Kerajaan tak perlu terburu-buru bina dasar, gunakan data

f1

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, didakwa membawa hujah yang tak relevan dalam isu pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan.

Aktivis Hak Kewarganegaraan dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Wong Kueng Hui, berkata selepas mendengar justifikasi menteri itu terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan ketika berucap di Dewan Rakyat pada 11 Mac lalu, beliau berpendapat hujahan menteri itu tak relevan dengan isu dibangkitkan pelbagai pihak.

“Berdasarkan ucapan Saifuddin, tujuan pindaan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan ada elemen kawalan untuk mengelak memberi kewarganegaraan kepada orang yang tidak layak. Bagaimanapun, isu yang kita tekankan ketika ini adalah anak-anak Malaysia yang tiada kewarganegaraan termasuk kanak-kanak dijumpai tanpa waris (foundling children), anak angkat, kes kehilangan atau keciciran dokumen, anak tak sah taraf dan anak pada ibu bapa yang berstatus permastautin tetap.

“Mereka ini tak patut disamakan dengan warga asing,” katanya dalam sidang media

Kueng Hui berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada, kerajaan memang sudah mempunyai kuasa dan elemen kawalan melalui Perkara 15(a) di mana kerajaan mempunyai hak budi bicara untuk memberi kerakyatan kepada anak-anak di bawah umur 21 tahun.

Saifuddin dalam ucapannya, berkata ada kes pasangan warga asing meninggalkan bayi yang baru lahir selepas bersalin di hospital dan ia dilakukan secara sengaja oleh warga asing kerana mereka tahu bahawa kanak-kanak itu secara automatik boleh mendapat kewarganegaraan Malaysia mengikut Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Kueng Hui berkata, jika sememangnya anak-anak dimaksudkan terbukti lahir dari ibu dan bapa warga asing, maka secara jelas, tidak sah untuk memperoleh kewarganegaraan melalui Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.

“Elemen kawalan dalam pindaan ini adalah cubaan kerajaan untuk merampas hak Perlembagaan yang sedia ada dan meletakkan kuasa mereka melebihi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kueng Hui berkata, pindaan ini juga akan memudaratkan komuniti tanpa kewarganegaraan yang sedia ada, termasuk Orang Asli, Orang Asal Pribumi Sabah dan Sarawak, serta mewujudkan sebuah kelas baharu warga tanpa kerakyatan yang akan terus terperangkap dalam birokrasi yang tak menentu.

Beliau menggesa wakil rakyat blok pembangkang melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai semak imbang yang berkesan dalam Dewan Rakyat.

Dalam majlis penyerahan memorandum hari ini, Ahli Parlimen DAP, Syerleena Abdul Rashid dan Ahli Parlimen PAS Datuk Seri Shahidan Kassim, mewakili blok masing-masing menerima memorandum bantahan dari parti MUDA.

Memorandum empat muka surat itu antaranya membantah cadangan pindaan Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua, ‘Kuatkuasa undang-undang’ digantikan kepada ‘Pendaftaran’.

Kueng Hui berkata, kesan terhadap pindaan ini adalah kanak-kanak baru lahir yang dijumpai tanpa waris tidak lagi berhak mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Pada masa ini, Perlembagaan Persekutuan melindungi kanak-kanak baru lahir yang dijumpai.

“Seksyen 19B adalah peruntukan keterangan yang memberi faedah kesangsian kepada mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai, di mana tarikh dan tempat lahirnya, termasuk status ibu bapanya tidak diketahui dan tidak dapat dibuktikan.

“Pindaan tersebut akan menyebabkan kanak-kanak baru lahir yang dijumpai memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran, dan meletakkan beban pembuktian ke atas kanak-kanak tersebut berkenaan identiti ibu bapanya.

“Dalam pada masa yang sama, saya juga ingin menyatakan bahawa proses pendaftaran yang sedia ada sarat dengan penangguhan, dan kelulusan yang tidak terjamin,” katanya.

Bantahan lain termasuk cadangan pindaan Perkara 14(1)(b) seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua, ayat ‘Mastautin Secara Tetap’ dimansuhkan dari teks asal; Perkara 14(1)(b) Seksyen 1(e) Bahagian II jadual Kedua: terma kuatkuasa undang-undang digantikan kepada terma Pendaftaran dan Perkara 26(2) berkaitan dengan Perkara 15(1), terma ‘Tarikh Perkahwinan’ digantikan kepada ‘Tarikh Mendapat Kewarganegaraan.’

Jangan takutkan rakyat, guna data yang tepat untuk bina dasar

Pakar dan penyokong hak kewarganegaraan berkata, sebelum sebarang pindaan diluluskan, perlu dibuat kajian tentang impak yang mungkin timbul serta implikasinya ke atas masyarakat, ekonomi dan keselamatan negara.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tak mempunyai data mengenai orang tanpa kerakyatan yang “tulen” di negara ini – yakni mereka yang tanpa kewarganegaraan atau terikat kepada negara lain, dan dilahir dan dibesarkan di Malaysia.

Sebaliknya, Jabatan Pendaftaran Negara mengumpulkan orang tanpa kerakyatan dengan pekerja asing, pelarian dan pendatang tanpa dokumen di bawah istilah mewakili semua bukan warganegara.

Sesetengah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mempunyai anggaran bilangan mereka. Persatuan Jaringan Pembangunan Sumber Manusia Luar Bandar (DHRRA), pertubuhan bukan bersifat keuntungan yang menyantuni orang tanpa kerakyatan, memberitahu Bernama, lebih 9,000 kes orang tanpa kerakyatan dari empat buah negeri di Semenanjung Malaysia, berdaftar dengan mereka, pada masa ini.

Sabah sahaja mempunyai anggaran 300,000 orang tanpa kerakyatan, meskipun angka itu berdasarkan jumlah bukan warganegara di negeri itu, demikian menurut Maalini Ramalo, pengarah perlindungan sosial di DHRRA.

Orang tanpa kerakyatan tidak boleh dikelirukan dengan pelarian, pekerja asing atau pendatang tanpa dokumen.

Meskipun pelarian boleh juga menjadi orang tanpa kerakyatan, seperti Rohingya, perbezaan ketara ialah orang tanpa kerakyatan yang “tulen” di Malaysia tidak mempunyai negara asal selain daripada Malaysia, dan mereka juga keturunan daripada penduduk di Malaysia, dari sebelum Malaysia dibentuk, dan kebiasaannya ibu atau bapa adalah warganegara Malaysia.

Bekas Menteri Luar Malaysia dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar memberitahu Bernama, kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk meluluskan pindaan tanpa melakukan kajian terperinci mengenai impak dan implikasinya terlebih dahulu.

Menurut beliau, penting untuk membezakan antara pelbagai kumpulan bukan warganegara memandangkan orang tanpa kerakyatan yang “tulen” amat berbeza daripada bukan warganegara yang datang dari negara lain.

“Ramai (orang tanpa kerakyatan) dilahirkan di sini, tidak tahu tempat lain kecuali di sini, dan tinggal di negara ini dan tidak tahu bahasa lain. Mereka memperkenalkan diri mereka dengan negara ini. Perkara itu saya fikir perlu ditimbangkan secara berasingan, ” tambahnya.

Pada 28 Februari lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (gambar bawah), dalam jawapannya di Dewan Rakat kepada soalan mengenai impak orang tanpa kerakyatan ke atas ekonomi dan pembinaan negara, berkata, isu kebajikan perlu ditimbangkan bersama dengan hal keselamatan dan menambah, pekerja asing serta pendatang tanpa dokumen tidak berhak mendapat kewarganegaraan.

Beliau tidak memberikan sebarang data untuk menyokong hujahnya. Pakar memberi amaran agar tidak menyerah kepada psikologi ketakutan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *