Vaksin yang ditunggu-tunggu sejak akhir tahun lalu akhirnya tiba jua. Ni suatu khabar yang menggembirakan dan memberi sinar harapan baharu buat kita dalam pandemik. Sinar harapan dalam 2 tahun yang suram dan penuh cabaran. Bahkan ada antara vaksin COVID-19 ni pun sebenarnya menggunakan teknologi baharu iaitu vaksin mRNA; berbeza dengan vaksin-vaksin sedia ada. Ia satu kemenangan untuk manusia, dan satu kemenangan untuk sains.
Untuk pengetahuan korang, kita tak ambil satu jenis vaksin je… kita ambil 4 lagi jenis vaksin lain. Sepertimana yang diumumkan dulu, vaksin Pfizer dah sampai dan akan mulai diagihkan pada awal bulan Mac secara berfasa. Fasa 1 untuk kakitangan barisan hadapan, fasa 2 untuk golongan berumur manakala fasa 3 untuk golongan muda 18 tahun ke atas. Agak-agak korang dapat yang mana satu ye? Hmm…
1. Bekalan vaksin Pfizer lebih banyak berbanding bekalan vaksin yang lain, berkesan sebanyak 95%
Rasanya kami dah tak perlu perkenalkan vaksin Pfizer ni, sebab ni antara vaksin yang paling awal dijual dalam pasaran. Banyak negara maju dah beli dan guna, termasuklah negara Asia Tenggara seperti Singapura dan Malaysia. Dibandingkan dengan vaksin yang lain, vaksin Pfizer adalah vaksin mRNA yang mempunyai keberkesanan paling tinggi setakat ni iaitu 95%. Sebanyak 32 juta dos dibeli oleh Malaysia, dan yang sampai baru-baru ni berjumlah kira-kira 312,390 dos.
Vaksin mRNA bermaksud jujukan mRNA yang dimasukkan ke dalam sel individu untuk hasilkan protein virus yang spesifik. Protein virus tu akan mudahkan badan kenali virus tersebut, jadi kalaulah virus tersebut nak bertapak kat dalam badan mereka yang ada vaksin… virus tu boleh dimusnahkan. Ia jugak pertama kali digunakan sebagai vaksin dalam sejarah perubatan manusia.
Oleh sebab ia adalah vaksin yang fokus nak ‘serang’ virus yang cuba makan protein tu, ia perlu disimpan dalam suhu sejuk lampau iaitu lebih kurang -80 hingga -70 celcius. Untuk perbandingan, tempat paling sejuk di bumi iaitu Kutub Selatan di Antartika bersuhu antara -38 celcius, manakala mesin sejuk beku yang biasa setakat -18 celcius. Namun, kajian FDA mendapati vaksin masih boleh bertahan dalam suhu -25 celcius hingga -15 celcius. Suhu ni merupakan suhu biasa untuk mesin sejuk beku farmaseutikal.
Ada kalangan geng anti-vaksin ni mempersoal kenapa nak hantar vaksin macam pakai lori DHL yang biasa je. Sebenarnya, Pfizer dah bina sedia kotak penyimpanan yang khas untuk membolehkan lebih banyak vaksin dihantar dan masih lagi boleh digunakan apabila ia sampai ke negara-negara yang beli vaksin tersebut. Antara calon lain yang turut gunakan kaedah sama dan dah dipertimbangkan adalah vaksin Moderna.
2. AstraZeneca dianggar bakal lindungi 20% penerima Malaysia, turut jadi pilihan negara maju
Vaksin kedua yang menjadi pilihan kita adalah AstraZeneca. Kita turut bekerjasama dengan PBB di bawah program vaksinasi COVAX, dan dijangka akan menerima 12.8 juta dos serta bakal meliputi 20% penerima di Malaysia.
AstraZeneca ni dikeluarkan oleh United Kingdom, dan jenis vaksin tersebut yang digunakan adalah vektor virus. Vektor virus ni maksudnya ia mempunyai virus yang dah diubahsuai untuk sampaikan kod genetik antigen. Ia jugak hasilkan protein sasaran oleh sel manusia. Jenis vaksin seperti ni banyak dilihat dalam vaksin Ebola, satu lagi penyakit berbahaya. Ternyata teknologi tu pun dah terbukti, serta berjaya cetuskan tindak balas adaptif imuniti yang lebih berkesan.
Tahap keberkesanan AstraZeneca ni tak begitu tinggi seperti Pfizer, iaitu dalam 62%-90% je. Korang tak perlu khuatir dengan nombor-nombor ni sebab minimum peratusan yang membolehkan vaksin tu dianggap berjaya adalah 50%.
Mengikuti jejak langkah banyak negara, Malaysia pun beli jugak AstraZeneca. United Kingdom, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Ukraine, Brazil, Kesatuan Eropah, Kanada dan India merupakan antara negara yang beli AstraZeneca. Beberapa negara ni jugak beli vaksin Pfizer untuk menguatkan lagi gelembung keselamatan kesihatan mereka.
3. Satu-satunya virus nyahaktif yang berkesan sehingga 91.25%, ia turut digunakan oleh Indonesia
Ramai jugak antara kita ni yang melirik mata cemburu kat negara jiran kita seperti Indonesia sebab mereka lebih awal agih vaksin berbanding Malaysia. Mereka sebenarnya gunakan vaksin dari China, iaitu Sinovac.
Sinovac ni turut direbutkan ramai negara, dan menjadi pilihan pertama untuk orang China sendiri. Tahap keberkesanan vaksin tersebut pun tinggi jugak, iaitu sehingga 91.25%. Ni sedikit tinggi daripada AstraZeneca, dan bakal melindungi 18.75% rakyat Malaysia dengan 12 juta jumlah dos. Sebelum ni, kita dah sasarkan sekurangnya 80% populasi Malaysia dah terima vaksin untuk COVID-19.
Selain tu, Sinovac jugak merupakan satu-satunya vaksin yang berjenis vaksin nyahaktif. Vaksin nyahaktif ni bermaksud virus yang dah dimatikan dengan suhu yang tinggi, bahan kimia atau radiasi. Tentulah takde mikrochip dalamnya ye… vaksin nyahaktif ni boleh dikatakan sebagai teknologi yang terbukti jugak. Hasilnya, vaksin polio yang berjaya membasmi penyakit polio.
Hanya kerana ramai antara kita ni tak sempat hidup ketika wabak polio melanda dunia, ataupun mengenali pesakit polio yang terpaksa bergantung hidup dengan paru-paru besi; ramai tak percaya polio ni wujud. Imuniti kelompoklah yang menjadi payung terakhir masyarakat daripada penyakit ni, tapi ia nampaknya semakin bocor lantakan geng anti-vaksin yang promosikan hidup bebas vaksin. Bila sakit, datang hospital jugak kan…
4. Satu lagi vaksin ‘made in China’, dijangkakan bakal melindungi 10.9% penerima Malaysia
Vaksin keempat yang bakal kita terima adalah vaksin CanSinoBio. Berbanding tiga yang dah kami sebutkan, virus ni memang kurang dikenali. CanSinoBio ni adalah vaksin jenis vektor virus; lebih kurang samalah dengan AstraZeneca. Macam Sinovac jugak, ia datang dari China.
Meskipun kurang dikenali, vaksin CanSinoBio ni sebenarnya tinggi kadar efektifnya. Bahkan, ia hanya akan diberikan dalam 1 dos je… tak seperti vaksin lain yang memerlukan korang datang lepas 14 hari untuk menerima dos kedua lepas hari korang terima dos pertama. Kita dijangka akan beli bekalan CanSinoBio ni sebanyak 3.5 juta dos, dengan anggaran bakal diterima oleh 10.9% populasi Malaysia.
Dinobatkan sebagai single-shot vaccine yang pertama untuk COVID-19, ia dah lulus percubaan fasa ketiga di Pakistan dengan keputusan 74.8% berjaya menghindarkan kes simptomatik, dan 100% berjaya dalam mengelakkan penyakit teruk dalam kalangan rakyat Pakistan. Buat masa ni, mereka dah mohon kelulusan daripada China untuk didaftarkan sebagai vaksin COVID-19. Kerajaan China akan tengok dan perhalusi lagi, sebelum menghantarkannya kepada badan kawalan kualiti antarabangsa.
Kita pun akan terus meneliti dan memerhatikan perkembangan semasa single-shot vaccine ni. Sekiranya ia turut diluluskan untuk Malaysia, vaksin ni akan menjimatkan masa rakyat dan kerajaan sendiri sekaligus memastikan program imunisasi berjalan lancar.
5. Dahulunya dianggap virus paling pertama berjaya dicipta, Sputnik V akan mendarat di Malaysia dari Rusia
Tahun lalu, Rusia mencatat sejarah sebagai negara pertama yang berjaya mencipta vaksin untuk COVID-19. Walau bagaimanapun, ia kurang diberi perhatian lantaran banyak kritikan dilontarkan mengenai kajian dan percubaan Sputnik V. Vaksin Pfizer akhirnya mendahului pasaran dan kini antara vaksin utama menjadi rebutan negara.
Awal-awal lagi kita dah cakap kat Rusia bahawa kita ni berminat nak ambil tau perkembangan vaksin tanpa perlu nak fikir tolak-tarik negara-negara besar. Kuasa lunak (soft power) turut mempengaruhi bagaimana persepsi dunia terhadap sesebuah negara, jadi tak hairan sekiranya vaksin pun nak digaduhkan antara Rusia dengan Amerika Syarikat. Antara negara yang ambil bekalan vaksin Sputnik V adalah Argentina, Brazil, Korea Selatan dan Belarus.
Vaksin Sputnik V sama jenis dengan AstraZeneca dan CanSinoBio, iaitu vektor virus jugak. Menurut kajian mengukur tahap keberkesanan, agak tinggi jugak peratusan tersebut… 91.6%. Dari satu sudut, sedikit tinggi dari AstraZeneca sendiri. Tetapi takde satu pun negara Barat seperti Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat ambil vaksin Sputnik V ni. Kalau ikut logik dan rasional (macam kita), kita ambik mana yang dibuktikan berkesan.
Dah boleh daftar vaksin, jangan dilupakan norma baharu dan kawal pergerakan
Kami difahamkan permohonan nak terima vaksin dah dibuka kat Mysejahtera. Memandangkan fasa 1 dah nak bermula, kami nak ambil kesempatan ni untuk berpesan bahawa korang yang dah terima vaksin tu nanti… janganlah dilupakan norma baharu dan terus kawal pergerakan serta kebersihan kendiri. Vaksin hanya membantu kita terjangkit atau menjangkiti orang lain, namun buat masa ni, kita belum membentuk gelembung keselamatan yang membolehkan virus tu terputus rantaiannya.
Buat masa ni, senarai ni hanya merujuk kepada makalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dari KKM. Vaksin Pfizer tu dah tentu kita akan beli, tetapi hal tersebut sedikit berbeza dengan beberapa vaksin yang kami sebutkan kerana informasi ni dianggap benar pada waktu ianya ditulis. Senarai ni masih tertakluk kepada percubaan dan kelulusan badan-badan piawaian kesihatan termasuklah dari kerajaan Malaysia sendiri.