Salah satu masalah terbesar dalam gabungan parti politik adalah masalah gabungan yang tak stabil. Seperti yang pernah kita lihat pada tahun 2020, ruang masalah tak stabil ni diambil sepenuhnya oleh geng-geng Langkah Sheraton sehingga kerajaan ketika itu runtuh. Melihat kerajaan pada hari ini, ada kebimbangan tentang status kestabilan mereka – walaupun kami yakin yang kerajaan pada hari ini stabil. Masalahnya, masih ada individu yang tak pandai nak jaga mulut dan sengaja nak rosakkan kestabilan itu.
Baru-baru ini, Tony Pua mengeluarkan pandangan yang berbunyi Barisan Nasional adalah sekumpulan pakatan korup.
Menurut Anthony Loke, pandangan Tony Pua yang menggelar BN sebagai ‘pakatan korup’ dibuat atas kapasiti peribadi dan tak mewakili pandangan DAP. Loke merujuk laporan media yang memetik ucapan Pua dalam satu majlis yang dianjurkan DAP Petaling Jaya malam tadi.
Anthony turut menambah bahawa Tony Pua tak lagi pegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, dia bercakap di atas kapasiti individu dan tak sama sekali mewakili kepimpinan parti. Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for).
Ramai yang menyambut laporan Tony Pua dengan nada BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’. Kenyataan tu disuarakan sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan label sama turut diberikan kepada Bersatu.
Pua juga menyuarakan harapan supaya PH dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan Umno dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai provokatif, Loke berkata kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.
Ramai ahli DAP berpandangan sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini. Pimpinan DAP ingin ingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.
“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,” – Anthony Loke, dalam satu kenyataan
Beberapa individu dalam Umno nyatakan pandangan
Laungan Tony Pua ini disambut Umno apabila mereka menghantar mesej protes secara rasmi kepada DAP. Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki kata parti tu desak supaya Pua tak dinamakan sebagai calon oleh DAP dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tak lama lagi.
“Saya telah menghantar mesej protes kepada kepimpinan tertinggi DAP dan desak mereka untuk jangan sesekali meletakkan beliau (Pua) sebagai calon dalam PRN akan datang jika mahu keharmonian gabungan kerajaan perpaduan Malaysia ini berkekalan. Lagi pun beliau sendiri masih bermimpi di siang hari sehingga terlupa bahawa kerajaan hari ini bukan kerajaan PH tetapi gabungan besar BN, PH, GPS, GRS dan Warisan yang didalamnya terdiri daripada 19 parti politik.” – Asyraf Wadji dalam satu kenyataan
Menanggapi kenyataan Pua tu, Asyraf Wajdi sifatkan bekas pengerusi DAP Selangor tu bagai meludah ke langit apabila melabelkan Umno-BN sedemikian rupa.
Menurut Asyraf Wajdi, rakyat tak pernah lupa bahawa tindak-tanduknya ketika di Kementerian Kewangan dalam kerajaan PH 22 bulanlah antara penyumbang utama hingga menyebabkan ekonomi dan kewangan negara yang hebat pada zaman BN memerintah dahulu, jatuh merudum hingga menyebabkan rakyat sengsara. Bahkan sehingga ke saat ini, walaupun lima tahun lebih berlalu pun ekonomi negara masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil, turut membidas Pua dengan mengingatkan bekas pemimpin DAP itu bahawa bekas bosnya di Kementerian Kewangan dulu turut terpalit dengan pertuduhan rasuah di mahkamah.
Ia dipercayai merujuk kepada kes pendakwaan yang dihadapi bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.
“Saya ingin kata satu perkara sahaja kepada Pua. Bos kamu di Kementerian Kewangan dulu pun ada kes korup di mahkamah, satu dia minta gugur dan satu lagi masih dibicara. Kawan-kawan parti kamu semasa jadi kerajaan 22 bulan dulu apabila ada dakwaan kes korup terus lompat parti masuk PN atau Bersatu dan tiba-tiba jadi ‘bersih’. Oleh itu celah mana yang kamu kata parti kamu itu bersih berbanding Umno yang kamu kata korup?,” tulisnya di Facebook.
Kestabilan adalah kunci kejayaan
Kami rasa adalah penting untuk kita ingat semula kenapa pakatan di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah berlaku. Semua ini diperlukan untuk kita memiliki kerajaan yang berfungsi setelah beberapa tahun kita mengalami siri pertukaran PM dan kerajaan. Kalau semangat ini tidak dapat dihayati, maka akan timbul pelbagai masalah selepas ini.