TIGA kes bunuh yang pernah menggemparkan Malaysia, tapi belum selesai…

Nurin Jazlin
TIGA kes bunuh yang pernah menggemparkan Malaysia, tapi belum selesai…

Negara kita tak pernah sunyi dari sebarang kes jenayah. Sebagai rakyat Malaysia yang dah hidup berpuluh-puluh tahun di negara ini, semestinya kita masih ingat pada kes-kes yang pernah menggemparkan negara, kan? Generasi muda mungkin tak pernah dengar pasal kes-kes ini, tapi yang dah lama makan garam mesti akan teringat kalau kita sebutkan beberapa kes tu.

Monafandey
Mona Fandey – via Utusan Malaysia

Sebut saja Mona Fandey, kes kematian Dato Sosilawati Lawiya dan Canny Ong, mesti ada yang pernah dengar, kan? Semua kes tragis tersebut walaupun menyayat hati kita yang pernah mengikuti kes-kes tersebut di dada akhbar, tapi semuanya dah selesai.

Jadi, kali ini, kami nak cerita pula tentang 3 kes yang menggemparkan Malaysia tapi sampai sekarang (2019) tak jumpa-jumpa lagi siapa suspeknya. Secara ringkas dan padat, kami akan ceritakan kes-kes ini satu per satu. Yang pernah dengar mungkin dah tak ingat secara terperinci dan yang belum pernah dengar boleh tambah pengetahuan. Tak gitu?

1. Kes pembunuhan Noritta Samsuddin, DNA suspek kekal misteri sehingga hari ini

 

Noritta Samsudin 1
Siapa sangka kehidupan gadis cantik berakhir dengan tragis sekali… – via syahrilkadir.wordpress.com

Gadis cantik yang berasal dari Perlis ini semasa hayatnya memang dikenali ramai dan sering menjadi tumpuan. Iyalah, orang cantik, kan? Semasa hidup, dia ni seorang wanita bekerjayalah. Career Women bak kata orang putih. Bukan saja bekerja sebagai eksekutif pemasaran, malah dia juga dapat banyak tawaran jadi model. Haa, siapa yang cakap Melayu malas tu? Ini dia sejak zaman Tun M tak pencen jadi PM ke-4 lagi orang dah buat dua kerja… Okay-okay, kita teruskan kisah ini.

Sayangnya, hayatnya direnggut dengan kejam pada usia 22 tahun.  Dia dijumpai mati di dalam biliknya di sebuah kondominium di Sri Hartamas pada 5 Disember 2003. Dia ditemui mati dalam bilik tidurnya oleh rakan-rakan serumah yang baru balik dari kelab malam. Yang lebih menyayat hati, seperti yang kenyataan mahkamah yang telah diterjemahkan oleh AskLegal.my;

Noritta ditemui mati dengan kepala ke bawah tilam yang terletak di atas lantai biliknya. Kepalanya diserkup dengan sarung bantal yang diikat, dan kedua-dua tangan diikat dengan wayar elektrik di belakang, dan kakinya juga diikat dengan wayar elektrik dan baju dalam. Dia dijumpai dalam keadaan berbogel tetapi ditutupi dengan cadar ketika ditemui buat kali pertama

Hanif Basree
Hanif Basree – via malaysiagazette.com

Tak lama selepas itu, ada seorang lelaki yang serah diri dan mengaku dia yang bunuh Noritta. Namanya Hanif Basree Abdul Rahman. Okay, mungkin setakat ini kita akan ingat kes dah selesai. Suspek dan serah diri. Tapi tunggu dulu… Kes ini tak semudah itu. Ianya menjadi rumit kerana polis jumpa 3 sampel air mani berbeza dari tilam di tempat kejadian!

Bila ujian DNA dilakukan, salah satu sampel berasal dari mangsa, satu lagi sah berasal dari Hanif yang serah diri tu, dan satu lagi… milik seorang lelaki misteri yang sampai hari ini tidak dapat dikenal pasti! Jadi sebabkan wujud satu lagi DNA misteri, siasatan kes ini jadi berlarutan dan akhirnya mahkamah bebaskan Hanif.

Eh, bebas? Kenapa pula? Ya, Hanif bebas sebab setelah dinilai, memang Hanif ada melakukan hubungan seks dengan mangsa, tapi Hanif bukanlah orang yang terakhir yang melakukannya sebelum mangsa dibunuh. Bererti pembunuh sebenar adalah lelaki misteri tersebut. Dan sampai hari ini… lelaki misteri itu masih bebas dan belum ditemui.

2. Kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin, suspek seorang Paedophilia yang masih bebas di luar sana

Nurin
Kehilangan gadis comel ini pernah menjadi tumpuan rakyat Malaysia sehinggalah mayatnya ditemui dalam sebuah beg – via magicriver.org

Kes ini bermula apabila Nurin Jazlin tidak pulang-pulang dari pasar malam. Siapalah yang sangka jarak yang dekat antara rumah dengan pasar malam tidak menjamin keselamatan anak sekecil 8 tahun ini. Nurin Jazlin ke pasar malam seorang diri pada 8.30 malam, 20 Ogos 2007 kerana nak beli penyepit rambut saja.

Setelah mangsa tidak kunjung tiba di rumah, ibu bapanya segera mencarinya dari kawasan rumah mereka di Wangsa Maju sampailah ke Setapak. Dikatakan mangsa mempunyai masalah buah pinggang dan penyakit darah tinggi. Dalam keadaan ini, tentulah ibu bapanya lebih risau. Pada malam yang sama juga, sepupu mangsa yang berada di pasar malam tersebut menjadi saksi bahawa mangsa ditarik masuk ke dalam sebuah van oleh seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an.

Nurinjazlin
Keratan akhbat tentang keluarga mangsa yang merindui anak mereka – via the Star

Kes ini mendapat liputan luas di media massa pada waktu itu. Setiap perkembangan terkini pasti akan diikuti oleh orang ramai sama ada melalui laporan akhbar mahupun buletin utama di televisyen. Lebih memilukan, keluarga mangsa menyambut bulan puasa tanpa seorang anak yang hilang.

Hampir sebulan lamanya, akhirnya gemparlah satu Malaysia apabila mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui di dalam beg kasut di kaki lima lot kedai PJS1/48, Petaling Utama. Yang lebih mengejutkan, selepas bedah siasat, polis mengesahkan bahawa terdapat sebiji timun dan sebiji terung ditemui dalam alat sulit mayat tersebut. Tak dapat dibayangkan betapa peritnya penderitaan yang dihadapi oleh mayat tersebut semasa diseksa sedemikian rupa.

Kl09 200907 Mayat Nurin
Perbandingan wajah mangsa ketika ditemui dengan wajahnya semasa hidup – via OhMyChannel.com

Sebelum identiti mayat tersebut dikenalpasti, ibu bapa Nurin Jazlin dipanggil untuk proses pengecaman. Tapi mereka benar-benar rasa mayat tersebut bukanlah Nurin Jazlin. Sebab fizikalnya memang sangat berlainan dengan anak mereka. Proses pengecaman ini dilakukan dua kali sebab ayah mangsa memang tak kenal mayat tersebut.

Dia menyatakan kedudukan gigi anaknya dengan mayat tak sama langsung dan mayat tersebut tidak ada parut suntikan vaksin BCG. Mungkin juga mayat budak perempuan itu bukan warga negara Malaysia sebab semua warganegara Malaysia wajib diberi suntikan vaksin.

Suspek Nurin Jazlin
Lakaran wajah suspek – via xzekurna.blogspot.com

Akan tetapi, setelah ujian DNA dilakukan, ternyatalah mayat budak perempuan yang ditemui itu adalah Nurin Jazlin… Dan suspek yang menculik serta membunuh Nurin Jazlin masih belum ditemui sampai hari ini. Dalam sebuah temu ramah di Sinar Harian, bapa mangsa, Jazimin, masih berharap agar suspek ditangkap. Tapi sampai ke hari ini, tidak ada sebarang perkembangan baru tentang kes ini.

3. Kes pembunuhan Audrey Melissa Bathinathan, suspek ditangkap tapi kemudiannya bebas

Kalau anda biasa tinggal di Kuala Lumpur dan selalu naik LRT, mesti tahu tentang Stesen LRT Pasar Seni. Sekarang dah ada stesen sambungan ke MRT Sungai Buloh-Kajang. Tapi tak ramai yang tahu sejarah yang pernah berlaku di sekitar stesen LRT Pasar Seni ini.

Pada tahun 90-an, terowong laluan pejalan kaki dari Kompleks Dayabumi ke Pasar Seni ini memang dilalui oleh ramai orang sebab inilah jalan pintas. Sama la juga dengan pelajar Sekolah Menengah Perempuan Methodist di Jalan Cendasari. Mereka lalu terowong ini sebab nak cepat sampai ke sekolah.

Terowong
Terowong Dayabumi – via hpneoh1288.wordpress.com

Tapi terowong itu dah tak digunakan sebab ada satu kes pada 1999. Audrey Melissa Bathinathan pada hari kejadian lalu terowong ini macam biasa nak ke sekolah. Malangnya, Audrey hilang selepas melalui terowong ini.

Selalunya, ibunya akan telefon ke rumah selepas Audrey balik sekolah. Tapi pada hari itu, memang telefon tak berjawab langsung. Ibunya rasa tak sedap hati sebab Audrey tak balik-balik rumah. Lagi pelik, kawan-kawan sekolah cakap Audrey tak datang kelas hari itu. Jadi ibunya minta tolong adik-beradik untuk cari Audrey di merata-rata tempat di Kuala Lumpur sampai akhirnya mereka buat laporan polis.

Mangsa
Mangsa, Audrey Melissa Bathinathan, seorang calon SPM 1999 – via Lobak Merah

Pencarian tersebut telah berakhir pada 18 Mei 1999 apabila mayat Audrey telah ditemui oleh pekerja Alam Flora di pencawang elektrik di Jalan Kinabalu. Mangsa ditemui dalam keadaan masih berpakaian sekolah tapi seluar dalamnya turun ke paras buku lali. Berdasarkan hasil bedah siasat, mangsa didapati dirogol dan dibunuh dengan cara dicekik sampai mati.

Tak lama selepas mangsa ditemui, polis telah menahan seorang suspek. Suspek pertama ialah seorang penagih dadah bernama Karuppiah Ponniah ditahan terlebih dahulu dan sampel DNA telah diambil. Tapi sampel tersebut tidak menyamai DNA penjenayah sebenar. Disebabkan hal ini, suspek pertama dilepaskan. Kemudian polis dapat tahu ada seorang lagi penagih dadah yang digelar dengan nama Chris, berusia 30-an dan berambut kerinting. Dia dipercayai gemar berlegar di kawasan berhampiran tempat mangsa ditemui.

Ibu Mangsa

via nurinjazlin.blogspot.com

Tapi sampai sekarang suspek tersebut tak ditemui… Pada 15 Disember 1999, kerana kes ini tidak ada perkembangan langsung dan suspek tak jumpa-jumpa, ibu mangsa menfailkan ganti rugi kepada kerajaan Malaysia dan pihak sekolah yang cuai terhadap keselamatan anaknya.

Sekian lama, perempuan jadi mangsa jenayah tidak berperikemanusiaan….

Ketiga-tiga kes ini bukanlah kes yang kecil. Ia kes yang besar dan mendapat liputan luas. Namun sayangnya sampai ke hari ini, kes ini belum selesai. Setelah kita ketahui tentang kes-kes ini, tidakkah anda rasa bahawa betapa sukarnya menjadi perempuan? Tidak kiralah ia hanya anak kecil, remaja atau dewasa.

Mungkin juga ungkapan orang tua yang kedengaran agak patriaki seperti “Menjaga lembu sekandang lebih senang dari menjaga anak perempuan” ada betulnya. Kerana penjenayah-penjenayah sadis ini masih bebas di luar sana…

Setakat ini, kita tidak boleh lari dari kerisauan terhadap keselamatan anak perempuan. Tapi perlu diingat juga, hari ini, penjenayah tidak mengenal jantina. Mereka mungkin juga penjanayah paedophilia yang suka kanak-kanak lelaki dan perempuan. Jadi, kerisauan ibu bapa hari ini sudah tidak lagi semata-mata terhadap anak perempuan saja malah terhadap anak lelaki juga.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top