Di awal fasa COVID-19 dulu, kita boleh tengok ramai yang menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk – kewangan, makanan keperluan, barang keperluan, kecemasan dan pengetahuan (macam kami). Ada yang bergerak secara solo, ada jugak yang bergerak dalam berkumpulan bila nak hulurkan bantuan kepada yang memerlukan terutamanya ketika PKP dulu.
Tapi ada satu kumpulan sukarelawan ni, walaupun ia lebih bersifat ad-hoc dan sementara je, ramai yang menggunakan tenaga kumpulan dan platform yang mereka bentuk untuk tawarkan sumbangan ataupun meminta sumbangan sama ada untuk diri dan keluarga mereka sendiri ataupun untuk orang lain yang tak pandai guna Internet. Ni cerita kumpulan tersebut…
Diasaskan sebagai platform kumpulkan mereka yang ingin bantu dengan mereka yang memerlukan, wujud di banyak tempat seluruh negara
Kumpulan tersebut bukanlah sebuah pertubuhan sukarelawan, kata Joseph Mathers. Joseph Mathers, atau lebih popular dikenali dengan akaun Joe Mathers dalam platform baharu yang dicipta menerusi laman Facebook iaitu “Caremongering Malaysia – A Community Response to Covid-19”.
Kami tertarik dengan idea di sebalik penubuhan platform ni, sebab mengikut Joe Mathers yang merupakan ekspatriat dari Scotland, ia lebih kepada sebuah platform yang mengumpulkan mereka yang berhasrat untuk bantu mereka yang memerlukan dan memohon bantuan. Selain tu, ia digerakkan atas dasar semangat kekitaan dan amat bergantung dengan sifat bantu-membantu sesebuah komuniti tu.
Daripada laman kumpulan yang dicipta dalam Facebook, boleh tahan jugak kumpulan ni… menurut pemerhatian kami, platform tersebut amat mudah je untuk digunakan dan telahpun dikoordinasi dengan baik sekali. Joe Mathers, pengasasnya dah nyatakan 10 peraturan asas bila nak gunakan platform tersebut. Antaranya adalah maklumat peribadi kenalah sentiasa dijaga rapi dan tak dibenarkan komen yang buruk-buruk hingga membawa perasaan negatif antara ahli kumpulan tu.
Memandangkan ia bukanlah sebuah persatuan atau pertubuhan yang lebih besar daya upayanya untuk membantu orang ramai, maka mereka memang dah siap-siap buka Google Form yang khas untuk sesiapa yang berminat nak jadi sukarelawan. Kemudian, mereka akan dipandu ke beberapa kumpulan WhatsApp yang fokus pada sekitar komuniti tersebut.
Di samping tu, cara mudah untuk cari sukarelawan atau memohon bantuan adalah dengan penggunaan hashtag. Misalnya, kalau nak mohon bantuan tu, kena pakai hashtag #ISO (in search of help) manakala untuk mereka yang nak bantu tu kena pakai hashtag #OFFER. Jika ada lebihan makanan yang nak disalurkan kepada yang memerlukan, korang boleh cari je dari hashtag #ISO. Begitu jugak kalau nak mohon bantuan, boleh guna hashtag #ISO dan lokasi korang.
Kadangkala tak semestinya bantuan yang dipohon tu berbentuk makanan. Dalam beberapa hantaran yang telah kami tengok, ada jugak yang memohon bantuan kewangan untuk pembedahan bayi mereka serta peluang pekerjaan untuk menyara keluarga mereka. Ada pulak yang memohon bantuan keperluan bayi dan anak-anak kecilnya. Namun oleh disebabkan platform ni hanya ‘menyiarkan’ tawaran dan permohonan bantuan, jadi ia amat bergantung dengan nasib jugaklah.
Satu cabaran nak sisihkan golongan ‘scammer’ dengan yang benar-benar perlukan bantuan, sukarelawan ni kongsi pengalamannya
Menjadi satu cabaran jugak bila hati ikhlas nak buat kebaikan memberi dekat orang yang benar-benar perlukan bantuan tapi akhirnya kena tipu pulak. Orang kata takpelah, sebab yang penting ikhlas. Namun begitu, benda ni pun menjadi hak untuk pemberi jugak agar bantuan tu sampai kat tangan mereka yang boleh manfaatkan benda tersebut.
Dalam temu bual yang disiarkan dalam In Real Life, terdapat beberapa cara yang telah mereka ambil untuk mengenalpasti kesahihan dan ketulenan maklumat yang telah diberikan oleh pihak pemohon tu. Mereka ‘mulakan’ penapisan tu dengan maklumkan pihak pemohon untuk isi dulu Google Form. Lepas tu, anggota sukarelawan akan hubungi dan kemukakan beberapa pertanyaan selanjutnya berkenaan bagaimana kehidupan mereka.
Biasanya kalau scammer ni, mereka akan jadi terlebih rajin nak follow up atau suruh hubungi semula. Kemudian, kalau minta gambar sebagai bukti… golongan scammer ni jugak akan cuba mengelak dari bagi bukti dengan beri alasan dan sebagainya. Namun begitu katanya, dalam 608 kes yang telah mereka ambil, cuma kurang dari 12 kes tu je yang kes ‘tak jujur’.
Kami rasa inisiatif sebegini sememangnya harus dipuji dan diangkat dalam pengetahuan umum sebab secara langsung membuktikan bahawa kita merupakan masyarakat berkebajikan dan memiliki semangat kekitaan yang tinggi. Walaupun begitu, kebanyakan kumpulan ni dah tutup sekarang kerana PKP pun dah dilonggarkan sekaligus membolehkan ramai mencari peluang lain untuk mencari rezeki jika dibandingkan dengan PKP di peringkat awal dulu.