Berikutan pandemik Covid-19, kita sendiri menyaksikan lonjakan kes yang dilaporkan setiap hari. Dalam lonjakan kes jangkitan jugak, setiapnya ada risiko bagi seorang pesakit ni untuk pergi buat selamanya. Yang membezakannya hanya tahap kekutatan antibodi seseorang pesakit, tahap penyakit lain yang dialami oleh pesakit dan paling penting, penerimaan rawatan yang sesuai kepada pesakit.
Ramai orang dah kehilangan anggota keluarga diorang – ibu, bapa, kakak, adik, nenek, datuk… malah saudara rapat, rakan baik dan isteri, suami sendiri. Pemergian diorang akan terus dikenang dan tersemat di kalbu. Inisiatif memorial Covid-19 yang dicipta oleh sekumpulan rakyat Malaysia memberi peluang untuk keluarga mangsa Covid-19 mengenang orang yang tersayang.
Inisiatif laman memorial Covid-19 untuk mengenang yang dah tiada, diorang bukan sekadar angka dalam laporan harian
Seperti Tugu Negara, kita bina monumen bersejarah tu bagi memperingati 11,000 orang yang gugur ketika perang dunia pertama dan kedua serta 12 tahun Darurat Malaya. Kini dalam dunia Internet, kita memanfaatkan ruang yang tersedia untuk membina satu ‘monumen’ dalam talian – sebagai tugu memorial kita terhadap para mangsa Covid-19 dari tahun lalu hingga ke hari ini.
Oleh demikian, usaha sekumpulan sukarelawan mencipta sebuah laman memorial ni haruslah dipuji dan mungkin, membantu keluarga mangsa pulih daripada kekecewaan dan kesedihan atas kehilangan orang yang tersayang akibat Covid-19.
C19 Memorial, atau lebih panjang, Covid-19 Memorial Malaysia adalah laman yang dikendalikan oleh sekumpulan sukarelawan. Pada peringkat permulaan laman ni, diorang mengutip maklumat mangsa Covid-19 daripada hantaran awam di media sosial dan laporan kat berita. Diorang berjaya simpan memorial buat 351 mangsa pada awal penubuhan laman tersebut.
“Untuk terus mengenang yang tersayang terkorban kerana Covid-19, kami telah memilih 19 haribulan setiap bulan sebagai hari peringatan. Pada hari tersebut, setiap bulan, kami akan kongsikan kisah terpilih daripada laman memorial kami dalam saluran media sosial. Kami harap memorial ini adalah sumbangan kepada peringatan abadi dalam kehidupan yang hilang akibat pandemik Covid-19, jadi setiap orang itu bukanlah setakat nombor melainkan memori yang tersayang.”- Aidila Razak, ketua pembangun memorial Covid-19, seperti yang dilaporkan Codeblue
Laman tersebut alu-alukan orang ramai siarkan memorial untuk tersayang di sana, prosesnya mudah je
Menurut FAQ laman tersebut, diorang turut mengalu-alukan orang ramai untuk buat memorial untuk tersayang di sana. Sebuah butang ‘Create a Memorial’ tersedia untuk digunakan, dan memorial tu akan terus berada di laman diorang. Kalau nak buat pembetulan maklumat pun boleh, dan kalau nak padam semula memorial tu, boleh jugak. Laman ni memang tersedia dan terbuka untuk orang ramai khususnya yang nak mengingati yang tersayang. Macam halaman obituari dalam surat khabarlah jugak…
Contohnya, dalam salah satu memorial yang baharu je disiarkan ketika artikel ni ditulis, sorang lelaki berumur 85 tahun, Jamal Mohamed Kadir Mydin meninggal pada 25 September 2021 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada jam 1.30 pagi.
Dalam ruangan deskripsinya jugak, kita dapat tahu siapa arwah Jamal sebelum menghembuskan nafasnya buat kali terakhir. Secara tak langsung, kita memanusiakan semula angka-angka korban Covid-19 di Malaysia, sekaligus melihat diorang ni ada cerita kehidupan tersendiri sebelum meninggal dunia.
Korang jugak boleh menuliskan ‘tribute’ atau pesanan terakhir dalam laman memorial tersebut. Ni sebagai suatu lagi cara untuk kita mengenang yang tersayang. Kata-kata terakhir, walaupun orangnya dah tiada, namun kadangkala, tu jugak boleh meringankan beban hati seseorang yang sedang berkabung.
Prosesnya jugak cukup mudah. Kami cuba-cuba masukkan entri memorial dalam laman ni. Pertama sekali, korang boleh tekan butang ‘Create a Memorial’. Kemudian, laman ni akan bawa korang ke Google Form, di mana korang kena daftar masuk (sign in) dahulu.
Korang isi je borang tersebut, dan tekan hantar (submit). Nanti diorang akan susun semula maklumat yang diberikan untuk dijadikan sebagai memorial. Sekiranya ada apa-apa perubahan, korang boleh hubungi diorang untuk maklumkan apa yang harus diubah. Kalau nak padam memorial tu pun boleh jugak, takde masalah.
Korang boleh layari Covid-19 Memorial Malaysia di sini. Suatu ciri yang boleh dipuji dan mungkin perlu diamalkan oleh laman-laman sesawang lain termasuklah laman rasmi kerajaan selepas ni adalah ciri tukar jenis tulisan agar lebih mesra untuk orang-orang yang ada disleksia.
Kami kongsikan inisiatif ni supaya orang ramai boleh tau dan memanfaatkan laman tersebut sebagai cara diorang pulih daripada rasa kehilangan yang tersayang akibat Covid-19. Tentulah, cara ni mungkin tak sesuai atau tak kena pada mata atau hati seseorang, namun bagi orang lain, ni boleh bantu diorang mengendalikan emosi kehilangan tersebut. Lain orang, lain cara diorang hadapi sesuatu kejadian yang menyayat hati.