Lepas ni takde lagi aliran sains atau sastera, diorang fokus benda baru…

Doc723wjao2d1j460xbnb

Korang ingat lagi tak macam mana sistem kelas korang kat sekolah dulu? Paling kurang pun, mesti ada kelas beraliran Sains dan ada pula beraliran Sastera. Biasanya para pelajar yang duduk kat aliran Sains ni mesti dianggap sebagai ‘budak pandai’, manakala yang kurang cemerlang kena pisahkan pulak kat kelas beraliran sastera.

Haa… sekarang jangan salah zaman pula. Kita dah kemaskini sistem pendidikan kita, jadi korang pun kena kemaskini jugak pengetahuan korang walaupun zaman sekolah dah berlalu. Kalau dulu, kita asingkan ikut pencapaian kat kertas semata-mata. Sekarang ni, tak lagi…

Gred kat kertas tak jamin sifat kemanusiaan. -Via Giphy

Perlahan-lahan padam label ‘pelajar tak cemerlang’…

Dah takde lagi pengasingan aliran Sains dan Sastera mulai tahun depan, khususnya untuk lepasan PT3 yang nak sambung masuk Tingkatan 4. Ni bukanlah suatu khabar yang mengejutkan, sebab dah lama Kementerian Pendidikan ni nak bubarkan sistem pengasingan murid.

Pada 2017, Datuk Amin Senin kata dah sampai masanya untuk kita hentikan amalan nak asing-asingkan para pelajar ikut keputusan akademik mereka. Menurutnya lagi;

“Tiada lagi keperluan untuk mengasingkan murid, sebaliknya kita akan mengumpulkan mereka dalam kumpulan pelajar yang mempunyai kelebihan berbeza-beza tahap penguasaan mereka agar boleh saling membantu,”- Datuk Amin Senin, seperti yang dipetik oleh Malaysiakini pada 27 Disember 2017

Dr Amin Senin
Datuk Amin Senin tengah sampaikan pesan. – Via Twitter

Konsep ni pertama kali dicuba dalam kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada sesi persekolahan 2018 dan turut melibatkan 14 sekolah rendah dan 26 sekolah menengah. Sistem tersebut diharap dapat membina suasana pembelajaran yang lebih mementingkan kerjasama antara satu sama lain dan lebih kreatif dalam sesi pembelajaran.

Sebenarnya pemilihan dan pengasingan pelajar tu suatu perkara yang tak selaras dengan dasar pendidikan pun. Amalan tersebut lahir dari usaha pihak sekolah yang dikatakan hanya nak jaga kadar pencapaian akademik atau Gred Purata Sekolah (GPS).

Sekolah Rendah
Via Simpanan.my

Kemudian pada awal 2019 ni, Teo Nie Ching merangkap Timbalan Menteri Pendidikan kata kerajaan kekalkan mansuh ke atas pengasingan kelas di peringkat sekolah rendah. Di samping tu, peperiksaan untuk Tahun Satu turut dimansuhkan. Katanya kepada Berita Harian;

“Bila tidak ada peperiksaan, maknanya kita tidak boleh bercakap mana satu (murid) cemerlang atau lemah… Kita tidak boleh melabelkan murid tujuh tahun cemerlang atau sebaliknya kerana ia terlalu awal,”- Teo Nie Ching, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 27 Januari 2019

Pendidikan ni takde kesudahan, jadi tak bolehlah nak label para murid sesuka hati sedangkan mereka kan baru belajar. Bila kita letak label macam ni, nampaklah macam tu je mereka mampu sedangkan kita tak tau lagi bakat-bakat mereka. Betul tak?

Via Giphy

Utamakan bakat dan kebolehan, tawar subjek lebih relevan…

Pada Februari 2019, Dr. Maszlee dah umum awal-awal lagi bahawa kita akan hentikan amalan pengasingan pelajar ikut aliran dalam peringkat sekolah menengah. Niatnya ni dah baik, dan selari dengan beberapa teras haluan pendidikan baharu yang tengah dilaksanakan.

Dr Maszlee Sekolah
Via Cikgu Share

Salah satu sebab perubahan ni amat perlu untuk kita lakukan demi kepentingan bersama adalah keadaan zaman teknologi dan digital sekarang ni. Menurut ucapan Dr. Maszlee dalam Amanat Menteri Pendidikan;

Kita hidup dalam zaman disebut oleh Harvard Business School sebagai VUCA –satu terma pengurusan yang merujuk kepada volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity. Kita tidak dapat mengelak malah perlu mendepani arus globalisasi melalui pendidikan yang relevan dengan generasi millenial. Golongan pendidik perlu faham dengan karakter generasi yang intim dengan teknologi, lebih jagat dan berfikiran terbuka.” – Dr. Maszlee Malik, seperti yang dilaporkan oleh Sarawakvoice.com pada 14 Januari 2019.

Oleh sebab cabaran dunia kini berlainan dengan cabaran zaman lalu, kita pun kena ubah cara kita mendidik generasi baharu. Cabaran dunia sekarang ni penuh dengan ketidaktentuan, kekaburan dan kompleksiti maklumat serta buah fikir yang sarat dengan kepelbagaian.

Via Giphy

Sambung Dr. Maszlee lagi, kerajaan akan utamakan pengetahuan teknologi dan kemahiran digital macam asas pengaturcaraan (programming), kepintaran buatan (artifical intelligence) dan penjagatan internet (internet of things/ IoT). Dengan pengetahuan ni, generasi baharu dapat mengasah bakat mereka khususnya yang berminat dalam bidang teknologi dan digital. Ni barulah namanya pendidikan yang terkehadapan.

Tiada lagi pengasingan aliran, STREAM jadi tunjang utama…

Sekarang kita dah ada formula baharu untuk ‘ganti’ pengasingan aliran lepas Tingkatan 4, iaitu dinamakan STREAM. Dr. Maszlee jelaskan dalam Amanatnya;

Selain itu, pendidikan STREAM (Science – Technology –Reading – Engineering – Arts – Mathematics) juga harus menjadi tumpuan. Sains bukanlah sekadar satu subjek semata-mata, kita perlu memperkenalkan dan mempopularkan Sains sebagai satu cara hidup. Bidang STREAM adalah bidang yang menjadi tumpuan bukan hanya di Malaysia tetapi di serata dunia kerana daya saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan dalam bidang STREAM. Laporan Forum Ekonomi Dunia 2017 menyatakan bahawa sebanyak 65 peratus kanak-kanak yang berada di sekolah rendah pada hari ini akan bekerja dalam bidang baharu yang berlandaskan STREAM pada masa hadapan apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.- Dr. Maszlee Malik, seperti yang dilaporkan oleh Sarawakvoice.com pada 14 Januari 2019

STREAM ni adalah akronim bahasa Inggeris kepada Sains, Teknologi, Membaca, Kejuruteraan, Seni dan Matematik. Bidang ni bukan kita je yang pakai, malah banyak lagi negara yang mulai tumpukan arah pendidikan mereka mengikut landasan baharu ni. Ruang ceburi bakat baharu pun dah makin luas dan begitu juga dengan peluang pekerjaan baharu.

Dr Maszlee Robotik
Via Selangorkini

Di bawah STREAM ni, para pelajar akan diberi kebebasan untuk pilih lima subjek yang mereka berminat nak belajar. Tambah lagi, akan wujud beberapa bidang pembelajaran yang boleh mereka ceburi. Antaranya adalah sains, matematik, kemahiran teknologi dan kemahiran hidup. Tu hanyalah bidang asas dan bakal ditambah lagi pada masa akan datang.

Proses pendidikan ni usaha berterusan dan kena konsisten…

Walaupun kedengaran dah bagus, Teo Nie Ching kata ia tertakluk pada kebolehan dan keupayaan infrastruktur sesebuah sekolah untuk jalankan prosedur nak tukar ke amalan baharu tersebut. Oleh demikian, usaha nak transformasi arah haluan pendidikan negara harus giat dijalankan dan kenalah berterusan.

Via Giphy

Modul STREAM ni pun dah dimulakan dalam peringkat Tabika Kemas, maka ia takdelah menjadi suatu kerunsingan buat kita nanti sebab generasi muda dah biasa dengan sistem baharu tersebut. Kami positif dengan corak pendidikan kita sekarang, dan berharap ia akan membuahkan modal insan yang sesuai untuk zaman abad ke-21.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *