Kes tuntutan waris Sulu ke atas Sabah ni dah lama. Sejak kes pencerobohan Tanduo, kerajaan Malaysia dilaporkan dah hentikan pembayaran sebanyak RM5,300 bagi menghormati permintaan waris Sulu ke atas sejarah perjanjian ratusan tahun lalu. Tindakan tersebut bagi kita, memang perlu dilakukan sebab diorang dilihat semakin berani dan semakin naik kepala apabila berdepan dengan Malaysia. Awal bulan ni pulak, isu tuntutan waris Sulu ni semakin menjadi-jadi apabila ada sesetengah pihak laporkan kononnya aset Petronas di luar negara dirampas demi membayar semula ‘hutang’ Malaysia kepada waris Sulu.
Perkara ni dinafikan kerajaan dan Petronas sendiri. Kemudian ditambah lagi dengan baru-baru ni, usul nak bincang isu tuntutan Sulu ditolak oleh Speaker Dewan Parlimen – membuatkan rakyat Malaysia semakin marah dengan kerajaan. Kenapa nak tolak usul apabila hal-hal kedaulatan negara dicabar? Adakah Malaysia akan terus berdiam diri bila waris Sulu semakin berani nak dakwa macam-macam?
Malaysia didakwa berhutang dengan Sulu sebanyak RM63 bilion, sejarawan kata tak masuk akal
Tak cukup dengan tekanan politik Filipina ke atas Malaysia bagi menuntut Sabah, waris Kesultanan Sulu masih lagi bertegas nak tuntut Sabah daripada Malaysia. Sebelum ni, kami dah banyak kongsikan sejarah kes dan kenapa Filipina pun nak sokong Kesultanan Sulu dalam menuntut Sabah. Kali ni pulak, berita tentang aset Petronas yang kononnya dirampas di luar negara membangkitkan semula persoalan Sulu, kedaulatan negeri Sabah dan negara Malaysia. Tak boleh dapat Sabah dengan cara kasar; kali ni diorang nak guna lagi cara mahkamah iaitu dengan membawa kes ni ke Eropah, dihakimi oleh hakim yang memang bermasalah.
Pada Oktober 1968, Filipina yang mewakili Sulu bawa isu Sabah ke PBB agar ia dapat diselesaikan oleh Mahkamah Dunia. Dari titik ni, Malaysia agak konsisten dalam polisi berdiam diri. Bagi Malaysia, kalau dilayan jugak Filipina waktu tu… bermakna perkara tu kita iktiraf dan akui isu tersebut. Walau bagaimanapun, hal tu tak selesai jugak. Masa tu, Filipina tak buka kes sendiri sebaliknya cuba tumpang isu sempadan antara Malaysia dan Indonesia pada 2001. Kalau nak buka kes, Malaysia mesti nyatakan persetujuannya untuk buka kes bersama Filipina. Tapi oleh sebab kita ambil taktik berdiam diri dengan isu Filipina, maka kita hanya layan tuntutan Indonesia je waktu tu. Filipina sekali lagi menangguk di air keruh apabila diorang cadangkan lagi hal Sabah dibawa ke ICJ, namun takde sambutan dari pihak Malaysia.
Baru-baru ni, isu tuntutan Sulu ke atas Sabah dibangkitkan semula apabila mahkamah di Sepanyol tiba-tiba putuskan bahawa Malaysia perlu bayar RM63 bilion kepada waris Sulu. Malaysia dah mohon injunksi untuk halang timbang tara dan perintah mahkamah Sepanyol. Salah sorang sejarawan Malaysia dari USM, Prof Madya Dr. Nazarudin Zainun berpandangan langkah waris Sulu ni memang tak patut dilakukan kerana diorang cuba bawa pertimbangan kes ni ke pihak luar yang takde kena mengena dengan Sabah. Sepatutnya kalau betul nak pengadilan, mahkamah di Sabah adalah tempat terbaik untuk selesaikan pertikaian ni. Namun perkara ni tak berlaku. Sebaliknya, diorang bawa ke Sepanyol pulak.
Sebelum ni kerajaan British pernah tolak permohonan peguam waris Sulu untuk lantik penimbang tara. Jadi sebab tu diorang bawa ke Sepanyol. Kalau nak ikut Perjanjian 1878, kalau wujud apa-apa pertikaian, hal tu boleh dikemukakan kepada Konsul General British di Borneo/Brunei. Pejabat tu tak wujud lagi sekarang, khususnya selepas pembentukan Malaysia. Waris Sulu ni pun tau jugak, agak sukar nak menang kalau kita nak cuba bicarakan isu tuntutan Sulu ke atas Sabah ni dalam konsep negara. Tapi… diorang boleh usahakan nak buka perbicaraan berkaitan perjanjian urusan tanah di Malaysia dengan Sulu, dan pembayaran dalam bentuk ringgit. Satu-satunya hubungan yang Filipina ada dengan Sepanyol dalam isu ni adalah Filipina dan kawasan Kesultanan Sulu dulu pernah dijajah Sepanyol sebelum diserahkan kepada Amerika Syarikat.
Kalau betul waris Sulu tu nak tuntut sekadar RM5,300 setahun selepas pemberhentian pembayaran wang tersebut, sepatutnya Malaysia cuma kena bayar RM48,230 je; sekali dengan bunga 10%. Walaupun begitu, waris Sulu ni tamak. Diorang tau je Sabah ni banyak hasil mahsulnya, jadi diorang tuntut bukan sahaja tunggakan wang pemisahan tahunan. Diorang turut menuntut pampasan untuk hasil minyak dan gas yang ditemui di kawasan Sabah sebelum ni.
Apa yang sama sekali tidak boleh diterima ialah tindakan mahkamah di negara asing yang tidak mempunyai kaitan, sama ada secara fakta atau undang-undang, dengan tuntutan mereka bagi mendapatkan wang pemisahan tahunan.
Bagi memastikan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam timbang tara Sepanyol yang dimulakan tanpa kerelaannya, maka Malaysia mencadangkan membuat permohonan injunksi.
Hakim di Mahkamah Tinggi memerintahkan semua kertas mahkamah diserahkan kepada peguam Britain untuk lapan individu itu dan penimbang tara di Sepanyol. Ini dilakukan melalui e-mel, pos berdaftar dan perkhidmatan peribadi melalui peguam Sepanyol.
Satu isu yang penting adalah perkara dalam tuntutan tersebut bukan bersifat komersil, hanya tuntutan wang pemisahan tahunan dan dengan demikian tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara seperti yang dilakukan oleh pihak penuntut. Hal ini ditambah lagi dengan Perjanjian 1878 itu juga tidak mengandungi apa-apa klausa peruntukan timbang tara. – Dr. Nazarudin, seperti yang dipetik dari Edisi9.com
Aset Petronas tak dirampas oleh waris Sulu, Malaysia akan buat usaha ‘all-out’ untuk halang kedaulatan dicabuli
Berita kononnya aset Petronas dirampas oleh waris Sulu tu dipetik oleh media seluruh dunia. Ramai fikir bahawa waris Sulu ni hebat sangat sampai dah boleh ‘rampas’ aset Petronas yang merupakan antara aset bernilai Malaysia. Sedangkan hakikatnya tak macam tu. Takde rampas-merampas… hanya fakta perundangan yang terlalu disensasikan.
Ikut penjelasan Wan Junaidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; ini semua datangnya dari kerja Dr. Stampa. Dia ni penimbang tara untuk kes waris Sulu ni, dan dia putuskan waris Sulu boleh tuntut wang berdasarkan Perjanjian 1987 yang ditandangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron Overbeck and Alfred Dent. Masalahnya, kes ni memang tak layak masuk ke Mahkamah Arbitrasi sebab ini bukan perjanjian komersial. Ini dah lebih perjanjian komersial sebab melibatkan ‘negara’ dan bukan persyarikatan lagi. Dah takde North Borneo Chartered Company di Sabah ni, dan tak lagi memerintah Sabah macam dulu.
Kes ni memang dah ditolak kat Madrid, jadi Dr. Stampa ni bawa pulak ke Paris. Dapat buat kat Paris, dia putuskanlah pampasan tu harus diberi kepada waris Sulu pulak. Kerajaan Malaysia dah mohon pembatalan keputusan tersebut. Benda ni dah lama sebenarnya diputuskan berikutan tindakan waris Sulu bawa benda ni ke mahkamah Eropah pulak sejak 2017.
Dr. Stampa keluarkan ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang menyebelahi waris Sulu. Membalas tindakan tu, Malaysia pun memohon bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injuksi bagi batalkan prosiding timbang tara di Sepanyol dengan rujukan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020. Malaysia pun ada buat permohonan untuk batalkan pelantikan penimbang tara dan ketepikan ‘Partial Award’ bertarikh 25 Mei 2020.
“Dengan tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.
Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.
“Pada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex-parte (sebelah pihak) daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, yang telah mengiktiraf ‘Partial Award’ yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian
Kerajaan Malaysia cabar Perintah Exequatur, dan berjaya dapat perintah penggantungan daripada First President of the Paris Court of Appeal. Selain tu, Malaysia turut failkan prosiding jenayah terhadap Dr. Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah Madrid dan prosiding tu masih berjalan. Isu aset Petronas ni pulak lain sikit ceritanya. Boleh sebab pihak penuntut dan peguamnya bertegas nak Malaysia bayar hutang tu, dan dalam kes timbang tara tu, Malaysia diarahkan bayar pampasan… diorang rasa diorang ada hak untuk sita aset Malaysia di luar negara.
Peguam waris Sulu berhujah, Malaysia dah tandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York), maka anak guamnya ada hak untuk rampas aset Malaysia di 187 negara sekiranya jumlah yang dituntut tak dibayar. Lain pulak dengan prinsip Malaysia yang menolak terus keseluruhan kes sebab takde asas timbangtara pun dalam Perjanjian 1987 dulu.
Oleh tu, bailif di Luxemborg dah beri notis (bukan rampas ye…) kepada aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus. Nilai ketiga-tiga syarikat ni dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.87 bilion). Petronas balas dengan kenyataan rasminya, memaklumkan bahawa 2 asetnya di Azerbaijian dah dilupuskan dan hasilnya tu dah dipulangkan.
Memandangkan hal ni dah termasuk dalam isu kedaulatan negara, hal ni dihalang daripada terus dibincangkan dalam Parlimen. Mesyuarat tergempar dan tertutup membabitkan ahli parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Kebanyakan Ahli Parlimen yang hadir tak dedahkan butiran taklimat disebabkan terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA), selain petugas media diarahkan untuk tak buat liputan mengenai taklimat tertutup tersebut. Tiada sidang media akan diadakan mengenainya.