Ini cara Botak Chin gunakan duit rompakan awalnya, dia tak gunakan untuk berjoli

F1
Ini cara Botak Chin gunakan duit rompakan awalnya, dia tak gunakan untuk berjoli

Pernahkah anda mendengar nama Botak Chin? Kalau anda pernah dengar, maknanya anda mungkin dah tergolong dalam generasi tua. Eh, apa kaitan pula? Sebabnya, pada tahun 1970-an, seluruh Malaysia digemparkan dengan seorang penjenayah yang paling dikehendaki waktu itu. Dialah Botak Chin!

220px Botak Chin
Inilah dia Botak Chin… Via Wikipedia

Eh, nama Botak Chin tapi tak botak pun? Haa, jangan salah faham. ‘Botak’ di sini bukan bermaksud botak tak ada rambut. Gelaran Botak Chin ini sebenarnya berasal dari 3 perkataan Hokkien iaitu ‘Bo’,’Tak’ dan ‘Chin’. Maksudnya ialah Bo=Tiada, Tak=Kerja dan Chin=Cina. Jadi Botak Chin sebenarnya bermaksud ‘Cina Tiada Kerja’. Dari gelarannya saja kita dah boleh agak, yang latar belakang penjenayah ini bukanlah dari orang biasa-biasa tapi penganggur dan miskin.

Sebelum kita sembang pasal jenayah Botak Chin, kenali dahulu siapa dia sebelum jadi penjenayah…

Botak Chin hanyalah gelaran saja. Sudah tentulah tak ada ibu bapa yang aneh di muka bumi ini yang sanggup namakan anak mereka dengan makna yang tak elok seperti Botak Chin. Nama sebenar Botak Chin ialah Wong Swee Chin.

Tidak semua manusia dilahirkan dengan sudu emas. Begitu juga dengan Botak Chin. Bukan saja dilahirkan dalam keluarga yang besar (dia ada 10 orang adik beradik weh!), dan miskin. Tapi, latar pendidikannya boleh dikatakan bagus juga. Pada tahun 60-an, kalau dapat masuk sekolah Inggeris, dah kira cerah masa depanlah.

Ibaratnya macam budak zaman sekarang yang dapat masuk MRSM lahhh… Sayangnya, dek kerana kemiskinan yang menghimpit keluarganya, dia berhenti sekolah pada usia 15 tahun.

Botak Chin Muda
Botak Chin semasa muda. Via https://hyatto.wordpress.com/

Lepas berhenti sekolah, dia bekerja di pasar borong untuk ringankan beban keluarganya. Semasa bekerja di pasar borong inilah, Botak Chin sering ditindas oleh geng kongsi gelap yang bermaharajalela di situ. Sebab tak mampu nak bayar wang perlindungan yang diminta oleh geng itu, dia sering dibelasah.

Peristiwa inilah yang menyebabkan dia mencari pelindungan dengan menyertai geng kongsi gelap yang lain. Mula-mula nak lindungi diri sendiri, tapi lepas ibunya meninggal dunia, dia mula ikut rakan-rakannya pergi merompak!

Mula dengan merompak dengan rakan-rakan, sampailah mampu tubuhkan kumpulan Gangster…

Kalau setakat merompak, itu tidak menjadikan geng Botak Chin berbeza dengan geng-geng perompak yang lain. Yang membuatkan geng Botak Chin ini bahaya sebab dia punya aktif merompak itu lain macam! Dalam sebulan saja, geng Botak Chin merompak sampai 8 kali!

Masyuk weh hasil rompakan dia. Via Giphy

Kalau merompak tu satu pekerjaan, geng Botak Chin boleh dapat anugerah kot? Tapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Botak Chin ditangkap buat pertama kali pada September 1969 atas kesalahan merompak. Dia dihukum penjara selama 7 tahun. Tapi sebab dalam penjara dia berkelakuan baik, dia dibebaskan lebih awal iaitu pada November 1973.

Taubat itu tidak mudah, kerana jenayah merompak lebih menguntungkan…

Botak Chin cuba mulakan hidup baru sebagai bekas banduan tanpa terlibat dengan jenayah lagi. Via Giphy

Sejak keluar penjara pada 1973, Botak Chin kembali menjadi penjual sayur di pasar. Dari sini, kita dapat rasa memang dia dah bertaubat. Tapi, kehidupan sebagai marhaen tidak menjadikan hidupnya mudah. Kalau sebelum ini dia pernah menikmati hasil rompakan yang lumayan, bila dia buat kerja halal, dia rasa duit tak cukup pulak.

Tak tahan dengan kemiskinan, dia kembali melakukan jenayah. He’s back into scene!  Pada April 1975, dia tubuhkan geng baru dan kembali merompak! Bayangkan, 2 tahun juga dia cuba tapi akhirnya dia tak mampu hidup macam orang biasa. Sebab itulah kita dilarang buat benda jahat, sebab sekali dah buat jahat macam merompak, susang nak buang perangai tu.

Dengan geng baru, Botak Chin kembali dengan lebih ganas dan untung berlipat kali ganda

Kalau dahulu geng Botak Chin masih mentah, kali ini dia kembali dengan geng baru yang lebih berpengalaman dalam merompak. Tidak cukup dengan gerombolan gangster yang berpengalaman, dia turut memborong senjata api dari Thailand. Kiranya dia betul-betul nak buat ‘comeback’ dengan lebih ganas!

Target pertama geng Botak Chin ialah Pusat Judi. Lepas merompak di situ pada 2 Jun 1975, mereka dapat hasil sebanyak RM5,800. Dengan duit rompakan itu, dia pergi Thailand sekali lagi untuk beli 8 senjata api dan 100 butir peluru. Kemudian, mereka rompak bank di Jalan Imbi pula. Kali ini dapat RM25,000. Hasil dari rompakan ini, mereka beli kereta jenama Datsun. Perompak pun ada rancangan kewangan, tak berjoli sakan dulu. Mereka beli aset untuk merompak pada masa akan datang.

Botak3
Senjata api geng Botak Chin yang dipamerkan di Muzium Polis Diraja Malaysia. Via http://sirapbandoong.blogspot.com/

Bank atau kelab judi dirompak itu, biasalah. Dah memang dua-dua tempat itu banyak duit. Tapi geng Botak Chin bukan saja target dua jenis tempat itu, kuil pun mereka rompak! Rompakan ketiga mereka dilakukan di Kuil Cina di Jalan Kolam Ayer. Dari rompakan ketiga ini, mereka bawa pulang RM10,000.

Polis buru Botak Chin, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur masa tu ketuai operasi

Kalau dah sakan merompak tu, mustahil polis tak kejar, kan? Apatah lagi, kemuncak rompakan yang paling besar dan berbahaya yang geng Botak Chin lakukan ialah pada 26 Oktober 1975. Dia merampas RM218,000 selepas menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda.

Hasil agihan sebanyak RM40,000, Botak Chin pergi lagi ke Thailand membeli senjata api menjadikannya memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru. Disebabkan Botak Chin ni licik, dikejar-kejar tak dapat tangkap, polis pun hantarlah Deputy Superintendent, S.Kulasingam (sering dipanggil sebagai Kula sahaja) untuk ketuai operasi memburu Botak Chin.

Bukan calang-calang ya Tuan Kula ni. Sepanjang khidmatnya dengan PDRM, beliau berjaya tumpaskan 25 sindiket kongsi gelap. Hebat, kan? Tapi semasa beliau ketuai operasi memburu Botak Chin ini, boleh dikatakan nyawa beliau telah menjadi taruhan.

Keratan Akhbar Tentang S Kulasingam
Keratan Akhbar Tentang S Kulasingam. Via Lobak Merah

Pada 22 November 1975, beliau telah ditembak oleh orang suruhan Botak Chin di persimpangan Jalan Davis-Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Sebanyak 11 das tembakan dilepaskan dan beberapa daripadanya telah terkena Tuan Kula ini. Tembakan itu telah menyebabkan beliau patah tulang rusuk dan menghancurkan organ hatinya serta satu peluru telah menembusi paru-parunya.

Pantang maut sebelum ajal, itulah yang menjadi pegangan beliau. Selepas 3 bulan dirawat, beliau kembali memburu Botak Chin!

Penjenayah Terkenal Tahun 70an Botak Chin 771
Botak Chin ketika ditangkap. Via iluminasi.com

Pada 16 Februari 1976, akhirnya Botak Chin tumpas juga apabila dia termasuk jerat yang dirancang oleh pihak polis. Sebanyak 6 das tembakan telah dilepaskan oleh pihak polis namun Botak Chin masih terselamat. Walaubagaimanapun, dia akhirnya ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Kemiskinan bukan alasan, cuma kejahatan di sekitar hidupnyalah yang menjadikan Botak Chin penjenayah

Biarpun ada lagi kisah-kisah lanjutan dalam sejarah penjenayah Botak Chin ini, kami berhenti setakat ini sahaja. Setelah kita ketahui bagaimana seorang remaja yang hanya ingin menyara keluarga akhirnya terlibat dalam jenayah. Kalaulah ketika Botak Chin dipukul sebelum dia masuk kongsi gelap, ada orang bantu dia, mungkin sejarah hidup Botak Chin akan berubah.

Apa-apa pun, kemiskinan tak boleh dijadikan alasan untuk melakukan apa jua bentuk jenayah.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top