Kes pembunuhan bukanlah sesuatu yang asing dalam mana-mana negara pun. Tapi, tak semua kes pembunuhan berjaya diselesaikan. Hari ini mungkin lebih baik kerana kita dibantu dengan pelbagai kemudahan teknologi dan perkembangan sains forensik yang semakin canggih. Tapi macam mana pula dengan kes-kes zaman dahulu?
Zaman sekarang mudah nak kaji bahan bukti forensik di tempat kejadian… -via Giphy
Kali ini kami nak kongsikan 2 kes yang misteri sampai ke hari ini. Ya, memang banyak kes pembunuhan yang tak selesai, tapi kes ini menarik sikit sebab ia melibatkan institusi seperti bank.
Kes Maarof Zakaria, pengasas Bank Kebangsaan Melayu yang dibunuh secara misteri
Pernah dengar nama Jalan Maarof? Kebanyakan orang Kuala Lumpur tentunya biasa lalu jalan ini. Tapi ada cerita di sebalik nama jalan ini. Nama jalan ini diambil sempena nama tokoh elit Melayu dari Seri Menanti, Negeri Sembilan, iaitu Maarof Zakaria. Beliau juga merupakan bapa kepada seniman veteran Mustapha Maarof.
Bila nama seseorang diabadikan dalam nama jalan, sudah tentu mereka merupakan tokoh penting dalam negara. Mungkin ramai tak kenal siapa Maarof Zakaria ini. Beliau boleh dikatakan antara tokoh yang hidup sezaman dengan Pendeta Za’ba dan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad). Semasa hayatnya, belum ada lagi bank-bank khusus untuk orang Melayu.
Pada waktu itu, hanya ada dua buah bank di Tanah Melayu iaitu The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC). Orang Melayu pada masa itu susah nak buat pinjaman bank. Jadi, mereka pinjam dari ceti (alah-alah Ah Long zaman sekarang). Faham-fahamlah kalau pinjam ceti ni, bunga tinggi melampau-lampau. Sudahnya ramai yang tak dapat bebas dari hutang sampai akhir hayat. Hidup sekadar membayar bunga hutang saja.
Melihat keadaan orang Melayu sedemikian, Maarof Zakaria bertekad menubuhkan bank Melayu pertama iaitu Malay National Bank. Apabila bank ini ditubuhkan, secara tak langsung ia menjadi saingan buat bank sedia ada. Tapi, tak lama selepas menubuhkan bank itu, Maarof diculik dan dibunuh secara misteri.
Maarof diculik semasa beliau dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Seremban pada 4 Disember 1947. Seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian dalam siri artikel BERSIRI,
Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.
Yang peliknya, mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban, yang mana perjalanan ini tak perlu melalui Bentong pun. Jelas, mangsa memang diculik sebelum dibunuh. Motif pembunuhan ini kekal misteri. Kalau nak cakap ia sebuah rompakan, jam tangan Rolex milik mangsa masih ada semasa mayatnya ditemui tergantung di atas pokok. Dan sampai hari ini pun, pembunuh Maarof tak ditemui…
Kes Jalil Ibrahim, juruaudit Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang dibunuh selepas bongkar kes penyelewangan
Kalau anda nak tahu, bukan skandal 1MDB saja yang melibatkan penyelewengan berbilion-bilion ringgit. Pada awal tahun 1980-an, berlaku satu penyelewengan dana terbesar dalam negara yang melibatkan Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB). Secara ringkasnya, anak syarikat BBMB, Bumiputra Malaysia Finance (BMF) telah meluluskan pinjaman sebanyak RM 2.5 billion kepada sebuah syarikat dari Hong Kong iaitu Carrian Group.
Anda tak pelik ke, sebuah syarikat luar boleh pinjam duit dengan BMF dalam jumlah yang sangat-sangat tinggi? Kalau zaman sekarang pun, 2.5 billion dah kira banyak gila, bayangkan pada tahun 1980-an, agak-agak jumlah ini boleh jadi 2-3 kali ganda pada zaman sekarang! Mesti ada yang tak kena nih… orang putih cakap ‘Something Fishy’.
Bila Carrian Group jatuh muflis, mereka tak boleh bayar balik pinjaman dengan BMF. Jadi, BMBB hantar juruadit mereka, Jalil Ibrahim ke Hong Kong untuk siasat apa sebenarnya yang terjadi. Walapun dah nak bankrap, Carrian Group masih lagi nak pinjam duit dengan BMF. Weh, benda hutang lama pun tak boleh bayar, nak pinjam lagi? Kalau kita jadi juruaudit pun, mestilah kita halang, kan? Ya, itulah yang Jalil Ibrahim buat. Malah, Jalil turut mendapati ada kemungkinan pegawai atasan BMF telah menerima sogokan sehingga meluluskan pinjaman kepada Carrian Group. Sebabnya, banyak sangat kecelaruan dalam laporan audit syarikat mereka.
Ketegasan Jalil Ibrahim itu akhirnya telah meragut nyawanya sendiri! Dia dibunuh dan dicampak ke sebuah kebun pisang. Mayatnya telah ditemui oleh seorang wanita pada pagi 19 julai 1983. Semasa polis Hong Kong tiba di lokasi mayatnya ditemui, mereka sangkakan mangsa adalah rakyat tempatan. Lebih merumitkan keadaan, mangsa ditemui tanpa dompet dan kad pengenalan diri. Mujurlah, polis terjumpa duit syiling 10 sen dari Malaysia!
Seperti yang diceritakan oleh wartawan Syahril A.Kadir di laman FB miliknya,
Laporan autopsi dan penyiasatan polis mendedahkan Jalil telah dijerut dengan tali jubah mandi yang ada pada lehernya sewaktu ia dijumpai. Itu membuktikan kejadian ini bukan akibat kemalangan.
Dahsyat betul skandal ini, sampai boleh bunuh orang! Kes ini antara kes berprofil tinggi yang memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Kira-kira selama 17 tahun kes ini dalam siasatan! Walaupun pembunuhnya telah ditangkap dan didakwa, tapi, dalang di sebalik kes ini masih terlepas dan tidak ada bukti untuk menyabitkan mereka dalam kes ini. Ketika dalam siasatan, pembunuh Jalil Ibrahim hanya menyatakan kepada pegawai penyiasat yang “dia menerima arahan dari orang kenamaan dari Malaysia”.
Satu lagi pendedahan yang dibuat oleh wartawan mahkamah Straits Times, Winson Lane, rakaman kenyataan pembunuh Jalil berdurasi 5 jam setengah itu tidak sampai ke mahkamah. Menurutnya lagi, kenyataan setebal 24 halaman muka surat yang menyebutkan beberapa nama orang Malaysia telah hilang dan gagal ditemui sehingga ke hari ini. Akhirnya, motif kes ini kekal misteri.
Agaknya kalau kes-kes ini berlaku pada zaman sekarang, selesai tak?
Setelah kita ikuti kisah-kisah pembunuhan ini, anda rasa dengan kecanggihan teknologi zaman sekarang, boleh selesai tak? Pada kami, penjenayah akan lebih licik berbanding zaman dahulu. Walaupun teknologi forensik sudah mampu mengenalpasti jenayah dengan lebih tepat, tapi kalau orang yang terlibat dalam siasatan sendiri korup dan dapat campur tangan dari pihak atasan yang korup, susah juga nak selesai. Yang paling penting, kita perlukan integriti beserta teknologi dalam membanteras jenayah!