Kapal terbang pengintip Israel berada di ruang udara Malaysia? Ini ceritanya

f1

‘Israel’ adalah suatu nama yang agak sensitif kat Malaysia ni. Biasanya, ia dikaitkan dengan keganasan, kezaliman dan tindakan tak berhati perut diorang ke atas para penduduk Palestin. Bahkan, nama tu jugaklah kadangkala ‘termasuk’ dalam kosa kata bahasa seharian kita bila nak umpamakan seseorang tu dengan perangai yang tak baik. Sampai begitu sekali ye sensitiviti rakyat Malaysia pasal nama ‘Israel’ ni. Kezaliman dan kejahatan yang kita bayangkan ni jugaklah terus menghantui kita.

728 X 90

Ramai beranggapan tentera bawang kita berjaya koyakkan Israel, namun rupanya tersudut masih sedikit rasa gerun kepada Israel. Israel dilihat sangat kuat dari segi ketenteraan, jadi tak hairanlah lepas gencatan senjata dan ‘serangan media’ yang kita buat dulu… ada khuatir Israel nak balas dendam balik kat kita pulak. Namun sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut?

pesawat intip israel
VIa KL Post

Pesawat pengintip Israel merentasi ruang udara Malaysia, kenapa Malaysia benarkan?

Hampir seminggu lalu, kita dikejutkan dengan laporan-laporan media berkenaan sebuah pesawat yang dikatakan milik Israel merentasi ruang udara Malaysia. Macam kami katakan sebelum ni, asal dengar je nama Israel… ramai dah kecut perut, tak kurang jugak bingung dan timbul rasa curiga yang mendalam tentang apa yang diorang buat di sini. Ni bukanlah pertama kali laluan udara kita direntasi oleh pesawat-pesawat pengintip lain; tahun lalu, Amerika Syarikat siap menyamar jadi pesawat Malaysia untuk intip perairan kita.

Sebenarnya, Malaysia dan Israel takdelah terputus hubungan secara keseluruhan… kita masih ada ‘kaitan’ ekonomi jugak dengan diorang. Walaupun begitu, perkara ni dianggap sebagai rahsia terbuka dan tak menimbulkan panik sepertimana khabar sebuah pesawat pengintip Israel lalu atas kepala kita. Isu pesawat pengintip Israel ni ada kena mengena dengan hal pertahanan kita, dimana sebilangan rakyat masih risau sekiranya kita jadi sasaran lepas tekanan media daripada rakyat terhadap laman-laman Israel.

israel koyak
Via Redaksi

Menurut Kosmo, sebuah pesawat perisik dikesan berlegar-legar sekitar empat jam sebelum mendarat di sebuah pangkalan tentera udara di Singapura. Memetik laporan jurnal Defense Security Asia, pesawat jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 itu adalah milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv. Firma tersebut dikatakan berkepakaran dalam risikan selain sistem elektronik.

Jurnal ni menyimpulkan kemungkinan bahawa pesawat ni bawa radar sensitif dan peralatan pengintipan. Selain tu, ia digunakan bagi risikan pemantauan maritim dan gambar risikan. Melalui pemeriksaan dalam laman Flightradar24, pesawat tu sah mendarat di Lapangan Terbang Paya Lebar di Singapura. Kosmo turut menyatakan, kehadiran pesawat ni macam suatu kebetulan yang disengajakan, kerana ia berlaku seminggu lepas Putrajaya memaklumkan kita pandang serius terhadap sebarang ancaman terhadap warga Palestin yang menetap di Malaysia.

“Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara,”- Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri Malaysia, seperti yang dipetik dari Kosmo

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) turut mengesahkan kejadian tersebut, dan menyatakan pesawat tersebut dapat kebenaran untuk rentas laluan ruang udara kita. Kebenaran tu diberikan di bawah peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Menerusi peraturan ICAO, Malaysia akan luluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara selagi tak ancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kami mengambil maklum berhubung pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara berlepas dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada Rabu, 19 Mei 2021 jam 2.55 pagi.

Sehubungan itu, kami ingin menegaskan bahawa kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) ini tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia,” – Kenyataan MOT, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

screenshot 2021 05 28 at 9.55.21 pm
Laluan udara pesawat tersebut membuktikan diorang tengah buat demonstrasi.. -Via Careta.my

MOT mengulas lanjut, takde sebarang corak penerbangan yang pelik ketika pesawat tu lalu ruang udara kita. Selain tu, pihak berkuasa penerbangan Malaysia jugak sahkan pesawat tu tak kembali ke ruang udara Malaysia lepas tiba di destinasinya, Singapura. Malah, jurucakap firma ST Engineering kata pesawat Boeing 737-400 digunakan dalam demonstrasi produk komersial untuk firmanya. ST Engineering ni firma tekonologi pertahanan yang beribu pejabat di Paya Lebar. Demonstrasi yang dimaksudkan pulak dirancangkan akan dilakukan di ruang udara dan wilayah perairan Singapura.

Sambung jurucakap tu lagi, demonstrasi tersebut dah selesai dan persediaan dahpun dilakukan untuk pesawat tu keluar dari Singapura. Walaupun begitu, firma ST Engineering tak memberikan maklumat terperinci mengenai demonstrasi tu. Diorang sekadar mengesahkan bahawa pesawat tu bukan nak intip Malaysia, dan hanya lalu je menggunakan ruang udara kita untuk ke Singapura.

sintechaeroarm1610e 2x
ST Engineering adalah syarikat terkemuka dalam bidang aeroangkasa di Singapura.. -Via The Straits Time

Status pesawat perisik masih diragui, dua pakar ni cuba jelaskan dua kemungkinan berbeza

Hakikat pesawat perisik Israel ni mengundang pelbagai persoalan, gesaan dan pelbagai hujah daripada warganet. Namun begitu, ada dua penjelasan yang kami rasa agak penting untuk kita pertimbangkan. Kedua-dua pendangan ni sememangnya berlawanan antara satu sama lain, tetapi ia tetap menarik perhatian kami hingga buatkan kami nak kongsi dengan para pembaca.

Pandangan pertama ni menyatakan tegas bahawa Malaysia patut siasat pesawat perisik Israel ni. Prof Dr. Azmi Hassan, pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kata;

“Bagi saya, kedudukan dalam negara seperti tempat kem tentera dan sebagainya, itu sememangnya sudah diketahui oleh mana-mana negara pun. Namun, apa yang dibimbangi penggunaan pesawat intip ini adalah kemampuan mendapatkan data-data lebih terperinci secara elektronik seperti perbualan telefon dan sebagainya.

Tetapi dalam hal ini, saya melihat jikalau isu di Gaza tidak berlaku, kemungkinan perkara ini tidak timbul tanda tanya. Oleh kerana Israel melabelkan Malaysia sebagai penyokong tegar Palestin, itu yang menimbulkan kesangsian di situ,”-seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia

Namun begitu, pakar dalam industri penerbitan Kapten Datuk Nik Huzlan Nik Hussain pulak berpandangan pesawat tersebut takdelah berbahaya sangat sebagaimana yang orang ramai gambarkan. Pesawat tersebut bukanlah pesawat tentera pun, sebaliknya merupakan pesawat awam. Tambahan lagi, pesawat Boeing B737-400 ni turut pernah digunakan oleh MAS dalm tahun 90-an, dan dia sendiri pernah jadi kapten untuk pesawat model yang sama selama lapan tahun. Model pesawat ni pun dah lama jugak.

Menurut informasi dari rakan beliau, Kapten M. Radzi Desa, pesawat tu pernah jadi sebahagian dari aset MAS dari tahun 1991 hingga 1994. Ia dah digunakan oleh syarikat penerbangan lain, sebelum dijualkan kepada Israel Aircraft Industries (AIA) pada tahun 2012. Pesawat tersebut, dalam pandangannya, digunakan sebagai ‘test-mule’ atau pesawat ujian untuk uji peralatan elektronik dan lain-lain. Ia mungkin sedang uji tangki bahan api tambahan, sistem elektronik yang dipertingkatkan atau sistem pendawaian baharu.

malaysia airlines boeing 737 400 prasertwit 1
MAS Boeing 737-400, model yang sama dengan pesawat Israel tersebut.. -Via Wikimedia

Selanjutnya, kerana ia diklasifikasikan sebagai pesawat awam, ia kena ikut perundangan udara am. Segala data, daripada lesen hingga masa, jumlah penumpang dan jumlah bahan api akan dikongsikan kepada Malaysia, sama halnya dengan kapal terbang awam yang lain. Laluan udara dari arah barat laut ke Singapura jugak sebenarnya tak lalu pun markas TUDM atau atas Putrajaya. Jika benar ia lalu ruang udara Putrajaya, pihak kerajaan pasti dah tahu dan beri kebenaran.

Dari segi teknikal pun, pesawat ni takde pun ciri-ciri pesawat tentera lain seperti sistem perlindungan anti peluru berpandu. Sedikit sebanyak, kita boleh lihat rasional yang diberikan oleh Dr. Azmi tadi, iaitu lokasi markas tentera kita memang pengetahuan umum untuk negara-negara lain. Tak perlu hantar pesawat pengintip pun untuk Israel ‘serang’ kita.

Lagipun, agak kurang bijak bagi Israel nak ‘serang’ kita sebab kita jugak mempunyai pertalian diplomatik dengan banyak negara khususnya negara yang anti-Israel. Kita jugak ada beberapa perjanjian pertahanan, seperti Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dengan United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura. Sebarang ancaman ke atas kita akan menyebabkan FPDA berkuatkuasa serta merta.

Tetapi bagi sesetengah pakar, kewujudan perjanjian ni tak bermakna kita boleh leka. Pesawat ni masih berkemampuan untuk intip kita, cerap rutin harian serta lokasi strategik kita. Bagi Dr. Mohd Mizan Aslam, Malaysia menjadi sarang tumpuan diaspora rakyat Palestin termasuklah mana-mana rakyat Palestin yang lakukan latihan ketenteraan di sini. Maka, boleh jadi kita dilihat ancaman kepada Israel.

Namun kita kena sedar bahawa ni semua hanya telahan semata-mata, dan sebuah teladan untuk kita. Jika kita fikirkan, operasi perisikan Israel lebih wajar dipergiat di negara-negara Arab seperti Lubnan dan Jordan kerana mangsa Nakbah dulu banyak lari ke sana berbanding ke Malaysia. Akan tetapi, kita mestilah memantapkan lagi pertahanan kita agar keamanan terus tercapai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *