TIGA benda yang kita boleh pelajari dari PKP dan Ramadan tahun 2020 ni…

F1

Sepanjang tiga bulan kebelakangan ni, banyak benda yang kita belajar dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Untuk mereka yang beragama Islam pulak, kedatangan Ramadan tahun ini disambut dalam keadaan normal baharu; ia sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

Maksudnya, rakyat Malaysia dah belajar sesuatu yang baru melalui pengalaman “pahit” menghadapi Covid-19 ni. Atas sebab itu kami nak tulis beberapa benda penting yang ramai dah perasan sepanjang PKP dan Ramadan ni.

1. Masalah “keselamatan sosial” di negara kita, orang boleh hilang kerja macam tu je…

Salah satu musibah terbesar yang dihadapi oleh masyarakat kita ketika pandemik Covid-19 menyerang dunia adalah kehilangan pekerjaan. Benda ni bukan boleh bawak main-main. Ada laporan yang mengatakan lebih dari 600,000 orang hilang pekerjaan sepanjang pandemik Covid-19 ni berlaku. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku kalau seseorang tu tiba-tiba terputus pendapatan bulanan.

Rata-rata rakyat Malaysia takde simpanan yang mencukupi untuk bertahan lebih dari 2-3 bulan; memandangkan kadar gaji di pasaran buruh kita masih bermasalah. Masih ramai dibayar gaji dengan tidak setimpal dengan kerja diorang. Akibatnya, mereka yang terjejas ni terpaksa melakukan kerja-kerja gig economy seperti menjadi pemandu e-hailing dan menghantar makanan. Cuma, itu untuk yang ada kenderaan, macam mana kalau yang takde kenderaan?

Di Malaysia, kita bersyukur kerana ada Skim Insurans Pekerja. Walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki untuk skim ni, sekurang-kurangnya adalah “perlindungan” untuk mereka yang kehilangan pekerjaan. Cuma, masalah jugak untuk mereka yang bekerja sendiri (ini ada skim lain) atau majikan yang tak carum Perkeso, mereka tak dilindungi. Sebab tu ramai kita dengar orang terputus bekalan makanan setelah kehilangan gaji.

Via Giphy

Oleh itu, kalau semasa baca artikel ni korang masih lagi ada pekerjaan, korang patut bersyukur kerana tak termasuk dalam kelompok kehilangan pekerjaan. Ramai rakyat yang dah kehilangan pekerjaan dan mengharap berada di posisi di mana anda berada.

2. Bantuan sosial seperti Skim Prihatin Nasional amat diperlukan dalam membantu rakyat

Bantuan sosial dengan beri duit kepada rakyat ni selalu dilabel “merasuah rakyat” oleh sesetengah ahli politik. Hakikatnya, ia diperlukan; terutamanya ketika pandemik Covid-19 berlaku. Fungsi bantuan sosial macam ni, bukan untuk bagi seseorang tu jadi kaya, tapi membolehkan diorang membeli makanan. Korang kena ingat, untuk kelompok B40, kebanyakan perbelanjaan diorang akan disalurkan ke perbelanjaan makanan dan keperluan harian.

Maxresdefault
Ramai yang terpaksa ke pajak gadai kerana kehabisan wang. Via SAYS

Masalah yang berlaku ketika proses permohonan menunjukkan masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki kerajaan dalam menguruskan data-data rakyat Malaysia. Kami dah tulis panjang lebar pasal ni. Kemudian, nampak sangat kerajaan takde perancangan jangka masa panjang untuk membantu rakyat “pulih” dari segi ekonomi akibat kesan pandemik Covid-19. Sebabnya, Bantuan Prihatian Nasional hanya diumumkan untuk dua bulan je (April dan Mei).

Kita juga belajar yang ahli politik ni sanggup buat apa je untuk terus kekal berkuasa. Kami rasa semua dah sedar kot – salah satu sebab Parlimen tak bersidang penuh kerana nak elak undi tak percaya dibahaskan. Sebabnya, melalui SOP Parlimen ketika Titah Diraja berlangsung, kami nampak boleh je perdebatan berlaku. Di beberapa negeri, Dewan Undangan Negeri pun dah bersidang.

Macam yang kami selalu kata, Parlimen diperlukan untuk belanjawan yang lebih besar diluluskan. Dengan bajet yang lebih besar, sudah tentu bantuan sosial yang baru boleh diumumkan. Cuma, macam yang kami katalah – ahli politik sanggup buat apa je untuk terus berkuasa. Jadi kalau diorang nampak macam “kisah” dengan korang, kebanyakan sebab undi je. Kalau mereka betul kisah, dah tentu Parlimen akan berlangsung penuh.

3. Ramadan dalam keadaan normal baharu ni takdelah teruk sangat, cuma ramai yang terjejas pendapatan

Ketika memikirkan keadaan Ramdan dalam keadaan Normal Baharu ni, macam-macam benda yang kita fikir. Kami masa awal-awal Ramadan dulu, kami agak sedih sebab bazar Ramadan takde. Yalah, Ramadan tanpa bazar ni macam makanan takde garam, kurang rasa. Nasib baiklah masih ada gerai dan restoran yang beroperasi secara “take away”, terubatlah sikit dengan kuih dan juadah yang selalu kita beli kat bazar.

Maxresdefault
Bazar yang dirindukan. Via FMT

Salah satu benda yang bestnya tentang Ramadan kali ni, ramai yang dapat luangkan masa bersama keluarga, terutamanya mereka yang kena bekerja dari rumah. Masa-masa bersama keluarga ni ramai yang tak hargai, tapi kalau difikirkan – kita semua kerja keras ni kerana keluarga lah kan? Lagi satu, nak beribadah pun lagi senang sebab kita boleh lakukan bersama-sama orang yang tersayang.

Cuma, disebalik semua benda baik yang kami sebutkan ni, ada jugak yang terkesan akibat normal baharu ni. Benda paling terang, para peniaga bazar kehilangan punca pendapatan. Kami diberitahu ada peniaga bazar yang mampu dapat keuntungan untuk tampung kos hidup setahun ketika bazar Ramadan. Kami tak pastilah macam mana diorang ni dibantu, kalau restoran tu – bolehlah diorang masukkan dalam perkhidmatan penghantaran makanan.

Dari satu sudut pulak, kita berjaya kurang pembaziran dan sisa makanan. Macam yang kita tahulah, setiap kali Ramadan datang, peningkatan sampah terutamanya makanan meningkat naik. Yalah, korang tu kalau beli makanan, selalu ikut nafsu. Akhirnya makanan tak habis, dan dibuang macam tu je. Kali ni, kebanyakan kita makan cukup-cukup je (sebab keadaan ekonomi yang tak berapa nak baik).

Pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada kita, cuma kita harus belajar daripada pengalaman ini

Kita sedang menghadapi waktu-waktu yang sukar, sudah tentu kita semua terkesan dengan pandemik Covid-19. Apa yang penting adalah kita mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku pada hari ini. Oleh kerana dunia jarang menerima pandemik pada skala ni, kita sering terlupa ia boleh berlaku. Jadi, semoga “latihan” yang kita amalkan hari ni mampu mengajar kita untuk lebih bersedia bagi menghadapi risiko pandemik yang seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *