Seiring dengan perkembangan vaksin ketika ni, dah semakin ramai geng anti-vaksin yang ‘muncul’ menyuarakan rasa tak puas hati mereka pasal vaksin. Macam-macam dah hujah yang kami temui, termasuklah yang menafikan COVID-19 ni wujud. Antara dakwaan mereka jugak adalah wabak ni cuma menguntungkan pihak hospital je dan wabak ni dikatakan dirancang awal.
Dakwaan-dakwaan ni haruslah ditepis sebab benda macam ni lah yang akan menyukarkan langkah kita nak kawal penularan COVID-19. Namun adakah langkah menepis dan mentertawakan geng anti-vaxx ni mencukupi untuk lawan pengaruh mereka?
Geng anti-vaxx ada 2 jenis, sikit je daripada mereka yang sangat tak percayakan vaksin hingga mungkin perlu didakwa
Mengikut sebuah kertas polisi yang diterbitkan oleh Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS), penting jugak untuk kita kenalpasti terlebih dahulu jenis geng anti-vaxx yang ada dalam negara. Tak semua geng anti-vaxx ni tercuci minda sepenuhnya dengan idea dan teori konspirasi takde asas.
Dalam sebuah kajian yang diutarakan oleh Profesor Kasisomayajula Viswanath dan Profesor Lee Kum Kee dari Harvard, masyarakat ni secara umumnya boleh dibahagikan kepada 3 jenis; satu jenis kelompok masyarakat yang percayakan fungsi vaksin, satu lagi jenis kelompok masyarakat yang nak buat benda betul tapi tak tau macam mana, dan sejenis lagi yang memang tolak vaksin habis-habisan.
Daripada 3 jenis ni, jenis yang nak buat benda betul tu lebih mudah terpujuk dan termakan dakyah geng anti-vaxx. Jika dilihat dalam konteks Malaysia pulak, kelompok ni nak ikut hati untuk jadi orang baik dengan menolak atau menerima sesuatu yang diharap menjadi langkah yang benar. Sebab tu kadangkala kita banyak tengok hujah geng anti-vaxx mesti sebut pasal Islam, Nabi, Dajjal dan lain-lain demi menakutkan kelompok atas pagar ni.
Secara mudahnya, geng anti-vaxx tegar ni mempunyai jumlah yang kecil tapi masih ‘berbisa’ untuk meracuni minda khalayak yang masih atas pagar pasal vaksin. Oleh tu, geng anti-vaxx tegar ni sesuai untuk diambil tindakan undang-undang terutamanya yang sangat aktif ‘mempromosikan’ ajaran dakyah mereka kat media sosial dan aplikasi komunikasi lain. Kat Telegram pun ada je kumpulan khas mereka ni…
Harris Zainul, sorang pengkaji polisi dah gariskan beberapa langkah yang boleh diambil sebagai strategi menangani pengaruh geng anti-vaxx. Kami rasa langkah ni wajar dilaksanakan dalam semua peringkat masyarakat, dan diterima baik oleh semua. Sikap ‘kita jaga kita’ tu amat penting untuk diaplikasikan dalam hal membendung pengaruh geng anti-vaxx ni. Kalau dah sampai tak percaya COVID-19… tu dah kira kronik sangat.
1. Komunikasi kenalah jelas dan dapat kerjasama daripada pelbagai lapisan masyarakat
Komunikasi ni amat penting supaya kurangnya ruang untuk kekeliruan berlaku sama ada dari segi silap tafsir fakta ataupun pandangan alternatif mengenai vaksin. Dalam isu vaksin ni, sepatutnya ia tak lagi dilihat sebagai hak prerogatif seseorang ibu bapa nak bagi ke tak. Sebaliknya, kita kena tegas bahawa memberi vaksin ni dah jadi satu tanggungjawab kepada ibu bapa untuk diberikan kepada anak mereka.
Selain tu, kita jugak kena membina hubungan komunikasi yang lebih baik, boleh dipercayai, jelas dan konsisten. Macam bagaimana kita membendung penyebaran berita palsu di awal pandemik; ramai kan yang ditahan dan didakwa? Kerjasama saluran media termasuklah komuniti warganet secara tak langsung membolehkan kita ‘menjaga’ geng anti-vaxx ni. Jika korang masih ingat ketika awal pandemik dulu, takde bunyi pun geng anti-vaxx ni.
Tokoh-tokoh penting dalam masyarakat, termasuklah golongan ustaz-ustazah, artis dan influencer ni pun penting jugak untuk menyampaikan maklumat berkaitan kepentingan vaksin. Walaupun begitu, nak pilih ‘tokoh’ tu pun berpada-pada jugak agar tak timbul masalah di lain hari. Misalnya tahun lalu, TV Al-Hijrah pernah jemput sorang panel daripada geng anti-vaxx ni, dimana dia mendakwa dia ni ‘freelance doctor’. Yang jelas tak percaya vaksin ni mesti akan lebih yakin bahawa jika kalangan mereka dijemput, tu bermaksud idea mereka tu ada betulnya.
2. Strategi lawan berita palsu kena paparkan dakwaan yang telah dibuktikan salah, sebagaimana pendedahan fakta pasal COVID-19 dulu
Melawan berita palsu ni tak mudah, tapi tak mustahil untuk dilakukan. Seperti yang dah kami cakap awal tadi, perkara ni kenalah mendapat kerjasama daripada semua pihak khususnya saluran media utama seperti stesen TV dan pihak media yang lain. Sepanjang tempoh kita mengharungi cabaran wabak ni, kami sentiasa percaya bahawa para pembaca kami memanfaatkan perkongsian kami termasuklah perkembangan vaksin kini.
Beberapa strategi lain yang harus dilakukan adalah memberi ruang khas untuk membandingkan mitos palsu dengan fakta sebenar. Benda macam ni kami lihat sudahpun dibuat atas inisiatif kerajaan seperti Sebenarnya.my. Malah TV3 pun memaparkan beberapa minit dalam segmen khas tentang mitos dan fakta sebenar bagaimana rantaian COVID-19 berlaku.
Strategi seperti ni pun sesuai jugak untuk memberi maklumat pasal vaksin. Hasilnya, kita akan membentuk suatu kesedaran dan ‘imuniti kognitif’. Imuniti kognitif membuatkan korang akan lebih berhati-hati dengan sesuatu maklumat yang disebarkan, dan sentiasa menyemak fakta terlebih dahulu daripada pelbagai sumber rasmi.
3. Hukuman dan tindakan perundangan yang sesuai boleh diukur berdasarkan tahap bahaya kandungan geng anti-vaxx
Tindakan perundangan ni merupakan tindakan akhir yang diharap mampu menangani pengaruh geng anti-vaxx ni terutamanya di media sosial. Ada sesetengah daripadanya aktif kat ruang komen je. Sebahagian daripada geng anti-vaxx ni jugak merupakan pencipta kandungan yang aktif menghasilkan kandungan berbentuk visual, video dan artikel dakyah mereka.
Tahap bahaya sesebuah kandungan boleh dikategorikan mengikut kesan dan implikasi wajar yang boleh dinilai dalam jadual di bawah ni:
Pengkategorian ni penting untuk mengukur tahap hukuman yang boleh dijatuhkan di mahkamah, termasuklah dengan mengukur sejauh mana tersebarnya informasi palsu tu dan matlamat penyebaran informasi palsu tersebut. Untuk pengetahuan korang, baru-baru ni Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya menurunkan sebuah video Youtube yang dicipta oleh sorang wanita daripada kumpulan anti-vaxx ni.
Viral a few days ago a video by this lady spreading lies and misinformation about vaccines. @officialmosti lodged a report with @SKMM_MCMC & @YouTube has taken the video down. We will continue to monitor misinformation from anti-vax and take action. pic.twitter.com/MKqEMh89Kj
— Khairy Jamaluddin π²πΎπΊ (@Khairykj) November 12, 2020
Langkah-langkah yang diberikan ni boleh ditambahbaik dari semasa ke semasa, bergantung pada keadaan dan kesesuaiannya nanti agar tak disalahgunakan pulak. Yang pasti, geng anti-vaxx ni membawa lebih banyak mudarat dan harus dibendung pengaruh mereka lagi-lagi semasa kita mencari jalan untuk kembali sembuh.