Selama ni, kita mengharungi zaman pandemik yang mencabar ni bersama dengan aplikasi Mysejahtera. Sejak ia mulai diperkenalkan, ia menjadi satu rutin tiap kali kita nak keluar atau masuk ke dalam mana-mana premis. Bahkan, takde Mysejahtera dalam telefon pintar dulu pun boleh disaman. Jadi, selamatlah untuk kami katakan bahawa Mysejahtera ni suatu aplikasi wajib ada dalam kalangan rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, ramai jugak yang rasa sangsi dan ragu terhadap syarikat yang urus keselamatan data peribadi Mysejahtera. Dah beberapa kali isu ni keluar, dan kerapkali dahpun dijawab oleh pihak KKM. Akan tetapi, isu kali ni lebih besar dari isu-isu keselamatan data peribadi yang lepas. Kali ni, laporan PAC pulak yang risau mengenai syarikat yang dapat kontrak untuk uruskan Mysejahtera. Ikuti kupasan ringkas kami…
Aplikasi Mysejahtera rupanya dibangunkan tanpa kontrak, KPISoft sekadar tukar nama syarikat?
CodeBlue menjadi antara platform terawal yang sebut pasal Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF). Laporan tersebut ada sebut tentang Mysejahtera. Kami rujuklah laporan tu, dan cari kebenaran di sebalik desas-desus bahawa Mysejahtera ni dah dipindahmilik atau diberikan kepada sebuah syarikat swasta.
Sebuah mesyuarat kabinet pada 26 November secara prinsipnya sokong rundingan terus bagi melantik syarikat baharu iaitu MySJ Sdn Bhd untuk ambil alih sistem Mysejahtera.
Awalnya, Mysejahtera dibangunkan oleh KPISoft Malaysia Sdn. Bhd. Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan, Datin Rosni binti Mohd Yusoff dilaporkan menjelaskan bahawa syarikat KPISoft Sdn. Bhd dah tukar entiti kepada MySJ Sdn Bhd. Oleh demikian, kerajaan buat rundingan terus kepada MySJ Sdn. Bhd pulak. Ini kerana selama ni, pembangunan sistem Mysejahtera dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan takde kontrak dengan mana-mana syarikat.
Bila bawa kepada Jemaah Menteri untuk murnikan balik dari segi proses perolehan dan sebagainya, kemudian dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan. KKM setuju nak ambil alih aplikasi Mysejahtera, jadi KKM dianggap kena mulakan semula proses yang awal termasuk dari segi kos, status syarikat dan rundingan semula kos-kos pembangunan aplikasi Mysejahtera.
Rosni sambung menjelaskan, Kementerian Kewangan dah luluskan RM9.317 juta untuk parti ketiga iaitu dari segi API dan dari segi pembayaran untuk SMS serta lain-lain. Namun dari segi pembangunan aplikasi Mysejahtera tu sendiri, KKM masih perlu tengok semula dari keseluruhan segi termasuk kos-kos lain.
Jika demikianlah penjelasan Rosni, kita difahamkan bahawa KPISoft Sdn. Bhd. hanya tukar nama menjadi MySJ Sdn. Bhd. Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kata kerajaan memang dah minta pengesahan terhadap kedua-dua entiti tu bagi mengetahui betul atau tak diorang ni cuma tukar nama dan bukanlah dua syarikat yang berbeza. Kalau benda tu dah sah, bermakna Kementerian Kewangan akan benarkan buat rundingan terus kepada MySJ Sdn. Bhd.
Nama syarikat takde dalam carian, KKM dicadangkan beli terus aplikasi MySejahtera
Proses penentusahan ni pun agak panjang jugak dan memang dibangkitkan dalam laporan. Misalnya, dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia tu pun takde nama Mysejahtera Sdn Bhd. Begitu jugak dengan carian SSM terhadap KPISoft Sdn. Bhd. Yang keluar cumalah KPISoft Digital atau KPISoft dengan nama yang lain. Dalam rekod kerajaan, KPISoft Malaysia Sdn. Bhd. Ada sebablah kenapa orang pun boleh jadi curiga dengan hal seperti ni.
Datin Rosni kata, mungkin MKN tak semak betul-betul. Jadi pihak diorang dah suruh KKM lagi agar semak semula perkara ni. Kalau benda tu tak betul, maka tuan pengerusi mesyuarat (YB. Tuan Wong Kah Wo – ahli parlimen Ipoh Timur) kena bawa kepada Jemaah Menteri semula. Sebagaimana yang awalnya diperjelas, KPISoft Malaysia tu nama lama syarikat. Tetapi nama baharu syarikat tu pulak adalah Entomo Malaysia Sdn. Bhd.
Kerisauan tuan pengerusi ni ada asasnya. Bagaimana jika KPISoft Malaysia jual semua kepentingannya dalam aplikasi Mysejahtera kepada suatu entiti baharu. Jadi diorang dapat duit dari sana, manakala entiti baharu ni dapat rundingan terus dari KKM untuk uruskan seluruh aplikasi ni. Maka lebih baik, KKM beli je terus aplikasi Mysejahtera ni. Bila KKM dah beli, maka tak wujud lagi masalah pengambilalihan dan lebih fleksibel untuk kita lantik mana-mana syarikat pengurusan dan perkhidmatan digital yang berkredibiliti. Risiko kebocoran data peribadi dapat dikurangkan.
Beberapa tempoh dalam mesyuarat tersebut, baru Tuan Pengerusi buat carian semula berkaitan nama syarikat tu. Dalam pendapat Tuan Pengerusi, benarlah KPI Soft dan MySJ Sdn Bhd tu entiti yang betul-betul berbeza. KPISoft Malaysia Sdn Bhd tukar nama kepada Entomo Malaysia pada Mei 2020. KPISoft Sdn. Bhd. sekarang dikenali Entomo Malaysia Sdn. Bhd. Ada dua pengarah yang tersenarai: Rekhta Mani dan Yogaraj Thuraisingam. Pemegang sahamnya, Entomo Private Limited.
Manakala bagi MySJ Sdn Bhd pulak, ditubuhkan pada September 2020. Panel pengarahnya ada 6 orang: Datuk Hia Kok Poon, Reveenderan Ramamoothie, Anuar bin Rozhan, Tan Sri Dato’ Sri Liew Kee Sin, Tan Sri Dato’ Seri Shahril Shamsuddin dan Tan Sri Dato’ Seri Hj. Megat Najmuddin bin Datuk Seri Hj. Megat Khas.
Kita sekarang berhadapan dengan dua soalan utama: KPISoft dah tipu kita dengan menyatakan bahawa diorang syarikat yang sama, cuma tukar nama je menjadi MySJ Sdn. Bhd. Kedua, KPISoft dahulunya bangunkan Mysejahtera atas tanggungjawab sosial korporat (CSR) je. Takde hak KPISoft nak jualkan atau berikan aplikasi Mysejahtera kepada satu lagi syarikat lain, mahupun nak suruh kerajaan buat rundingan terus je kepada syarikat yang berbeza sama sekali.
Sempat jugak tuan pengerusi ni tegur proses pengesahan yang dilakukan oleh wakil-wakil kerajaan. Dia dapat benda ni dalam masa 5 hingga 10 minit je untuk cari, yang penting nama dan maklumat yang diberikan tu betul. Takdelah sampai perlu 4 bulan, dan perlu ditolak ke satu kementerian kepada kementerian lain. Dalam kes ni, kalaulah pemegang saham atau pengarah tu masih sama antara kedua-dua entiti.. mungkin KKM boleh pertimbangkan. Sebaliknya, kedua-dua entiti ni memang semua berbeza baik dari segi barisan pengarahnya dan pemegang saham.
Jadi bagaimana pulak nasib Mysejahtera? Baru-baru ni, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin nafikan kerajaan ada guna wang rakyat untuk bayar KPISoft dalam pembangunan Mysejahtera. Secara faktanya, tu betul. KPISoft bangunkan Mysejahtera atas alasan CSR. Tapi isunya sekarang, kenapa pihak berwajib cemerkap dalam menentusahkan status syarikat? Itu sebenarnya soalan yang betul dan wajar dijelaskan.