PAS dakwa kerajaan anti-Islam, tapi dana Islam tinggi

f1 min (4)

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan keengganan parti itu bekerjasama dengan DAP disebabkan pertembungan prinsip diperjuangkan masing-masing Islam sebagai al-din dan ‘Malaysian Malaysia’.

Beliau berkata PAS tak pernah berganjak daripada prinsip Islam sebagai al-din, bukannya konsep agama yang difahami mengikut takrif sekularisme.

Ahli Parlimen Marang itu berkata prinsip berkenaan antara lain mewajibkan Islam memiliki kedudukan berdaulat, bukannya konsep pemisahan dengan agama atau ‘Malaysian Malaysia’ yang berperanan menghapuskan rupa bangsa.

Beliau berkata, pertembungan berkenaan menyebabkan DAP keluar atau memaksa PAS untuk keluar daripada persefahaman politik (tahaluf siyasi) kerana melanggar prinsip perjuangan parti Islam itu.

Bagaimanapun, katanya, DAP sebelum ini, menerima konsep negara berkebajikan ditawarkan PAS mengikut kefahamannya yang sempit, membolehkan tahaluf (persefahaman) dilakukan.

“Apabila DAP mahu mengheret PAS keluar daripada prinsipnya dan menginginkan PAS tunduk kepada prinsip sekularisme yang menjadi perlembagaannya, serta konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi hala tujunya, maka berlakulah pertembungan.

“Namun, apabila Majlis Syura Ulama mengeluarkan Dokumen Negara Islam lengkap untuk dijadikan panduan, tiba-tiba DAP mendedahkan sikapnya yang menentang Islam.

“DAP menunjukkan sikapnya terhadap konsep negara berkebajikan mengikut skop sekularisme dianuti mereka, selain secara terbuka menentang Islam dengan membela golongan murtad, menentang pengharaman arak dan judi serta pelaksanaan beberapa agenda Islam yang lain.

“(Penentangan berlaku) walaupun semua perkara berkenaan dihadkan kepada umat Islam sahaja di peringkat negeri yang ditadbir PAS,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, sekularisme ditakrifkan sebagai fahaman, doktrin, pendirian dan sebagainya yang menolak nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia.

Sebelum ini, PAS dan DAP menjalin kerjasama menerusi tahaluf siyasi yang membentuk gabungan Pakatan Rakyat (kini dikenali sebagai Pakatan Harapan) bersama PKR, selama 14 tahun, antara 1999 hingga 2013.

PAS dilapor memutuskan kerjasama, selepas dikatakan DAP mengamalkan sikap campur tangan ke atas dasar membabitkan Islam serta pergeseran membabitkan beberapa isu yang gagal dipersetujui kedua-dua parti itu.

Abdul Hadi berkata, keadaan itu mempengaruhi masyarakat bukan Islam yang menyokong PAS, menyebabkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) ditubuhkan, bertujuan untuk berdepan situasi berkenaan.

Beliau antara lain mendakwa, PKR pula kononnya mahu mengambil pendekatan seperti Presiden Recep Tayyip Erdogan yang memperkenalkan konsep Sekularisme Islam di Turkiye.

Kepemimpinan di Turkiye berdepan masalah dengan Perlembagaan Turkiye warisan Mustafa Kemal Ataturk yang mewajibkan sekularisme dan mengharamkan agama, khususnya Islam daripada aspek bernegara dan berpolitik, dalam keadaan rakyatnya semua berbangsa Turki dan beragama Islam.

“Erdogan dipaksa mengadakan perjanjian yang memaksanya meneruskan konsep sekularisme dalam Perlembagaan Turkiye. Namun, beliau menegaskan kerajaan Turkiye akan melaksanakan konsep demokrasi liberal, termasuk bagi amalan Islam terpilih.

“Ia berbeza dengan Malaysia apabila pejuang kemerdekaan berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini sekali gus memberi ruang untuk mentafsirkan Islam dengan jiwa bangsa yang merdeka.

DAP selalu dikatakan anti-Islam, benarkah?

Antara tuduhan yang sering diulang-ulang terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah kehadiran DAP mendatangkan ancaman kepada Islam dan orang Melayu.

Pembangkang termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dakwa pengerusi PH tunduk kepada DAP kerana parti itu mempunyai bilangan kerusi parlimen terbanyak berbanding yang lain dalam kerajaan campuran.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan dakwaan tersebut tak benar berdasarkan peruntukan RM1.9 bilion untuk syiar Islam di bawah Belanjawan 2024.

“Pertambahan peruntukan untuk Jakim dan pembangunan hal ehwal Islam dari RM1.5 Bilion tahun 2023 kepada RM1.9 Bilion dalam Belanjawan 2024 jelas membuktikan bahawa dakwaan Islam semakin terancam dan diabaikan oleh kerajaan perpaduan Malaysia gabungan 18 parti politik hanya kerana ada DAP di dalamnya adalah jelas fitnah,” katanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Dia juga menyatakan bagaimana Anwar telah menerima inisiatif Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melalui Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

“…dengan memperuntukkan RM187 juta termasuklah RM150 juta untuk program penyelenggaraan dan naiktaraf prasarana sekolah yang uzur, RM17 juta untuk program Tahfiz TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan RM20 juta program Pra Tahfiz Kemas yang menyasarkan 100,000 hufaz cilik menjelang tahun 2026,” katanya.

Tambahan pula, Asyraf berkata agenda Melayu dan Bumiputera diperkukuh dengan penambahan peruntukan untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (di bawah Zahid) kepada RM11.554 bilion dan RM3.99 untuk Mara.

“… yang diamanahkan untuk memperhebatkan pelbagai program pembiayaan perniagaan, keusahawanan, pendidikan termasuk pemerkasaan program TVET untuk anak Melayu-Bumiputera dan pembiayaan pengajian ke luar negara yang kini mencecah 5,178 di pelbagai negara luar.

“Persoalannya, apakah benar agenda Islam dan Melayu terancam dan terabai sebagaimana fitnah PAS dan Bersatu,” soal Asyraf yang juga pengerusi Mara.

Pada Mac lalu, Zahid berkata kementeriannya telah menerima tiga pusat tahfiz untuk turut menawarkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan jumlah itu akan ditambah kepada 10 menjelang akhir tahun ini.

Anwar ketika bentangkan peruntukan RM1.9 bilion untuk syiar Islam, mengumumkan pembinaan dua buah institusi pendidikan Islam yanng akan dibina dengan kos RM220 juta iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan.

Sementara itu, sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

Anwar juga berkata Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim.

Bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat dihentikan sejak 2003 ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *