ECRL mampu selesaikan kesesakan balik kampung, rakyat masih gusar tentang hutang dan tambangnya

cccc ecrl 1

Selepas musim raya ‘mengejut’ beberapa hari lalu, suasana raya di seluruh negara lebih meriah berbanding dua tahun lepas. Kita dah hampir rasa semuanya dah kembali seperti dulu; dah boleh berkunjung ke rumah terbuka, dah boleh bermesra dengan ahli keluarga yang dah lama tak bersua.

Namun dengan kembalinya suasana meriah macam dulu-dulu, masalah dulu-dulu pun muncul semula. Salah satunya, kesesakan jalan yang teruk. Ada yang berkongsi, hampir lima jam dah diorang tersekat di lebuh raya nak pulang semula ke ibu kota. Menteri kata ECRL boleh atasi masalah kesesakan ni, tapi ada berpendapat rakyat pulak tak mampu nak tanggung hutang dan kadar tambang lagi. Kami ringkaskan ceritanya…

ecrl 1
Via Construction Plus Asia

Masalah kesesakan lalu lintas boleh selesai lepas ada ECRL, boleh disingkatkan jadi empat jam perjalanan

Sebelum ni, isu ECRL ni hangat dibicarakan antara blok kerajaan dan pembangkang. Bila pandemik melanda, suram kembali isu ni memandangkan masa tu, tak boleh balik kampung. Sekarang isu ni dibangkitkan semula, kali ni dengan anggaran akan siap penghujung 2026.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kata tempoh perjalanan ke pantai timur ketika ni ambil masa lebih dari tujuh jam. Apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dah siap nanti, ia akan jadi lebih singkat iaitu sekitar empat jam.

“Untuk jalan balik ke pantai timur (perayaan) memang jauh lebih sesak daripada biasa, jadi ini mungkin dapat diselesaikan dengan pembinaan ECRL yang dijangka siap akhir 2026.

Jadi (dengan ECRL) mereka yang hendak balik ke wilayah sana hanya memerlukan empat jam sahaja dan macam Terengganu dahulu tiada kereta api, tetapi sekarang sudah ada. Ini akan membantu rakyat di wilayah berkenaan,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

sesak raya
Via Mstar

Projek ECRL sepanjang 665 km ni membabitkan 59 terowong, dianggarkan menelan kos RM50.27 bilion dan merangkumi kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Sementara tu, Ka Siong kata situasi hampir semua jalan utama seluruh negara terkawal meskipun ada kesesakan di kebanyakan negeri. Nasib baiklah setakat ni, takde kemalangan dahsyat dilaporkan berlaku.

Selain dari menyekat kenderaan berat memasuki jalan utama dan persekutuan, situasi terkawal ni jugak didorong pemberian tol percuma dan kempen keselamatan jalan raya yang dioperasikan oleh kerajaan. Pihak polis awal-awal lagi dah dikerahkan untuk memantau dan buat rondaan sekitar laluan lebuh raya. Sebelum raya, ada Op Selamat. Semasa minggu awal raya, Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA). JPJ siap letak pegawai risik lagi dalam bas ekspres bagi memantau keselamatan pengguna bas ekspres.

pegawaijpj
Via Porta Berita RTM

Memandangkan kerajaan yakin dengan kemampuan ECRL ni, ada baiknya kita tengok dulu bagaimana perkembangan Projek ECRL sejak awal tahun ni. Pada Januari lalu, ECRL disasarkan akan siap sebanyak 37 peratus pada tahun ini. Ketika ni, projek pengambilan tanah di Pahang dan Terengganu tengah berjalan manakala di Kelantan, proses ambil tanah tu dah selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak kata pada Februari lalu, ECRL dah siap lebih 27 peratus. Ada sedikit kelewatan disebabkan masalah teknikal, tapi diorang dah selesaikan dan masih yakin boleh siap pada waktunya. Proses pengambilan tanah di Terengganu dan Pahang dijangka selesai pada 2023. Pada Mac lepas, 28.82 peratus dah siap. Kerja-kerja tanah, terowong, jambatan dan cerucuk tengah dijalankan sebanyak 143 lokasi. Ia turut dibina lebih tinggi agar tak mudah terjejas banjir.

ecrl pembinaan
Via Harian Metro

Kata Ketua Pegawai Eksekutifnya:

“Dalam reka bentuk, kita telah mengenal pasti beberapa lokasi (banjir) bukan sahaja di Terengganu tetapi di keseluruhan jajaran ECRL ini (dan) sebab itu reka bentuk yang kita buat berdasarkan ARI 100 tahun dan kita tambah 20 peratus.

Ia bagi memastikan supaya landasan yang kita bina itu adalah landasan yang lebih tinggi daripada paras banjir yang tertinggi dalam tempoh 100 tahun (dan) ditambah lagi 20 peratus, Insya-Allah, jajaran dibina diatas paras banjir yang paling tinggi sebelum ini.

Saya boleh ambil contoh di Pahang, Sungai Pahang umpamanya kalau mengikut statistik ketinggian paras banjir pada ketika itu adalah 38 meter (m) (dan) landasan yang kita bina ialah setinggi 51.2 m.

Ini antara salah satu contoh yang saya boleh kongsikan, maksudnya daripada segi jajaran, kita memang (bina) lebih daripada paras banjir yang telah berlaku sepanjang tempoh 100 tahun dan kita tambah lagi dua puluh peratus,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Malaysia berhutang dengan China kerana ECRL, dikhuatiri rakyat tak mampu bayar tambang

Pada 2019, projek infrastruktur yang menghubungkan ibu kota negara dengan wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia dikaitkan pulak dengan isu berhutang dengan China. Dakwaan ni mengingatkan kami dengan apa yang berlaku di Sri Lanka baru-baru ni. Hangat dibicarakan pada 2019 oleh PM ketika tu, Dr Mahathir; dia kata projek ni merugikan dan kerajaan tak mampu tanggung.

ecrl cccc
Via Utusan

Dakwanya dahulu, kita akan berhutang RM130 bilion dan ia mesti dilunaskan dalam tempoh 30 tahun. Pinjaman dikatakan berjumlah RM60 bilion, dan kadar faedah yang perlu dibayar semula adalah sekitar RM200 juta. Semua ni perlu dibayar kepada China Communications Construction Company (CCCC) selaku kontraktor utama ECRL. Terdahulu, pihaknya dah buat rundingan semula dan mendapati projek tu boleh je dilaksanakan dengan kos RM35 bilion. Kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding harga RM55 bilion yang dipersetujui kerajaan dahulu.

“Jika diteruskan, kita perlu meminjam sehingga RM60 bilion. Bayaran semula pinjaman itu disertakan faedah selama 30 tahun. Dalam tempoh 30 tahun, jumlah pinjaman dicampur faedah akan mencecah lebih RM100 bilion dan ada yang menganggarkan ia sekitar RM130 bilion, menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung kos projek ini,”- Dr Mahathir, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Diminta mengulas perincian semula skala projek tu jika diteruskan, dia kata kerajaan mungkin akan tangguhkan perkara tertenu seperti pembinaan landasan berkembar. Unjuran awal kargo dan penumpang pun tak begitu besar jumlahnya, jadi kita boleh tangguhkan beberapa bahagian daripada projek atau perancangan sehingga ia diperlukan.

parlimen
Via Berita Harian

Sekarang ni, ECRL tetap diteruskan dengan kos yang sedikit kecil dari tawaran kadar dulu iaitu RM50.27 bilion. Ikut laporan Wee Ka Siong, landasan berkembar akan dibina jugak, serta akan memasukkan Serendah Bypass untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Sdn Bhd ke dalam skop Projek ECRL. Set unit ‘electric multiple’ (EMU) bagi penumpang dan lokomotif serta gerabak untuk perkhidmatan kargo turut dimasukkan ke dalam projek tersebut.

Penjajaran ni diyakini akan mencapai nisbah hasil 70 peratus perkhidmatan kargo dan 30 peratus perkhidmatan penumpang. Atas faktor tu jugak, diorang akan masukkan landasan dwitolok kira-kira 30km dari stesen ECRL Jalan Kastam ke kawasan pelabuhan Northport dan Westport.

vv
Peta ECRL terkini.. -Via The Star

Walau bagaimanapun, ada jugak membangkitkan semula isu hutang dan tambang ECRL ni bila dah siap. Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail kata ia mungkin berlaku ekoran kos pembinaannya yang tinggi.

“Rata-rata rakyat negeri-negeri pantai timur menyambut baik pelaksanaan ECRL kerana dijangka dapat selesaikan kesesakan lalu lintas. Walaupun, mampu atasi kesesakan tetapi adakah rakyat mampu bayar tambang yang mencecah enam kali ganda tambang pesawat ke destinasi yang sama?

Adakah negara mampu menanggung jumlah hutang baru yang bakal dibebankan kepada generasi akan datang? Walaupun kemampuan selesaikan kesesakan lalu lintas tetapi harus juga diteliti aspek kemampuan rakyat membayar tambang dan kemampuan kewangan negara untuk menampung beban kewangan,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

anggaran tiket ercl
Anggaran warganet mengenai harga tiket ECRL dulu… -Via Facebook

Bagi Azan, kerajaan seharusnya bentangkan dulu pelan cadangan untuk pastikan tambang yang mahal dan bebanan kewangan ditangani sebaiknya khususnya bagi bakal penumpang yang akan manfaatkan kemudahan tersebut. Isu tambang ni memang dah lama disebut-sebutkan sejak 2017 lagi.

Kegusaran ni disuarakan kerapkalinya, dimana pada 2017, kemungkinan pemberian subsidi terhadap tambang ECRL ada dinyatakan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dulu, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Ketua Pegawai Eksekutifnya jugak kata benda yang sama, mustahil jugak nak letak tambang lebih tinggi daripada harga kapal terbang. Takde orang nak guna nanti.

“Kami ada mendengar terdapat pihak yang mengatakan tambangnya akan mencecah sehingga RM1,000, namun mustahil ia berlaku sedemikian. Kami juga tidak boleh mengenakan caj penumpang lebih tinggi daripada harga kapal terbang kerana tiada siapa yang akan menggunakannya jika harganya begitu.

Tambang (ECRL) perlu kompetitif dan tambang yang sebenar akan diumumkan SPAD pada 2024 kelak. Namun yang pastinya, ia ‘mampu dibayar’ kerana jika dilihat kebanyakan pengangkutan awam di Malaysia, sebahagiannya turut bersubsidi,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Kalau macam tu, kena tunggu 2024 barulah kita akan dapat makluman berapa tambang sebenar ECRL. Nak sebut perihal hutang; tak semua hutang ni buruk. Ada jugak baiknya, terutamanya apabila ia meningkatkan kualiti hidup rakyat sekitar semenanjung dan dapat dimanfaatkan oleh jutaan orang kelak. Kos pembinaannya jugak dah lebih rendah berbanding dahulu. Harapnya, tambang ECRL nanti tak mahal sangat dan masih dalam lingkungan kemampuan rakyat biasa.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *