Ketika korang tengah sibuk bahan Menteri Pertahanan kerana gagal menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan sewaktu Dialog Shangri-La IISS ke-18 2019 di Singapura, masih ada berita positif tentang tentera kita. Tiga orang alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menjadi rakyat Malaysia yang terpilih bagi melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Amerika Syarikat.
Baru habis belajar kat UPNM, 15 pelajar terpilih dari 71 negara
Ketiga-tiga pelajar berkenaan baru menamatkan pengajian di peringkat asasi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tahun ini. Mereka dinilai berdasarkan prestasi akademik, potensi kepimpinan, kemampuan fizikal serta perwatakan. Proses pemilihan bukanlah mudah, di mana 71 buah negara menghantar pencalonan mereka tahun ini, dengan hanya 15 pelajar antarabangsa terpilih sebagai calon.
Mereka adalah Muhammad Aniq Hilman Haslimi yang merupakan alumni MRSM Baling dan Mateshan Varma Subramaniam serta Grace Sian Ern Hui yang masing-masing merupakan alumni MRSM Parit. Kesemua mereka merupakan antara 100 calon yang perlu memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia, lulus Australian English Test dan temu duga oleh pihak UPNM dan pegawai dari Amerika Syarikat, selain perlu mempunyai standard fizikal dan ketahanan diri yang mapan.
Antara cabaran yang perlu dihadapi olah salah-seorang alumni tersebut, Muhammad Aniq adalah untuk melaksanakan ibadah selaku umat Islam, khususnya ketika menjalani latihan dengan situasi yang tidak menentu. Latihan fizikal yang intensif dan jadual kelas yang padat pastinya perlu diharungi, khususnya ketika bulan Ramadan (berpuasa selama 16 jam). Pastinya ketiga-tiga mereka juga berdepan cabaran cuaca sejuk dan iklim empat musim, selain saiz fizikal pelatih AS yang agak besar.
Aniq akan mengikuti pengajian di Akademi Naval Amerika Syarikat (USNA) di Annapolis, Maryland. Mateshan Varma, 19, juga lepasan Maktab Tentera Diraja Malaysia akan mengikuti pengajian di Akademi Tentera Darat AS (USMA) atau dikenali West Point di New York dan Grace, 19, di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado. Muhammad Aniq berasal dari Wangsa Maju manakala Grace dari Ampang, Selangor dan Mateshan dari Ipoh, Perak.
Kalau diorang ni berjaya lulus, sebenarnya dah ada 30 orang rakyat Malaysia yang berjaya lulus
Mereka menerima surat tawaran rasmi pengajian ke tiga-tiga akademi tentera itu daripada Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir. Momen bersejarah ketiga-tiga pelajar berkenaan turut disaksikan bersama-sama ahli keluarga masing-masing serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan. Ketiga-tiga mereka akan melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan di peringkat ijazah sarjana muda selama empat tahun sehingga 2023.
https://www.youtube.com/watch?v=clIedEJ35wA
Sekiranya berjaya menamatkan pengajian, mereka akan menyertai senarai ekslusif 30 orang rakyat Malaysia yang lulus daripada akademi tentera AS sejak 1971. Sebagai rekod, kadet wanita pertama dari Malaysia yang lulus dari AS adalah Janushaa Bala Krishnan Muthiah. Semoga pencapaian ini memberi inspirasi kepada semua pelajar MRSM serta seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu, satu lagi sejarah dicipta apabila Abdul Halim Abdul Rahim terpilih sebagai rakyat Malaysia pertama menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kompeni Kadet di Akademi Tentera Amerika Syarikat West Point. Sifat kepimpinan anak muda berusia 23 tahun itu, berjaya mengetuai 120 anggota pasukannya dengan cemerlang, selain menonjolkan kemampuannya untuk menjadi pegawai tentera darat berkaliber dan mempunyai karisma tersendiri.
Projek tahun akhirnya meraih tempat ketiga di Massachusetts Institute of Technology
Dia merupakan seorang daripada 15 kadet tentera darat antarabangsa dari beberapa negara yang menerima biasiswa Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat pada 2015 sewaktu berusia 19 tahun, dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di akademi tentera berkenaan. Pengerusi Kelab Kadet Muslim di akademi berkenaan sejak 2018 ini telah diberikan pelbagai pendedahan seperti kursus payung terjun, ‘abseiling’ dari helikopter dan sebagainya. Malahan, projek tahun akhirnya telah meraih tempat ketiga dalam pertandingan reka bentuk askar di Massachusetts Institute of Technology pada Mac lepas. Dia bakal melapor diri di Kementerian Pertahanan dan akan menggalas tugas menjaga keamanan negara sebagai Pegawai Tentera Darat seperti diimpikan sejak kecil.