Huru-hara berlaku kat Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila banyak keluhan dan rungutan para pengguna pasal kenaikan harga bil elektrik yang melambung tinggi. Rata-rata terkejut bercampur marah apabila tengok bil mereka; ada yang sampai beribu-ribu!
Dekat seminggu jugak hal TNB tu, dari sekadar luahan marah para pengguna kat media sosial hinggalah timbul pulak isu gaji orang tertinggi TNB. Anwar Ibrahim pun ikut bagi kenyataan jugak setelah sekian lama namanya hanya disebut-sebut muncul dalam isu calon PM untuk PH plus.
Kecoh di media sosial hingga gaji pengurusan dipertikai, FOMCA bagi cadangan perbaiki TNB
Banyak jugak yang mintak penjelasan dari TNB, tak kurang jugak yang menyalahkan smart meter TNB, manakala segelintir lagi tak puas hati dengan operasi pembacaan meter yang lambat hingga menyebabkan mereka terpaksa bayar harga yang lebih tinggi pada bulan tersebut.
TNB kata punca utama kenaikan bil yang mendadak ni adalah disebabkan oleh penggunaan elektrik sepanjang PKP tu bertambah 25 hingga 40 peratus. Namun hanya salahkan pengguna ‘terkejut’ pun tak adil jugak, sebab rupanya tarif elektrik tu dah guna prorata, maksudnya kadarnya dah lain sedikit. Tambah lagi, ada jugak kata kadar 3 bulan tu dikatakan disekalikan dalam satu bil.
Walaupun begitu, TNB kata guna prorata lebih baik dan lebih jimat untuk pengguna. Megat Jalaluddin Megat Hassan, Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd (TNB) kata prorata ni kaedah pengiraan yang lebih baik kerana dikatakan pastikan jumlah bil yang tepat bagi setiap bulan bil anggaran dibuat.
“Kalau kita tidak gunakan prorata untuk perbandingan, kalau kita terus darab sahaja menggunakan tariff band, jumlah akan jadi lebih tinggi,”- Seperti dilaporkan Berita Harian pada 30 Mei 2020
Kes bil TNB mahal ni pun memang dah lama. Tahun lalu pun jadi benda yang sama jugak, tapi takde jugak nak guna alasan prorata ni. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pulak kata peningkatan penggunaan elektrik menyebabkan bacaan bil akan masuk dalam tarif blok kedua atau ketiga.
Beberapa cadangan Presidennya buatkan kami tertarik nak dengar. Antaranya adalah blok tarif khas kepada semua pengguna domestik dan komersial diperkenalkan untuk Mac, April dan Mei iaitu dengan meningkatkan blok tarif pertama kepada 300kWh untuk setiap bulan. Dengan idea ni, ia boleh mengurangkan jumlah bil pengguna.
Selain tu, TNB kena perbaiki mutu perkhidmatan aduan dan pertanyaan pengguna kerana ramai yang masih keliru dengan bil prorata tu. Oleh demikian, TNB wajar tetapkan panggilan pengguna dilayan tanpa menunggu sehingga 10 minit dan kadar caj panggilan dapat dikurangkan. Ada betulnya jugak… Bukan semua orang ada postpaid dan masa yang panjang hanya untuk suruh tunggu panggilan disambungkan ke bahagian yang sepatutnya.
Orang ramai pun dinasihatkan untuk guna kaedah sistem Bacaan Meter Sendiri (SMR), di mana ia bolehkan pengguna memasukkan bacaan meter mereka sendiri ke dalam sistem supaya mendapat bil elektrik yang tepat dan tidak lagi bergantung kepada kaedah bil anggaran.
Pelan Bayaran Mudah (PBM) jugak harus dipromosikan dengan lebih meluas lagi supaya ia jugak boleh bantu tawarkan jalan alternatif mudahkan para pengguna bayar bil mereka. Menerusi PBM ni, ada pengecualian surcaj pada pembayaran lewat dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan elektrik.
“Apabila pelanggan menerima bil bulanan sebenar pertama, mereka mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran penuh atau mengikut jumlah PBM. Maklumat pembayaran akan dipaparkan di dalam kotak berwarna kuning pada sudut kanan bahagian atas bil yang diterima.
“Pakej itu adalah sebagai tambahan kepada diskaun berperingkat berjumlah dua hingga 50 peratus yang ditawarkan kepada pelanggan bagi penggunaan elektrik dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020,”- Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 17 Jun 2020
Kerajaan persekutuan dah bantu Semenanjung Malaysia, bagaimana pula Sabah dan Sarawak?
Pengumuman kerajaan baru-baru ni untuk menyelesaikan masalah bil elektrik sudah tentu menggembirakan rakyat Malaysia, namun bagaimana pula dengan penduduk Sabah dan Sarawak? Persoalan ni bagi kami, kerajaan persekutuan harus jelaskan jugak.
Untuk pengetahuan korang, bekalan elektrik Sabah dan Sarawak tak dibekalkan oleh TNB. Bukanlah maksudnya keseluruhan Sabah, Sarawak takde elektrik ye…cuma beberapa kawasan terpencil yang terletak di pedalaman macam kisah Veveona tu biasanya takde elektrik. Syarikat pembekal elektrik di Sabah dikenali sebagai Sabah Electricity Sdn. Bhd manakala di Sarawak, syarikat pembekalnya adalah Sarawak Energy Berhad.
Soalan ni diajukan secara terbuka oleh ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii. Katanya;
“Walaupun insentif tersebut (Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan), saya ingin tahu kenapa kerajaan Persekutuan tidak adakan sesi perbincangan dengan syarikat pembekal elektrik yang dimiliki kerajaan negeri seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya bantuan insentif tu dapat dinikmati di Sarawak juga, jadi seluruh Malaysia boleh nikmati manfaat tersebut”- Seperti dilaporkan Dayak Daily pada 20 Jun 2020
Di Sabah, diskaun dan pengecualian pembayaran bekalan elektrik yang diberikan oleh kerajaan negeri hanya sehingga tiga bulan bermula dari April. Berbanding dengan bantuan yang diumumkan untuk Semenanjung Malaysia iaitu hingga September; sudah pasti diskaun yang diberi amat membantu penduduk di Sabah dan Sarawak jugak.