Kisah pesakit positif jadi semakin teruk kerana ubat Ivermectin, wajib baca

f1

Sejak Covid-19 melanda kita, dah bermacam cara dan ‘rawatan tradisional’ yang dah kita dengar, semuanya dakwa boleh cegah jangkitan Covid-19 atau boleh pulihkan pesakit Covid-19. Daripada nak suruh banyakkan minum air suam, hinggalah ke minum air kencing lembu… sekarang ni pulak, ubat untuk haiwan pulak dah.

728 X 90

Bila sebut pasal ubat, benda ni pun dah kami kupas sedikit sebelum ni. Dulu, hangat jugak orang nak cari Remdesivir. Remdesivir ni antara ubat yang diakui turut digunakan untuk para pesakit Covid-19 yang dah nak kritikal. Kini, ada lagi satu ubat yang dicari-cari ramai. Kononnya, makan ubat ni boleh elak atau pulihkan Covid-19. Bila dah kerap makan ubat, orang yang sihat jadi sakit kerana kesan sampingan ubat tu pulak…

ivermectin kastam
ANTARA pil Ivermectin yang dirampas Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) KKM dalam serbuan dan rampasan di KLIA sebelum ini..-Via Harian Metro

Kisah pesakit positif jadi semakin teruk kerana ubat Ivermectin, terlalu cepat percaya dengan khabar yang tak sah lagi

Daripada sebuah laman komuniti kesihatan di Facebook, kami menemukan sebuah kisah perkongsian dari sorang petugas kesihatan. Katanya, ada sorang pesakit yang positif berumur 30-an datang ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) Port Klang untuk pakai gelang kuarantin. Namun bila dia dah sampai ke CAC, nampak sangat dia tak sihat dan sangat pucat. Petugas ni suruhlah dia duduk dulu sementara dia buat pemeriksaan kesihatan asas kat pesakit ni.

Hasilnya, tekanan darah dia didapati rendah sangat dan kadar denyut dia pulak laju sangat manakala kadar oksigen dia dah sampai 88%. Untuk pengetahuan korang, tu memang dah sukar nak bernafas dah tu… Pesakit tu ada jugak maklumkan dia dah diarrhea 4 kali sejak hari sebelumnya, dan ada muntah jugak. Dia jugak kata dia hilang selera makan sejak 3 hari lalu.

Mulanya petugas kesihatan ni fikir, ni simptom lazim untuk pesakit Covid-19 sehinggalah pesakit tu kata dia risau dia alami simptom teruk kerana dia ada ambil ubat Ivermectin. Jelasnya, dia ada baca perkongsian dalam group WhatsApp pasal kebaikan telan ubat ni. Petugas kesihatan ni terkejut gila, sebab hakikatnya, Ivermectin belum disahkan selamat untuk digunakan kat manusia lagi dan masih lagi dalam peringkat percubaan.

“Data masih belum cukup tapi terburu-buru dalam merawat. Kita perlukan data dan fakta yang sahih, baru boleh gunakan dekat pesakit. Bahagian yang paling teruk adalah simptom boleh ‘overlap’ antara tanda amaran Covid atau kesan sampingan Ivermectin. Sudah jatuh, ditimpa pulak tangga. Ngeri bang ngeri…” – Petugas kesihatan, seperti yang dipetik dari perkongsian Facebook

Laman komuniti tu jugak pernah menyuarakan ketidakpuashatian diorang terhadap pil Ivermectin ni. Diorang kata diorang dengar khabar harga ubat ni dah semakin mahal dan ramai jugak beriya-iya nak KKM luluskan penjualan. ‘Orang ramai’ yang dimaksudkan ni mungkin sekali terhadap para penjual ubat yang nak buat untung daripada penjualan ubat-ubatan walaupun tak sah. Dakwa je tinggi melangit, tapi tak peduli apa kesannya terhadap para pengambil ubat tersebut. Hal ni tak mengejutkan lagi, sedangkan kes sindiket jual semula vaksin pun dah terjadi dulu….

Ivermectin belum diiktiraf, kebanyakannya diseludup secara haram dan mempunyai banyak kesan sampingan

Sebelum kita pergi jauh, kita kena faham apa benda Ivermectin ni. Menurut laman rasmi KKM, Ivermectin ni sebenarnya adalah ubat anti-parasit yang diluluskan oleh FDA, dan biasanya digunakan untuk haiwan dan rawatan penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases. Belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan untuk saranan penggunaan Ivermectin untuk rawat dan cegah Covid-19.

Setakat ni, WHO hanya syorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, dimana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk jamin keselamatan dan keberkesanannya. Ni bermakna, ubat ni baharu je diuji untuk digunakan dalam rawatan Covid-19 dan masih perlu kajian daripada para doktor pakar yang berpengalaman.

ivermectin kesan sampingan
Via KKM

Bila dah sebut ubat baharu, dahlah ubat tu mudah didapati untuk haiwan… ada sesetengah orang ni main telan je dan percaya bahawa diorang ni dah setaraf dengan doktor pakar kat hospital. Bila dah sakit, diorang tetap akan datang ke hospital untuk minta rawatan. Kajian klinik Ivermectin ni dilakukan dalam suasana yang amat terkawal, dengan pengalaman perubatan dan peralatan hospital yang mencukupi sekiranya berlaku apa-apa masalah.

Setakat ni, ia dilakukan oleh KKM dan Institut Penyelidikan Klinik KKM bermula 31 Mei lalu. Sebanyak 12 hospital KKM terlibat, dengan 500 pesakit Covid-19 kategori 2 dan 3 yang berisiko tinggi serta berumur 50 tahun ke atas. Tetapi ada jugak sebilangan orang ni, nampak je kenyataan KKM “memberi kelulusan khas penggunaan Ivermectin secara off-label”, diorang terus nak telan. Bila kita sebut “off-label”, tu bermaksud ubat tu memang tengah dalam kajian sama ada sesuai atau tak untuk diberikan kepada para pesakit Covid-19.

“Kajian terbabit dikenali sebagai Ivermectin Treatment Efficacy on COVID-19 High Risk Patient. Ia kini sedang dijalankan di beberapa hospital kerajaan. Berdasarkan perancangan awal, seramai 500 pesakit COVID-19 berisiko tinggi dan bergejala ringan akan terbabit dalam kajian ini namun setakat ini, kira-kira 200 pesakit sudah menyertai kajian berkenaan,”- Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan, seperti yang dipetik oleh KKM

ivermectin off label
Via KKM

Malangnya khabar ni dijadikan bahan pemasaran untuk para penjual ubatan yang tamak nakkan untung semata-mata. Diorang dakwa Ivermectin ni selamat dan diselit jugak ayat-ayat pemanis seperti “ikhtiar”, “usaha dan tawakal” dan bermacam lagi untuk kaburkan mata sesiapa yang nak melindungi diri diorang. Tak cukup digesa untuk gunakan pelitup muka, diorang nak amalkan Ivermectin sebagai “ikhtiar” tambahan. Diorang tak beritahu bahawa Ivermectin ni selalu digunakan untuk haiwan, dan ia diseludup secara haram terutamanya bentuk pil tu.

Takde masalah nak ikhtiar; penjarakkan fizikal dan selalu cuci tangan dengan sabun jugak dianggap ikhtiar. Bila kita nak ikhtiar, kita kena pastikan jugak bahawa ahli dalam bidang tu dah iktiraf dan syorkan ambil ubat tersebut. Banyak perkara sebenarnya yang harus diteliti oleh pihak KKM sebelum nak iktiraf sesuatu ubat, bahkan kita jugak pernah dikritik lambat beri kelulusan vaksin hanya kerana kita meneliti semula aspek keselamatan sesebuah vaksin sebelum diagihkan kepada rakyat.

ivermectin pil
Kalau nampak ada orang jual Ivermectin dalam bentuk pil, lazimnya ia diseludup secara haram.. -Via PQ Community Facebook

Kita jugak macam negara lain, nak kembali ke zaman normal pra-Covid ni. Akan tetapi, dalam usaha kita nak kembali semula ke zaman tersebut… kita kenalah terus bersabar dan kekal tenang, tak terburu-buru ‘menambah’ beban kepada hospital. Kalau KKM masih tegaskan bahawa Ivermectin belum diiktiraf selamat untuk manusia, maka kita teruskan hidup tanpa mengambil tindakan sendiri untuk telan Ivermectin ni. Terus amalkan prinsip norma baharu yang terbukti mencegah Covid-19, daripada korang susah-susah nak cari ubat yang belum terbukti selamat.

Keputusan kajian ubat Ivermectin untuk digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 akan diketahui pada September ini. Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba memutuskan bahawa kita patut tunggu sehingga kita peroleh keputusan kajian ‘randomised control trial’, selepas digesa oleh Sivarasa Rasiah, ahli pembangkang PH-Sungai Buloh semasa sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu. Oleh demikian, tunggulah dulu sehingga KKM maklumkan… barulah korang boleh ambil tindakan. Bila dah diiktiraf sah, korang lebih mudah dapatkan ubat Ivermectin dengan harga yang lebih berpatutan kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *