Teringin nak tingkatkan kemahiran digital tapi takde duit? Ikuti kursus PERCUMA ni…

F1

Akibat pandemik COVID-19 ni, lebih dari sejuta pekerja dah hilang pekerjaan sehingga mendesak mereka sekeluarga untuk ikat perut dan terpaksa bergantung dengan pendapatan sampingan seperti berniaga kuih dan makanan sempena Ramadhan ni.

Ketika ni lah, kita boleh tengok sendiri peralihan operasi perniagaan ke alam digital. Dah pandai pakai mesyuarat dalam talian, dah rajin pakai e-mail, iklan pun boleh ditularkan dengan mudah. Pada masa yang sama jugak, alam digital ni pun boleh jadi ruang cari makan untuk mereka yang ada kemahiran digital. Jadi Youtuber, pun boleh dapat duit dalam nilai USD.

Ichang
via YouTube

Sektor digital masih luas, kemahiran digital harus jadi kemahiran tambahan rakyat Malaysia

Kalau dulu, kemahiran insaniah sentiasa dititikberatkan dalam mana-mana wacana pasal industri kerja. Sekarang ni, dunia pun dah pesat berkembang terutamanya dalam sektor ekonomi digital. Ekonomi digital secara umumnya merupakan apa-apa je aktiviti digital yang mendatangkan nilai keuntungan, terutamanya yang boleh ditukar dalam bentuk wang.

Penggunaan Digital Malaysia
Sehingga 2018, masyarakat kita pun dah celik teknologi… Via PMO

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia kata operasi perniagaan digital bukan hanya terhad kepada aktiviti jual beli secara atas talian semata-mata. Antara aktiviti yang termasuk dalam sektor ekonomi digital ni adalah jualan runcit, penyiaran dan media, pengiklanan, perkhidmatan dan mata wang digital (ye, termasuk melombong Bitcoin).

Macam kami katakan tadilah, ruang ekonomi digital ni masih luas lagi untuk dijadikan sebagai sumber rezeki terutamanya untuk orang Malaysia. Lanskap pekerjaan pun dah nak beralih ke Revolusi Industri 4.0, jadi majikan kini lebih giat nak cari calon yang berbakat dalam bidang teknologi digital.

“Mencari bakat berkemahiran digital adalah keutamaan ketika ini. Transformasi digital tidak dapat dielakkan kerana pasaran tempatan bersifat lebih global. Namun terdapat kekurangan bekalan dalam pasaran pekerjaan kerana banyak organisasi sudah memulakan perjalanan transformasi digital mereka.”- Gan Bock Herm, Pengurus Negara Jobstreet.com, seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 17 Januari 2019

Via Giphy

Tapi kat mana nak belajar kemahiran digital ni? Haa… banyak je sebenarnya platfrom e-pembelajaran yang sediakan sumber-sumber berkaitan dengan kemahiran digital ni. Korang tinggal pilih je apa korang nak belajar, dan cari kat Google. Contohnya, sumber berkaitan dengan jana duit dalam talian dengan kaedah perniagaan dropship. Kami pun dah cerita sikit pasal benda ni dulu.

Kini dah boleh belajar sekarang percuma, lebih 3,000 pilihan kursus dalam talian untuk korang

Baru-baru ni, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dah bekerjasama dengan Coursera untuk memperkenalkan kempen Jom Belajar Digital di bawah inisiatif #mydigitalworkforce. Kempen ni khusus untuk warganegara Malaysia, lagi-lagi untuk mereka yang baru je diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi kini.

Dalam kempen tersebut jugak, inisiatif “Coursera Workforce Recovery” tawarkan 3,800 kursus yang akan dikendalikan oleh tenaga pengajar bertaraf antarabangsa, ada daripadanya merupakan tenaga pengajar universiti dan institusi terkemuka dunia.

Coursera Online International
Via Commonwealth of Learning

Peserta kursus tersebut jugak layak dapat Sijil Latihan Profesional daripada pelbagai jenis kursus yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja digital. Antara kursus yang ditawarkan termasuklah Automasi IT Google dengan Python, Pengaturcara SAS, Pengenalan Intel Kepada Pembelajaran Dalaman serta laluan kerjaya lain seperti penganalisis data, arkitek pengkomputeran awan dan penyelidik perisian.

Biasanya kat Coursera, kursus-kursus berkualiti tinggi ni memang mahal hingga mencecah lebih dari RM600 untuk satu kursus tu je. Tapi di bawah inisiatif tersebut, semuanya percuma!

Mdec Online Course
Via MDEC

Korang bayangkanlah, di samping korang tengah memburu kerja dan mencari wang poket untuk sara diri; korang boleh jugak mantapkan lagi kemahiran digital tu. Manalah tau korang boleh buka bisnes digital daripada pengetahuan dan kemahiran digital yang korang pernah belajar kat Coursera.

Menurut pemerhatian kami, inisiatif ni memang terbuka untuk warganegara Malaysia je dan mengutamakan mereka yang baru diberhentikan kerja. Selain tu, kena buat permohonan dulu dengan lengkapkan butiran peribadi korang.

Borang Online Tak Kerja
Kalau korang tekan pilihan ‘tak bekerja’ dalam permohonan tu..

Seperkara lagi yang korang kena ada adalah link akaun LinkedIn. Haa.. jadi jika korang adalah kelompok yang baru diberhentikan kerja atau cuti tanpa gaji, korang kena siap-siapkan dulu buat akaun LinkedIn. Ada akaun LinkedIn ni pun ada baiknya, kerana ia seolah resume terbuka korang dalam rangkaian pekerja-pekerja seluruh dunia. Menarik kan?

Belajar benda baharu untuk kekal relevan, boleh jadi kerja korang sekarang dah jumud pada masa depan

Selaras dengan peredaran zaman teknologi yang terus pesat ni, kita dah tak boleh terus pasif dan terus menunggu waktu agar korang dapat kerja idaman korang. Lanskap kerja dulu-dulu dah tak sama dengan lanskap kerja sekarang… peluang kerja lebih banyak, dan ramai jugak yang semakin hebat pencapaiannya.

Ditambah lagi dengan kewujudan teknologi automasi, boleh jadi kerja korang tu pun dah boleh digantikan oleh tenaga mesin untuk beberapa tahun hadapan. Akhirnya, kemahiran korang dalam kerja tu dah tak perlu sangat melainkan korang turut ada kemahiran teknologi untuk mengurus mesin-mesin ni.

Automation Malaysia Job
Ada jugak jenis kerja yang boleh digantikan oleh mesin, menjumudkan kerja tu.. Via The Star

Kami berpandangan bukan setakat orang muda je yang kena belajar; generasi tua pun kena sedar tentang perubahan kerja ni. 2020 adalah dekad yang baharu, dah tak sama lagi dengan situasi industri kerja ketika mereka muda dulu. Misalnya pada zaman 1970-an dulu, budak graduan universiti memang sah dapat kerja jadi pegawai.

Kini dengan lambakan graduan yang ada, tak semualah dapat jadi pegawai sebagaimana yang dibayangkan oleh generasi ibu bapa sekarang. Maka perkara yang lebih penting sekarang adalah korang kena pastikan korang dapat menyesuaikan diri dengan mempelajari pelbagai kemahiran yang selari dengan keperluan industri.

Upskill Model
Via Forbes

Inisiatif ni pun salah satu tawaran pendidikan yang amat baik jugak. Permohonan ni akan tutup pada 30 September 2020. Akses kepada kursus yang ditawarkan tu pulak bermula 1 Mei hingga 31 Disember tahun ni. Jadi segerakanlah ambil peluang ni dengan layari laman web rasmi inisiatif tersebut dalam pautan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *