikhabarkan ada syarikat pembangunan hartanah Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) dapat projek pembinaan makmal untuk kementerian tu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba ada keluarkan kenyataan media pada 4 Mei, dengan mengatakan bahawa kementerian sentiasa memantau dan pastikan kakitangannya mengamalkan integriti yang tinggi.
Pencarian di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tunjukkan pemegang saham dan pengarah KJSB adalah Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui. Diorang ni merupakan pemegang saham dan pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SAN). Menariknya, salah seorang mantan pengarah SAN adalah Iskandar Miza Ahmad, yang kebetulan jadi pemegang saham dan pengarah di klinik swasta Adham Baba, Klinik Adham.
Klinik Adham kebanyakan dimiliki oleh Adham Baba (96.8%) sementara Iskandar Miza yang telah jadi pengarah sejak April 2004 memiliki kira-kira 1,000 saham.
Di antara soalan yang dikemukakan oleh C4 adalah; Adakah Adham Baba ada pengaruh terhadap urusan yang berkaitan pemilihan kontraktor di KKM? Kemudian, adakah Adham Baba menyalahgunakan kedudukannya dengan membuat keputusan dengan cara yang akan memberikan keuntungan dan pilih kasih kepada rakan perniagaannya?
Menteri nafikan hal ini, dia siap nak saman C4 Center RM30 juta kerana dikatakan telah memfitnahnya
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dah menuntut Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) memohon maaf selain ganti rugi RM30 juta kerana dikatakan memfitnah dengan mengaitkannya dengan kontrak pembekalan peralatan COVID-19 Kementerian Kesihatan.
Tuntutan tu dibuat menerusi Notis Tuntutan yang disediakan oleh firma guaman The Law Chambers of Fauzi & Nasser yang mewakili Dr Adham.
Peguam Nasser Yusof kata sekiranya C4 Center gagal beri sebarang maklum balas terhadap notis tuntutan tu dalam tempoh tujuh hari, pihaknya akan teruskan dengan failkan writ saman dan penyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi. Notis tuntutan tu adalah berkenaan tindakan C4 Center terbitkan satu kenyataan akhbar yang kami ceritakan kat atas.
Nasser kata dia dah diarahkan oleh Dr Adham untuk hantar notis tuntutan tu kepada C4 Center supaya mohon maaf di atas penerbitan kenyataan akhbar yang didakwa telah rosakkan reputasinya selaku Menteri Kesihatan.
“Kenyataan kononnya pihak menteri mempunyai proksi dalam mendapatkan tender untuk bekalkan peralatan-peralatan COVID-19 sangat merosakkan reputasi beliau. Selain itu anak guam kami menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta, permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat, permohonan maaf secara terbuka menerusi media sosial, permohonan maaf melalui sidang media dan permohonan maaf menerusi penerbitan di laman web C4 Center,” – Dipetik dari BERNAMA
Dia kata C4 Center juga dituntut untuk tarik balik tohmahan tersebut dan tak lagi keluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tu; tak kiralah secara lisan, menerusi kenyataan media, video atau hantaran di laman web.
“Tujuan notis tuntutan ini dan tindakan mahkamah adalah untuk membersihkan nama menteri dan membawa pihak-pihak terbabit ke medan keadilan kerana menteri ingin memberi mesej yang jelas kepada rakyat bahawa beliau adalah seorang berintegriti dan bersih serta tidak melakukan seperti yang didakwa oleh C4 Center. Hanya melalui perbicaraan di mahkamah boleh rungkai perkara sebenar, itu hasrat anak guam kami ambil tindakan saman dan bagi memastikan mereka tidak lagi terus memfitnah beliau,” – Nasser, seperti yang dilaporkan BERNAMA
Kes saman di antara ahli politik dan “whistleblower” ni dah selalu terjadi, nampaknya ia akan diteruskan
Isu kronisme bukanlah sesuatu yang asing untuk kita, perkataan “kronisme” sering digunakan dalam zikir ahli politik ketika berkempen. Salah satu faktor kejatuhan Barisan Nasional dalam PRU14 adalah mereka dikatakan telah lemas dengan kronisme, sehingga rakyat menjadi muak. Walaupun kami percaya menyaman C4 adalah hak Menteri Kesihatan, tapi kami rasa lebih elok dia terangkan apa sebenarnya yang berlaku dalam dakwaan C4.
Membalas tuduhan kronisme dengan saman ni dah selalu dilakukan dulu, apa kata kali ini tuduhan dijawab dengan penjelasan yang tuntas berhubung isu itu. Bukankah itu akan memberi keyakinan kepada rakyat?