Penyakit mental schizophrenia yang banyak dialami rakyat Malaysia, ini simptomnya

Isu kesihatan mental nampaknya sudah mula dipandang serius oleh masyarakat hari ini. Dan yang paling diketahui ramai ialah kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety). Tapi masih ramai yang kurang tahu tentang Schizophrenia. Bak kata uncle Dan Brown, kita lebih takut pada perkara yang kita tak faham. Jadi sebelum kita meletakkan stigma yang bukan-bukan, lebih baik kita kenali dahulu apakah Schizophrenia yang sebenarnya…

Apakah keadaan ‘schizophrenia’ yang sebenarnya?

Schizophrenia ialah gangguan mental yang kronik, penghidapnya tidak dapat mentafsirkan realiti secara abnormal. Ia mungkin menyebabkan keadaan seperti halusinasi, delusi dan kelakuan yang mengganggu kehidupan seharian. Walaupun schizophrenia bukanlah gangguan kesihatan mental yang dialami ramai, tapi di Malaysia sekurang-kurangnya 1% daripada populasi rakyat Malaysia menghidap penyakit ni.

Keadaan yang dialami pesakit – brightquest.com

Untuk lebih memahami keadaan ini, cuba anda bayangkan minda anda sedang bermain ‘trick’ dengan anda. Anda dengar suara dari entiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apakah perasaan anda? Takut? Seram? Gelisah? Itulah situasi yang dihadapi oleh penghidap schizophrenia.

Ada 3 kategori Simptom Schizophrenia yang perlu diketahui semua orang

Antaranya ialah Simptom Positif,  Simptom Negatif dan Simptom Kognitif. Tapi jangan salah faham, positif di sini tak sama dengan positif dalam konsep moral seperti ‘baik’, ‘berfaedah’ dan seumpamanya. Tapi positif dalam bidang kesihatan merujuk kepada simptom yang menambah sesuatu keadaan ke atas keadaan normal. Orang putih sebut ‘add-on’. Manakala negatif pula ialah keadaan yang berkurangan daripada keadaan normal.

via Relate Malaysia

Bagi Simptom positif, keadaan yang dialami oleh pesakit ialah halusinasi, delusi, percakapan yang tidak teratur, dan pergerakan fizikal yang abnormal. Halusinasi ialah keadaan di mana mendengar atau melihat sesuatu yang tidak wujud dalam realiti. Berbeza dengan halusinasi, delusi pula keadaan di mana penghidap schizophrenia rasa sesuatu yang tidak wujud seperti rasa dirinya dipukul atau disentuh oleh seseorang walhal ia tidak berlaku dalam realiti.

Bagi pesakit, ada yang mengalami percakapan yang tidak teratur, sebagai contohnya, bila kita tanya lain dia jawab lain (yang memang langsung tak ada kaitan). Kalau dari sudut pergerakan pula, pesakit selalunya kurang memberi respons dan bergerak secara berlebihan (excessive movement).

Perbezaan Simptom Positif dan negatif – via Verywell Mind

Simptom negatif pula merangkumi kelakuan yang semakin kurang bercakap, kurang bermotivasi, Flat Effect (ekspresi muka yang kurang berperasaan). Dari segi simptom kognitif  pula, ia melibatkan keadaan mental yang semakin cepat lupa, kurang perhatian, dan fikiran bercelaru (disorganized thinking).

Apakah penyebab atau punca Schizophernia?

Secara umumnya, Schizophernia boleh terjadi melalui beberapa faktor seperti faktor genetik, kimia dalam otak (brain chemistry), persekitaran dan stress.

Buku yang menceritakan pengalaman penghidap schizophernia bersama kembarnya – via Amazon.com

Sekiranya dalam ahli keluarga ada yang mempunyai schizophernia, ada kemungkinan penyakit ini boleh dihidapi oleh ahli keluarga yang lain. Misalnya, bagi kembar seiras, sekiranya salah seorang menghidapi schizophernia, pasangan kembarnya juga berkemungkinan akan mengalaminya juga. Walaupun kedua-duanya dibesarkan berasingan. Bagi kembar tidak seiras, hanya 1 daripada 7 keberangkalian untuk mengalami schizophernia sekiranya pasangan kembarnya mengidap masalah yang sama.

Kandungan kimia dalam otak dalam pelbagai situasi – via Giphy

Menurut laman perubatan WebMD, kandungan dopamine yang berlebihan merupakan punca mengapa penghidap schizophernia berhalusinasi. Selain dopamine, aktiviti glutamate yang tinggi juga boleh menyebabkan schizophernia. Glutamate ialah kimia dalam otak yang mencipta memori dan membantu kita mempelajari perkara yang baru.

Selain faktor seperti genetik dan kimia, persekitaran juga turut menjadi faktor penyebab masalah ini. Persekitaran yang tidak sihat seperti mudah terdedah pada virus, kekurangan nutrisi semasa bayi dalam kandungan, dan pengambilan dadah terlarang seperti kokain pada usia remaja merupakan punca schizophernia.

Stress juga boleh jadi punca masalah kesihatan mental – via Giphy

Tapi dalam semua faktor yang disebutkan tadi, stress antara punca yang menyebabkan banyak masalah kesihatan mental. Dalam hidup kita, ada kalanya ujian yang menimpa datang secara tidak diduga seperti kehilangan pekerjaan, perceraian, penderaan dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ia tidaklah secara terus menyebabkan masalah schizophernia, tapi ia boleh menjadi penggerak (trigger) kepada keadaan ini bagi individu yang terdedah pada faktor schizophernia yang lain.

Adakah Schizophernia boleh dirawat?

Sudah tentu. Ia boleh dirawat dengan kaedah perubatan dan psikososial (seperti psikoterapi, sokongan moral dari keluarga). Walaubagaimanapun, belum ada rawatan khusus untuk masalah kesihatan mental ini. Ia memerlukan beberapa cara untuk merawat dalam masa yang sama.

Rawatan yang dicadangkan – via Relate Malaysia

Perlu diingatkan bahawa rawatan yang diberikan adalah berbeza mengikut keperluan dan tahap seseorang individu yang menghidapi schizophernia. Jadi, sekiranya anda mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan dalam artikel ni atau mempunyai ahli keluarga/sahabat yang mengalaminya, pastikan dapatkan rawatan doktor.

Seringkali masyarakat kita akan menyalahkan perbuatan sihir atau gangguan jin bila berhadapan dengan situasi ini. Bukanlah kami menidakkan hal ini 100%. Namun, langkah pertama adalah berjumpalah dengan doktor atau pakar perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan yang lain.

Semoga artikel ini bermanfaat buat anda semua dan jangan lupa kongsikan di media sosial, ya?

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *