Baru-baru ni, Rina Harun antara nama tokoh politik yang sohor kini kat laman sosial. Ye lah, sekarang ni rakyat dah cari bahan nak kenakan semula para ahli parlimen yang dilihat tak peka dengan perkembangan banjir. Ada jugak yang keluarkan kenyataan kontroversial… dan ada jugak yang dikhabarkan pura-pura buat kerja demi pubilsiti je.
Macam kami katalah, Rina Harun antara tokoh yang jadi ‘sasaraan’ warganet. Selain isu bentuk fizikalnya yang seringkali jadi bahan ejekan… sekarang ni, ada pulak kes laman Wikipedia Rina Harun disunting secara melampaui batas.
Tular cuci kesan najis unggas dan cicak di sebuah sekolah rendah, JKM kata diorang yang minta Rina buat
Baru-baru ni, Rina Harun ditularkan tengah bersihkan ruang jalan di sebuah sekolah rendah, SK Salak Tinggi. Selepas kejadian banjir yang meragut hampir 40 nyawa, banyak kawasan termasuklah SK Salak Tinggi dijadikan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir.
Dia jadi bahan ketawa dan ejeken, lebih-lebih lagi apabila diketahui bahawa dia masa tu tengah bersihkan tahi unggas dan cicak dengan menggunakan waterjet. Ramai sifatkan sekarang ni, kebanyakan foto dan video kononnya ahli parlimen tengah membantu mangsa banjir tu dianggap sebagai hanya satu gimik politik je.
Oleh sebab tu, Rina selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat jugak dikategorikan dalam kelompok YB yang datang sebagai ‘orang besar’ semata-mata. Lagipun, ramai tengok ruang tu memang dah bersih pun… jadi buat apa nak cuci semula, kan?
Membalas kritikan ramai, Jabatan Kebajikan Masyarakat keluarkan kenyataan nak jelaskan kenapa Rina Harun bersihkan tahi cicak.
“JKM terpanggil untuk menjawab isu tular yang mendakwa YB Rina hanya berposing mencuci simen bersih di sekolah tersebut. JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian YB Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini.
Memandangkan peralatan water jet tersedia ada di lokasi pembersihan, YB Rina tidak menolak pelawaan JKM dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada lapang dan hati yang terbuka,”- Kenyataan rasmi JKM, seperti yang dipetik Malaysiakini
Kritik tu kritik jelah, tak perlu sampai nak malukan sunting laman Wikipedia dengan perkataan lucah
Sementara orang tengah ‘bahan’ Rina Harun, ada jugak individiu yang melebih-lebih sehingga sanggup sunting laman Wikipedia Rina Harun. Tentulah, ni bukan pertama kali kita dengar laman Wikipedia ahli parlimen atau orang ternama disunting atas dasar nak bergurau. Namun begitu, suntingan ke atas laman Wikipedia Rina Harun ni disifatkan ramai warganet sebagai satu tindakan yang dah melampau.
Mengikut Lobak Merah, suntingan tu disedari dan dikongsi oleh sorang pengguna Twitter. Suntingan tu disulam dengan kata-kata kesat dan kotor kepada namanya. Pengguna Twitter tersebut, hanya dikenali sebagai Zhan, berpandangan bahawa warganet sepatutnya dah boleh mula ‘kurangkan’ sikit ejekan tu.
Selain tu, pengguna tersebut turut mengingatkan bahawa kalau nak kritik sekalipun… janganlah sehingga melampaui batasan dan sensitiviti nama seseorang. Ada betulnya jugak; kami perhatikan, ramai lebih suka nak kritik luarannya berbanding ideanya. Kalau betul tak setuju, tak perlulah sehingga menyelitkan perkataan lucah di sebalik nama. Pemimpin lelaki pun kita tak buat begitu, inikan pula pemimpin wanita digelar dengan perkataan lucah dalam rencana awam.
Bila disebut rencana awam, ‘jenaka’ lucah ni boleh dibaca oleh sesiapa saja tanpa mengira umur. Kanak-kanak yang reti membaca pun boleh tengok jugak. Tentulah ia berikan satu pengajaran yang buruk kepada diorang, betul tak?
Nedim Nazri Aziz, anak kepada ahli Parlimen Padang Rengas jugak melahirkan rasa tak setuju dengan tindakan tersebut. Menerusi Twitternya, dia kata tindakan sunting laman Wikipedia tu dengan menokok tambah perkataann lucah bukanlah sesuatu yang kelakar.
“Jangan buat perkara seperti itu. Kalau sampai tahap begini kalian bertindak dengan menyunting Wikipedianya, kalian memang ada masalah otak. Ini (apa yang kalian lakukan) boleh disifatkan sebagai gangguan seksual. Tolong hentikan”- seperti yang dilaporkan Kosmo
Pada masa yang sama, Rina kini menjadi mangsa buli siber apabila ramai pengguna Twitter tu korek semula ciapan-ciapan lamanya sewaktu dia belum aktif berkecimpung dalam dunia politik. Sementara tu, memang dah salah dia sendiri tak terpadam ciapan lepas… hal seperti suntingan Wikipedia dengan menyelitkan perkataan lucah tu tak patut dilakukan. Setakat ni, laman tersebut dah disunting sebagaimana yang asal.