Masih lagi nak membawang isu Palestin-Israel? Korang wajib baca ini

f1

Isu Palestin-Israel mungkin tampak surut selepas kedua-dua pihak dah bersetuju untuk buat gencatan senjata. Ketika ni, mata masih lagi memandang kedua-dua pihak dan berharap gencatan senjata akan terus dilaksanakan. Namun ia tak bermakna kita harus berhenti berbicara pasal isu Palestin, dan berhenti cuba nak faham mengapa konflik ni tak berkesudahan sampai ke hari ni.

728 X 90

Dulu kami dah kupas seringkasnya pasal aktor-aktor dalam isu Palestin. Kami dah bincang pasal Hamas dan Fatah, serta Yahudi dan Zionis. Kedua-duanya ada sedikit perbezaan menarik. Kemudian kami pun dah kupas jugak pasal idea dan cadangan tanah pembinaan Israel sebelum diorang pindah ke Palestin. Ni membuktikan bahawa asalnya, Israel tak wajib pun berada di Palestin. Boleh je kat mana-mana tanah yang lain termasuklah cadangan awalnya iaitu di Uganda dan Madagascar.

israel di afrika
Bagaimana jika Israel ditubuhkan di Afrika?.. -Via Reddit

1. Zionis banyak main kabel dengan British, akhirnya British pun kena tipu

Dalam komuniti Zionis, biasanya ramai tokoh terkenal yang sokong diorang. Kalau sekarang, kita bolehlah kecam secara terbuka di media sosial. Dulu, semuanya main sembunyi je dan dilakukan secara tertutup. Salah satu perkara tertutup ni adalah Deklarasi Balfour pada 2 November 1917. Pada 1917, British diketahui seluruh dunia sebagai empayar yang gagah perkasa.

Diorang banyak koloni jajahan,dan lepas Perjanjian Sykes-Picot, diorang dah pegang Palestin. Perjanjian Sykes-Picot membolehkan kuasa-kuasa Bersekutu yang menang Perang Dunia pertama pegang bekas tanah kerajaan Turki Utmaniyah termasuklah Palestin. Untuk pengetahuan korang, perjanjian Sykes-Picot ni suatu perjanjian rahsia jugak antara British dan Perancis. Diorang membahagikan tanah Turki Uthmaniyah sesama sendiri.

sykes picot gm eng 1
Kesan perjanjian.. -Via Geographic Mind

Macam kami terangkan sebelum ni, British pegang Palestin. Tentunya kalau dah British pegang, ni bererti matlamat Zionis nak pilih Palestin dah hampir dalam genggaman. British pilih Palestin pun ada sebab politiknya sendiri. Kerajaan British waktu tu harap dapat sokongan baik Yahudi khususnya yang berada di Amerika Syarikat. Amerika Syarikat masa tu dah jadi semakin kuat, dan berpotensi boleh jadi suatu kuasa baharu yang boleh bantu British. Komuniti Yahudi kat sana ramai jugak, sehinggakan ramai menyimpulkan kuasa para pelobi kaya Yahudi Zionis inilah yang ikat tangan para ahli politik di Amerika Syarikat.

Selain tu, kerajaan British berharap penempatan Yahudi pro-British di Palestin boleh bantu melindungi Terusan Suez di Mesir, sekaligus memelihara laluan perdagangan tersebut ke tanah jajahannya di India. Korang tengoklah, semua sebab ni adalah sebab politik.

screenshot 2021 05 25 palestinians and israelis remember life under british rule
Gambar lama kedatangan pendatang haram dari Eropah ke Palestin pada 1947.. -Via Reuters

Orang Yahudi Zionis ni dianggap ramai, dan malangnya, di minda British… orang Yahudi Zionis di Eropah lebih baik, berpelajaran dan tinggi statusnya berbanding Yahudi Arab.  Kat Palestin pun ada je komuniti Yahudi yang hidup aman damai. Diorang ikut adat dan budaya orang Arab, tak macam Yahudi Zionis di Eropah yang ‘terputus’ adat pemikiran dengan Yahudi Arab.

Deklarasi Balfour disokong oleh kuasa-kuasa Bersekutu, dan dipersetujui secara formal oleh Liga Bangsa pada 1922. Pada Mei 1939, kerajaan British bina polisi dalam Kertas Putihnya untuk mengehadkan kemasukan imigran Yahudi Eropah ni pada 75,000 orang je dan kemudiannya menghentikan migrasi tersebut kepada 1944 melainkan penduduk Palestin nak teruskan proses migrasi tu. Orang Zionis melenting, tuduh British suka Arab. Namun perkara tu tak menjadi kenyataan apabila Perang Dunia kedua tercetus, dan Israel ‘tertubuh’ pada 1948.

balfourdeclaration 1917229
Draf Deklarasi Balfour, pada 1917.. -Via Smithsonian Magazine

Kalau kita teliti baik-baik Deklarasi Balfour, ia nampak murni je di mata British. Secara spesifiknya, deklarasi tu sepatutnya menjanjikan hak sivil dan keagamaan komuniti bukan Yahudi di Palestin. Ni sedikit sebanyak mengecewakan Zionis sebab diorang nak Palestin tu diberi keseluruhan haknya untuk tadbir dan diorang boleh halau je komuniti di sana. Walaupun begitu, Zionis dakwa deklarasi tu takde sebut pun pasal hak politik dan kenegaraan komuniti-komuniti ini dan nama diorang tak disebut pun.

Ni lah sebab kenapa korang tengok dokumen undang-undang tu, sangatlah terperinci bahasa dan berbelit-belit; supaya orang tak sengaja putar belit mentafsirkan dokumen rasmi. Dalam kata mudahnya, British kena tipu oleh Zionis. British ingatkan Zionis akan akur, walhal diorang tak ambil pusing sangat pun “jasa British” ni apabila diorang sendiri gagal jamin hak-hak komuniti bukan Yahudi di Palestin khususnya lepas 1948.

surat balfour
Surat yang amat ditunggu-tunggu oleh Zionis pada masa tu.. -Via The Guardian

2. Israel dakwa dah merdeka, manakala rakyat Palestin merana takde tanah untuk pulang

Sekilas je British tak pandang, Israel isytihar terus diorang dah merdeka dan berjaya tubuhkan ‘negara’ sendiri lepas mandat British di Palestin dah tamat. Pengisytiharan ni disambut baik oleh Amerika Syarikat dan USSR, apatah lagi lepas Perhimpunan Umum Bangsa Bersatu pada 1947 luluskan resolusi sokong pembinaan negara Yahudi di Eretz-Israel. Ni dakwaan Israel lah, menerusi ucapan David Ben-Gurion pada 1948:

israel david ben gurion teks 1948
Sebahagian teks ucapan Ben Gurion.. -Via Israel Ministry of Foreign Affair

Sedangkan jika ditelusuri sejarah, apa yang benar-benar dibincangkan (dan diluluskan) oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu adalah pembahagian antara negara Yahudi dan negara Arab dalam satu tanah. Resolusi 181 jelas menyatakan sedemikian, tetapi pemimpin Israel pura-pura lupa pulak ye. Resolusi tersebut lulus dalam peringkat undian pun disebabkan usaha lobi daripada pelbagai kumpulan pro-Yahudi, dengan kiraan 33 setuju, 13 menentang dan 10 berkecuali.

Awalnya, terdapat respon balas yang mencadangkan kalau nak buat negara bangsa Yahudi… ia haruslah memasukkan kepada orang Yahudi yang datang sebelum Deklarasi Balfour (dan keturunan diorang), tetapi tu ditolak oleh kumpulan Zionis yakni rata-ratanya adalah Yahudi Eropah.

palestin angka migrasi yahudi
Sementara tu, bilangan Yahudi semakin bertambah apabila migran Yahudi Eropah datang ke Palestin.. -Via Canadians for Justice and Peace in the Middle East

Bahang konflik semakin terasa, khususnya di akhir waktu tentera British dihantar semula ke tanah air diorang. Salah satu peristiwa penting adalah serangan Zionis ke atas sebuah kampung kecil Arab di Dair Yasin pada April 1948. Serangan pembunuhan ni dilakukan oleh kumpulan pengganas Yahudi Irgun Zvai Leumi bersama Stern Gang. Stern Gang ni pecahan sayap gerakan Irgun Zvai Leumi.

Persamaan kedua-dua pihak pengganas ni adalah diorang sangat anti-British dan anti-Arab. Banyak aktiviti pembunuhan dan serangan telah diorang laksanakan ke atas British dan orang Palestin, mengatasnamakan segala perjuangan diorang demi idea Israel sebagai sebuah negara berdaulat. Oleh disebabkan serangan tu, pihak Arab menyerang balas rombongan Yahudi yang sedang dalam perjalanan menuju Hospital Hadassah.

creation of israel 1948 granger
Via Pixel

Pada Mei 15, susulan pengisytiharan kemerdekaan dan penubuhan Israel; pihak tentera Arab dari Mesir, Jordan, Iraq, Syria, Lubnan menduduki kawasan selatan dan timur Palestin. Semua kawasan yang terisi oleh tentera Arab sememangnya tak dimiliki oleh Israel dalam cadangan pembahagian PBB antara Israel dan Palestin. Perang yang tercetus ni dikenang sehingga hari ni sebagai peristiwa Nakbah (bermaksud Malapetaka Besar).

Dianggarkan sekurang-kurangnya 750,000 rakyat Palestin terpaksa melarikan diri ke negara-negara Arab lain disebabkan operasi pembunuhan beramai-ramai (atas nama perang nak pertahankan diri) oleh Israel. Kedatangan pihak tentera Arab tadi adalah untuk menghentikan keganasan Israel terhadap orang Palestin, dan mengurangkan tekanan yang menolak rakyat Palestin keluar dari tanah masing-masing serta lari ke negara-negara diorang pulak.

nakbah palestin
Terpaksa meninggalkan hidup diorang demi keselamatan masing-masing.. -Via ILKHA

Israel kegirangan apabila pada Februari dan Julai 1949, Israel dan negara-negara Arab yang lain setuju buat gencatan senjata. Sempadan sementara berjaya didirikan antara Israel dan negara-negara jiran. Bagi Israel, ni suatu kejayaan dan dikenang sebagai Perang Kemerdekaan 1948. Kita mengingati perkara ni sebagai permulaan kepada operasi penjajahan yang dipersetujui oleh kuasa-kuasa besar dan negara-negara Arab sendiri.

3. Kebangkitan semula demi maruah, tanah dan jaminan untuk hidup selamat

Terdapat dua istilah yang korang mesti pernah dengar sekiranya korang mengkaji perkembangan isu konflik Palestin; Intifada dan Nakbah. Intifada, merujuk kepada maksud ‘kebangkitan’. Manakala Nakbah, merujuk kepada ‘malapetaka besar’. Sebagaimana yang dah kami terangkan tadi, sejumlah besar rakyat Palestin terpaksa lari ke negara-negara Arab yang lain. Negara-negara Arab tak boleh buat apa sangat, kerana diorang pun setuju nak buat gencatan senjata dengan Israel. Akibat Perang Arab-Israel 1948, ramai terpaksa meninggalkan harta benda diorang dengan harapan bahawa diorang boleh kembali semula lepas semua dah tamat.

Malangnya, kebanyakan daripadanya dah tak boleh kembali. Israel secara efektifnya mengubah polisi pengambilan tanah diorang, maka mana-mana tanah pelarian rakyat Palestin yang kosong tu boleh diambil semula oleh “kerajaan” Israel. Hal ni membelakangi segala idea kononnya diorang setuju Palestin adalah negara berdaulat yang berdiri sendiri.

 

Perkara ni korang boleh gali sendiri dalam laporan PBB yang dibentangkan pada 1980 di New York. Dalam laporan tersebut, dianggarkan sejak 15 Mei 1948 hingga akhir 1951; lebih dari 684,000 imigran Yahudi dari Israel masuk dan menghuni tanah yang ‘ditinggalkan’ oleh rakyat Palestin. Mana-mana orang Palestin yang masih tinggal di dalam kawasan yang diduduki Israel, harta dan tanah diorang turut diambil sebahagiannya oleh “kerajaan” Israel.

Memandangkan negara-negara Arab dah tak boleh masuk campur hal dalaman Israel, diorang masih cuba untuk tekan Israel agar tak bertindak keterlaluan. Rakyat Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza bangkit berjuang, dan turut mendesak Israel berhenti menduduki kawasan-kawasan diorang serta berusaha membentuk negara Palestin yang bebas daripada Israel.

Intifada pertama berlaku pada Disember 1987 dan berakhir pada September 1993 selepas kedua-dua pihak menandatangi Perjanjian Oslo. Perjanjian Oslo kononnya menawarkan solusi bahawa idea dua negara berkongsi satu tanah boleh terjadi, namun ia tak begitu menjadi sebagaimana yang diharapkan.

palestin lari dari israel
Rakyat Palestin di Tebing Barat melarikan diri daripada tentera Israel pada Januari 1988.. -Via Middle East Monitor

Intifadah pertama tercetus apabila Israel semakin agresif setelah parti kanan Likud menang pilihan raya pada 1987. Ketika tu jugak, muncullah aktor politik lain mewakili Palestin seperti PLO. Pada tahun pertama, Israel amat kasar dengan rakyat Palestin, sehingga daripada protes aman, bertukar ganas apabila rakyat Palestin dah pakai batu, Molotov, hinggalah senjata api dan bom peledak. Ye lah, korang tak boleh harapkan orang tertindas terus tunduk je dan bagi leher diorang untuk Israel pijak dan sembelih. Reaksi masyarakat selalunya berkadaran dengan bentuk tekanan yang telah diorang hadapi.

 

Pada 1988, PLO dan Israel berjabat tangan di bawah Perjanjian Oslo. Israel iktiraf PLO sebagai wakil rasmi rakyat Palestin dan bersetuju undurkan tenteranya secara berperingkat dari Tebing Barat dan Gaza, seterusnya membenarkan pertukaran pentadbiran kedua-dua kawasan tersebut kepada PLO. PLO pulak bersetuju akan terima solusi dua negara. Atas kertas, memang tampak indah. Atas lapangan pulak, kedua-dua langgar perjanijan.

Israel masih mendirikan penempatan atas tanah yang dijanjikan untuk Palestin, manakala orang Palestin (Hamas terutamanya) mengimport senjata serta membina tentera keselamatan diorang. Pada 2000, kedua-dua pihak tegang kembali lagi-lagi sejurus Ariel Sharon yang merupakan calon PM daripada parti kanan Likud melawat Masjid al-Aqsa.

 

 

Tu suatu tindakan yang dilihat sangat mencabar masyarakat beragama Islam di sana, sebab Masjid al-Aqsa tu milik orang Islam. Bila Ariel Sharon datang nak “melawat”, dia bukan setakat nak melawat… dia dilihat nak tekankan bahawa Masjid al-Aqsa tu di bawah kaki Israel.  Rusuhan tercetus, dan tu lah titik intifada kedua. Ramai berpandangan Ariel Sharon sengaja buat provokasi macam tu demi undi dan political mileage dia je lah.

Dalam Intifada kedua, darah lantas mengalir. Pengebom berani mati, dan serangan balas daripada Israel menyebabkan kita dari jauh ni turut terasa ngeri yang amat bila mendengar perkara ni. Israel mula membina dinding pemisah di Tebing Barat, serupa dengan dinding pemisah di Gaza yang dibina pada 1996. Walaupun tahun-tahun keganasan dah mulai surut pada 2005, kawalan Israel ke atas Palestin amatlah ketat di Tebing Barat.

gaza penjara
Gaza, terpenjara bertahun lamanya.. -Via Alaraby

Ekonomi Palestin terbantut, rundingan tak berjalan lancar. Palestinian Authority (bergandingan dengan PLO) hilang sokongan dalam pilihan raya, menyaksikan Hamas menang pada 2006. Kemenangan Hamas jugak memperlihatkan kekuatan sayap ketenteraan diorang hingga berjaya menyelamatkan Gaza daripada genggaman Israel pada 2007. Sekarang ni, sebab utama kenapa kita selalu dengar Gaza dibedil teruk ialah Hamas menjadi ‘kuasa penentangan’ di sana. Hamas jugak bersifat ketenteraan dan banyak senjata api, jadi hal ni kerapkali dijadikan asbab Israel nak terus serang dan kawal Gaza.

gaza dinding protes
Proses membina dinding yang bakal jadi penjara rakyat Palestin di Gaza. Ni sangat melanggar nilai keadilan dan kemanusiaan.. -Via Stop The Wall

Begitulah galuran sejarah konflik Israel-Palestin sepanjang akhir dekad 70-an hingga 2000-an. Kami berharap dengan penerangan ni, korang boleh pertimbangkan sendiri betapa sukarnya untuk kita menghakimi Palestin apabila diorang ditekan kerana impian dan cita-cita Israel sendiri. Malah, dari awal lagi… ia bukanlah semata-mata isu keagamaan. Ia adalah isu kemanusiaan, dan hak untuk keselamatan nak hidup. Ia adalah isu kompleks yang turut dirumitkan dengan campur tangan pihak British dan Amerika Syarikat, demi kepentingan diorang di tanah air masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *