PKPB dilaksanakan, kita sedang berada dalam fasa empat dari ENAM strategi tangani COVID-19

F1
PKPB dilaksanakan, kita sedang berada dalam fasa empat dari ENAM strategi tangani COVID-19

Bermula semalam, kerajaan dah mulakan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimana sektor ekonomi dah boleh dibuka. Tapi ada pulak kata yang pengenalan PKPB ni tak dirancang dengan baik. Ramai masih takut dengan PKPB ni sebab dikhuatiri muncul lagi kluster baharu. Ye lah, kan ramai dah yang dibenarkan bergerak ke sana ke sini. Bernas ke sebenarnya idea PKPB ni?

Pkpb
Ketika tinjauan Berita Harian pada 4 Mei, jalan sedikit sesak.. -Via Berita Harian

Jangka lebih banyak ruang awam dibuka dalam PKPB, amalan ‘normal baharu’ semakin penting elak jangkitan

Mengikut pengamatan kami, kita boleh jangkakan bahawa perhatian kerajaan kini lebih tertumpu kepada nak buka sektor ekonomi dan izinkan pergerakan rakyat ke ruang-ruang awam. Benda ni kita boleh dapati sendiri dalam ucapan Perdana Menteri sendiri bila dia sebut pasal rekreasi luar rumah.

Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan. Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.

Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan. – Kenyataan Teks Perutusan Khas YAB Muhyiddin Yassin, Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja 2020 pada 1 Mei

Balik Kampung Jogging
Via Twitter

Kalau nak diikutkan rancangan pembangunan semula ekonomi yang turut disebutkan dalam Perutusan Khas tu, kita sekarang ni berada dalam fasa 4 daripada 6 strategi pendekatan tangani krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19. Setakat ni kita memang dah realisasikan strategi pendekatan terdahulu dengan jayanya.

Berikut adalah strateginya;

  1. ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak COVID-19 dengan melaksanakan PKP
  2. membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi
  3. menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal
  4. melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu
  5. memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan
  6. menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’ atau ‘new normal
Kedai Pkpb
Via Harian Metro

Boleh jadi lepas ni, kita akan menyaksikan lebih banyak bantuan sama ada berbentuk insentif kewangan, peluang pekerjaan dan usaha nak tarik pelabur luar untuk buka semula perniagaan kat negara kita jika nak dilihat pada strategi kelima dan keenam.

Ruang awam juga bakal dibuka secara perlahan-lahan, termasuklah restoran dan tempat ibadah. Di sinilah, kerajaan kena lebih tegas menguatkuasakan SOP yang ditetapkan nanti manakala rakyat kena sentiasa ingat dan patuh jaga jarak sosial dengan orang lain.

Sesak Pkpb
Via Twitter

Untuk pengendalian restoran, jarak setiap meja kenalah 2 meter atau lebih. Selain tu, pemilik restoran kena pastikan suhu badan pelanggan diukur terlebih dahulu sebelum masuk dan rekodkan maklumat asas pelanggan seperti nama dan alamat.

Yang penting, korang kena terima hakikat bahawa new normal atau normal baharu ni harus di’budaya’kan sehinggalah ancaman wabak pembunuh tu dapat ditangani dengan kewujudan vaksin serta rawatan yang lebih baik. Ada jangkakan bahawa vaksin tersebut boleh didapati dalam pasaran sekurangnya pada tahun depan.

Via Berita Harian

Ada negeri belum setuju laksanakan PKPB, kerajaan pernah kata tu hak negeri nak kekal dalam PKP

Walaupun kerajaan persekutuan dah isytiharkan PKPB, sebelum ni ada beberapa negeri yang belum setuju nak laksanakan PKPB. Antara negeri tersebut adalah Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kedah, Kelantan dan Selangor. Bagi negeri yang setuju buat PKPB pulak, mereka terdahulu masih diberi kelonggaran untuk ubahsuai SOP yang lebih sesuai.

Kata Ismail Sabri Yaakob merangkap Menteri Kanan (Keselamatan):

“Kita mengeluarkan panduan awam ke seluruh negara mengenai SOP yang ditetapkan. Kita setuju bahawa negeri boleh menyesuaikan SOP itu dengan negeri dan daerah masing-masing. Bagaimanapun, ia mestilah berdasarkan SOP yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 3 Mei

Ismail Sabri
Via Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pun takde masalah dengan negeri-negeri yang tak dapat jalankan PKPB ni. Kalau kerajaan negeri rasa PKPB masih belum dapat dilaksanakan, maka mereka kenalah ikut SOP PKP sebagaimana yang telah dilaksanakan beberapa minggu lalu.

Keputusan tangguh perlaksanaan PKPB ni pun ada rasionalnya dari sisi kerajaan negeri tu. Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah kata kerajaan negeri kena teliti dahulu syarat dan garis panduan PKPB oleh pihak Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (khas Covid-19).

Mukhriz Mahathir
Via Malay Mail

Di peringkat negeri Selangor pulak, Menteri Besarnya Amirudin Shari kata benda ni perlu dibincangkan dulu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) secara lebih teliti. Dipetik dari Astro Awani;

“Tak akan pihak polis nak serbu kedai makan, mesti pengutkuasa…Tidak termasuk lagi dengan aktiviti riadah di mana kalau saya buka (Taman) Tasik Shah Alam, saya tak tahu berapa ribu orang yang akan datang ke sana, serta bagaimana pengawalan di sana. Semua ini perlu diperincikan dan ia tidak boleh siap dalam satu hari”

Taman Tasik Shah Alam
Takut ramai pulak lepak rindukan alam.. -Via Mai Singgah

Kedua-dua kerajaan negeri di Malaysia Timur jugak berpandangan sama mengenai PKPB dan lebih selesa jika ditangguhkan dahulu kerana rata-rata rakyat di sana masih tak setuju dengan perlaksanaan PKPB. Dalam tinjauan Utusan Borneo yang kutip pendapat beberapa orang Sabah dan Sarawak, majoriti daripada responden setuju dengan keputusan negeri tangguhkan PKPB.

Namun begitu, kita dikejutkan dengan khabar bahawa PKPB dahpun diwartakan dan sekaligus ‘memaksa’ negeri-negeri lain ikut jugak PKPB ni tanpa perbincangan lanjut. Lebih teruk, peraturan yang dikuatkuasakan dalam PKP lalu terbatal dengan sendirinya. Ismail Sabri kata:

“Oleh itu PKP 4 yang diwartakan terbatal kerana kita sudah warta PKP 5, dan tidak timbul isu ada pihak tidak mahu mematuhinya kerana itu adalah salah di sisi undang-undang. Saya ingin ingatkan semua peraturan ini diwartakan dan jika diwartakan, maka peraturan diwartakan sebelum ini terbatal- seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 4 Mei

Pengenalan PKPB dikatakan terlalu awal dan tergesa-gesa, kerjasama rakyat bendung risiko penularan lebih utama

Kalau kita tengok balik, ramai yang pelik kenapa PKPB diperkenalkan terlalu awal iaitu 4 Mei sedangkan PKP sepatutnya tamat pada 12 Mei. Dalam PKPB ni, banyak dah yang diberi kelonggaran untuk beroperasi semula selain dari sektor perniagaan. Sektor pengangkutan awam dan penerbangan pun dah dibenarkan bergerak.

Petisyen Pkpb
Petisyen bantah PKPB dilancarkan dan dapat sambutan ramai.. -Via Harian Metro

Pergerakan rakyat jugak turut diubah syaratnya; daripada hanya ketua keluarga je hinggalah kepada empat ahli keluarga dalam satu kereta. Meskipun tak boleh balik kampung, pergerakan rentas negeri dah dibenarkan dengan daftar maklumat diri dari aplikasi Gerak Malaysia.

Keadaan ni memang nampak baik dari satu sudut sebab negara dah boleh mula ‘hidup’. Dari satu sudut pulak, ramai takut perkara macam ni menjadi titik kesilapan sepertimana yang pernah dilakukan oleh beberapa negara. Akibat terlalu awal ‘membuka’ negara mereka, jumlah kes jangkitan yang dilaporkan kembali tinggi.

Yang pasti, kerjasama rakyat tetap jadi faktor utama untuk menjalani dunia ketika tempoh kawalan pandemik masih lagi berlangsung. Kita kenalah elak 3C: kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan bertutur dengan jarak yang dekat (close contact).

Rapid Kl Jarak Sosial
Tak boleh bersesak.. -Via Soya Cincau

Dari awal PKP fasa pertama dahulu, #KitaJagaKita menyatukan hati kita untuk bersama-sama kawal penularan kluster baharu. Kerjasama rakyat tetap lebih penting untuk jaga kesihatan masyarakat di sekelilingnya. Nak harapkan kerajaan je jaga kita, pun tak cukup jugak.

Kami harap kerajaan persekutuan kena terus menguatkuasakan kawalan yang lebih ketat terhadap pematuhan garis panduan dan SOP yang telah dikeluarkan dalam premis serta kenderaan pengangkutan awam. Memandangkan PKPB atau PKP fasa 5 ni diperkenalkan agak tergesa-gesa, tentunya rakyat memerlukan lebih banyak pencerahan berkaitan dengan keputusan tersebut.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top