Rantaian sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan kini menguncup pendapatan mereka. Ramai pekerja terpaksa dilepaskan, manakala perniagaan pulak mengalami tekanan ekonomi yang besar kerana PKP. Nak rentas sempadan daerah dan negeri pun setakat ni tak dibenarkan lagi, maka ni sekaligus memaksa sesetengah hotel dan inap desa untuk tutup pintu mereka.
Memandangkan Malaysia antara negara yang banyak bergantung hasil kepada pelancongan, ni buatkan kita berfikir lebih serius mengenai idea gelembung perjalanan (travel bubble). Pertemuan antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ni menjadi bukti kita serius nak perlahan-lahan buka sempadan. Berita ni tentunya suatu perkara positif, tapi adakah ia kena pada tempat dan masanya?
Cadangan buka sempadan kepada zon hijau dah lama wujud, tapi Indonesia bukan salah satu daripadanya
Gelembung perjalanan ni suatu idea yang agak hangat sekarang ni, lantaran terhentinya rantaian sektor bernilai tinggi sejak tahun lalu. Beberapa negara dah mulai serius laksanakan gelembung perjalanan ni. Biasanya gelembung perjalanan yang diperkatakan ni melibatkan dua buah negara yang setuju nak buat persetujuan untuk membenarkan rakyatnya saling merentasi sempadan negara yang dah berpakat tu. Contohnya, New Zealand dan Australia dah buat tahun lalu.
Dulu kami pun dah senaraikan beberapa negara yang berada dalam senarai hijau Malaysia seperti Singapura, Brunei dan Jepun. Buat masa ni, kita dah buka sempadan untuk Singapura disebabkan ada sebilangan rakyat kita perlu merentasi ke Singapura atas sebab kerja. Brunei pulak masih belum nak umumkan bila nak buat rundingan buka sempadan sedangkan dah lama tak banyak kes jangkitan di sana.
Tahun ni pulak, pertemuan fizikal antara Muhyiddin dan Jokowi memeterai beberapa perkara, antaranya isu Myanmar dan isu pelancongan rentas negara ketika musim pandemik. Nancy Shukri selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya kata ni suatu berita baik dan ditunggu-tunggu oleh kementeriannya. Selain dari Indonesia, pihaknya turut bercadang nak adakan persetujuan dengan beberapa lagi negara seperti Brunei, Singapura, Thailand atau negara-negara Asean lain serta Asia Pasifik.
“Pelaksanaannya bagaimanapun adalah tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data, dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan di kedua-dua negara,”-Seperti yang dilaporkan Utusan
Jikalau korang perhatikan, takde satupun dalam zon hijau yang disenaraikan tu menyebutkan Indonesia. Kami setuju dengan Nancy Shukri mengenai rundingan pembukaan sempadan rentas negara suatu khabar baik, tapi ni membangkitkan persoalan baharu: adakah kita terlalu bergegas nak buka sempadan dengan Indonesia. Kita sendiri tengah bergelut dengan wujudnya kluster-kluster baharu saban minggu, jadi bukankah ia jugak akan membahayakan kedua-dua negara?
Indonesia teruskan gelembung perjalanan dengan Singapura, pakar masih skeptikal risiko jangkitan masa depan
Selain Malaysia, Indonesia pun sebenarnya dah laksanakan gelembung perjalanan dengan Singapura sejak akhir tahun lalu. Walau bagaimanapun, Indonesia dah tutup semula sempadan kepada para pelancong asing termasuklah Singapura kerana satu lagi strain virus COVID-19 baharu dah dikenalpasti. Gelembung perjalanan yang kini dipanggil dalam kalangan negara Asean sebagai Reciprocal Green Lane/Travel Corridor Arrangement (RGL/TCA).
Dah macam kisah dalaman Malaysia dah; kejap PKP, kejap longgarkan semula. Lepas tu ketatkan semula, dan longgarkan balik. Ni bermaksud pembukaan sempadan sebenarnya bagaikan mengambil risiko je sehinggalah negara-negara Asean dah boleh pastikan mereka dah capai imuniti berkelompok (herd immunity). Penekanan terhadap SOP je tak cukup, apatah lagi bila Menteri Air Suam Kesihatan kata kuarantin 3 hari je atas ‘pengecualian’.
“Berdasarkan kuasa Menteri di bawah seksyen 29 inilah menteri yang kembali dari lawatan rasmi di luar negara diberi pengecualian dengan hanya perlu menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama tiga hari sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai berbanding tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan sebelum ini bagi mereka yang masuk dari luar negara,”-Datuk Adnan Seman, Pengamal Undang-Undang, seperti yang dilaporkan Utusan
Kalau kita putar balik masa ke Mei 2020, Ismail Sabri merangkap Menteri Kanan (Keselamatan) pernah kata bahawa Indonesia tak disyorkan lagi untuk buat gelembung perjalanan tu kerana jumlah ujian saringan per populasi mereka jauh lebih sedikit berbanding Malaysia, Singapura, Vietnam dan Thailand. Kembali ke Februari 2021, Singapura tutup semula sempadan dengan Malaysia dengan jangkaan selama tiga bulan kerana wujudnya strain baharu dan lonjakan kes sejak akhir tahun lalu. Begitu jugak dengan Indonesia yang tutup sempadan kepada Singapura.
Indonesia pun ada sepatah dua kata jugak perihal RGL/TGA ni. Wakil Ketua Asosiasi Perusahaan Perjalanan Wisata (Asita) Budijanto Ardiansjah kata mereka setuju sempadan tu dibuka dengan syarat kedua-dua negara ni takde kes baharu. Ahli epidemiologi dari Griffith University, Dicky Budiman berpandangan gelembung perjalanan tu tak sepatutnya dilakukan secara membuta-tuli dan haruslah dilakukan apabila risikonya sudah sedikit.
Kata Timbalan Pemasaran Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif, Nia Niscaya;
“Kita harus dapat memastikan penanganan COVID-19 di masing-masing negara telah teratasi dengan baik. Hal ini penting untuk dapat menimbulkan rasa kepercayaan wisatawan dari masing-masing negara fokus pasarnya. Trust is the new currency dalam masa kenormalan baru,”- Seperti yang dilaporkan Matamatapolitik.com
Berlainan pandangan pulak dengan sebuah artikel yang disiarkan oleh Malaysia Gazette, ada yang kata lawatan Muhyiddin Yassin ke Indonesia tu sebenarnya adalah ‘pilot project’ untuk menguji SOP gelembung perjalanan tu. Pandangan ni suatu yang berat sebelah jugak kerana ulasan tersebut lupa menyebutkan bahawa Muhyiddin Yassin tu sorang je. Nak eksperimen dengan 1-10 orang je buat apa? Yang nak rentas negara ni ramai… korang boleh ke perhatikan gerak geri sebagaimana diperhatikan sorang VIP tu?
Setakat 10 Februari ni, Indonesia sendiri tengah laksanakan sekatan pergerakan dan dijangka berakhir pada 22 Februari. Malaysia pun tengah mencanak tinggi kes jangkitan ni. Jadi buat masa ni kami yakin RGL/TCA masih belum boleh dilakukan lagi, dan ni cuma satu rundingan asas je serta amat bergantung kepada situasi kes jangkitan negara masing-masing.