Pembangkang telah terima draf kerjasama dari PM

f1

Pada November lepas, Ahli parlimen pembangkang mengatakan akan menghentikan permohonan atau rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan untuk kawasan masing-masing.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia selepas dua kali pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan isu itu masih tiada jalan penyelesaian.

“Saya sahkan lebih sekali saya bermesyuarat dengan Fadillah yang diberi mandat Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ini. (Tapi) apa yang diminta daripada Fadillah ini supaya pihak pembangkang menulis surat kepada mereka (untuk) memberikan jaminan tertentu dan sebagainya.”

“Kami bincang ini tidak sepatutnya berlaku kerana semasa kerajaan dulu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan yang tawarkan kepada pembangkang tandatangan MoU disediakan, tak ada masalah apapun jadi kenapa pula kita perlu hantar surat untuk memohon dan beri akur janji?” katanya pada sidang media di ibu pejabat PN

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan meneruskan rundingan atau permohonan mendapatkan peruntukan dengan kerajaan lagi berikutan perkara itu memang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“(Peruntukan) ini adalah janji dalam buku manifesto mereka iaitu memberikan peruntukan sama rata (ahli parlimen). Tetapi Perdana Menteri ‘pusing’ dia kata tak bermakna tak beri (beri projek di parlimen tertentu) itu bukan isunya. Isunya sekarang, peruntukan (perlu) diberikan (kepada) ahli parlimen macam kerajaan sebelum ini seperti di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis diberikan peruntukan sama rata tak kira pembangkang atau kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang akan disalurkan jika mereka bersedia untuk berunding dengan kerajaan.

Anwar turut menafikan beliau bertindak zalim apabila didakwa menganak tirikan empat negeri diperintah PN dengan mengurangkan peruntukan sebaliknya kerajaan meningkatkan peruntukan berbanding sebelum ini.

Draf rundingan telah diterima pembangkang, tapi akan dibincangkan dahulu

Pembangkang sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada Ahli Parlimennya. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan perkara tersebut ketika sidang Dewan Rakyat

“Saya dapat satu kertas draf untuk kita bincang, sign (tandatangan) dan (kemudian) dapat peruntukan. Cuma kita nak melihat perkara (dan) syarat yang ada dalam itu,” katanya ketika mencelah penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Terdahulu, Saifuddin Nasution menegaskan, tiada keperluan untuk melakukan filem lanjutan Anwar: The Untold Story bagi menceritakan kisah pihak yang mengkhianati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang perjalanan politiknya sebagaimana dicadangkan RSN Rayer (PH–Jelutong).

Ada pula yang berpandangan tawaran kerajaan membabitkan draf dokumen memperincikan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tak mencerminkan kematangan politik Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, kematangan sesebuah kerajaan dilihat dari aspek penyelesaian masalah rakyat dan bukannya ‘tawaran hebat’.

Menurutnya, Kerajaan Madani belum mencapai tahap matang kerana banyak isu membabitkan kepuasan rakyat belum dapat diatasi.

“Kerajaan yang matang jika berjaya selesaikan sesuatu isu dengan kaedah berkesan, termasuk penyelesaian terhadap isu rakyat seperti harga barang, masalah pengangguran, inflasi atau keselamatan negara,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ‘tawaran’ tersebut menunjukkan Kerajaan Perpaduan mengamalkan politik matang dalam pentadbirannya.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen Bersatu akan dipanggil bagi membincangkan isu-isu berbangkit melibatkan hak mereka termasuk isu berkenaan.

“Satu keputusan bersama akan dibuat sama ada bersetuju atau menolak sesuatu isu yang dibincangkan.

“Sudah menjadi tradisi dan perkara wajib apabila sesuatu isu berbangkit berhubung ahli Parlimen, kami akan dipanggil dan diberikan taklimat seterusnya berbincang secara terperinci berhubung isu tersebut.

“Kaedah itu diamalkan sejak dahulu, sebab itu sesuatu isu atau perbahasan di Parlimen, diadakan taklimat awal untuk memahaminya agar tidak berlaku percanggahan,” katanya lagi.

Mohd Suhaimi bagaimanapun, menegaskan belum melihat kandungan draf perjanjian baharu itu yang diterima Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin

“Saya tak baca lagi draf itu, jadi tak dapat nak ulas pro dan kontranya,” ujarnya ketika ditanya sama ada telah meneliti inti pati draf perjanjian dihantar kerajaan kepada wakil perundingan PN berhubung perbincangan peruntukan pembangunan kawasan ahli Parlimen pembangkang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *