Life of Pi dan isu Rohingya, lelaki berbangsa Cina ni berikan pandangan tersendiri

F1

Sejak akhir-akhir ni perbahasan tentang Rohingya semakin panas, kami pun dah tulis artikel berkenaan isu Rohingya ni, kalau korang belum baca – hahh, baca kat sini. Sambil kami tengok beberapa pandangan berkaitan masyarakat Rohingya, kami terjumpa satu artikel yang menarik.  Artikel ni ditulis seseorang yang berbangsa Cina (nanti kami beritahu siapa) dengan tulisan bahasa Melayu yang baik.

Dia jugak bangkitkan beberapa persoalan yang masuk akal tentang sikap masyarakat kita menangani isu Rohingya ni…

Kisah pelarian Rohingya mengingatkan kita kepada cerita Life of Pi yang penuh dengan emosi

Ketika bot pelarian Rohingya masuk ke perairan Malaysia pada tahun 2015, tercetusnya perdebatan dalam kalangan masyarakat Cina; sama ada negara kita bertanggungjawab untuk beri suaka politik kepada mereka. Situasi ni mengingatkan penulis terhadap filem berjudul Life of Pi yang ditayangkan pada tahun 2012.

Berkocak emosi apabila watak utama filem tu, Pi terpaksa bertarung dengan nasibnya di atas rakit bersama seekor harimau. Dahaga dalam kepanasan, lapar dalam kesejukan, malah takut dalam kesepian, dan pasrah dalam kekecewaan.

Mata berair, hidung berhingus jadi pengalaman sesetengah penonton dalam panggung wayang, walaupun ia sekadar lakonan dalam filem. Jadi penulis sedikit tercengang dengan perubahan sikap dalam kalangan sesetengah orang – apabila ribuan Pi muncul dalam realiti hidup, hati kita pula dingin dan kaku, seolah-olah tanpa sehiris belas kasihan.

Kondisi Pasar Induk Tawau
Via Maddox Tan

“Kalau kau bersimpati dengan mereka, ambillah seorang dua untuk dibawa ke rumah kau. Inilah kalimat paling “win” untuk mematahkan hujah mereka yang menyokong agar bantuan dihulurkan kepada pelarian Rohingya atas nama kemanusiaan.”

Apa yang lebih memeranjatkan, di antara yang bermegah dengan kalimat tu adalah pencinta binatang yang dakwa dirinya titiskan air mata ketika berlakunya penembakan anjing liar oleh pihak berkuasa tempatan. Tidakkah pernah mereka bertanya kepada diri sendiri – kalau bersimpati dengan haiwan yang ditembak tu, mengapa tak ambil seekor dua untuk dibawa pulang ke rumah sendiri?”

Kondisi Pasar Induk Tawau
Via MyNewsHub

Penulis terkejut apabila ada yang ulangi kalimat ni dalam perdebatan isu Rohingya ni, terutamanya dalam kalangan Muslim-Melayu, yang barangkali sesetengah mereka, pernah menghadiri himpunan solidariti ummah untuk Rohingya pada tahun 2016.

Pernahkah kalimat ini diajukan kepada mereka yang bersimpati dengan pelarian Palestin, “Kalau belas kasihan anda melimpah, ambillah seorang dua pelarian Palestin untuk dibawa ke rumah anda.”

Kita boleh bahaskan mekanisme penerimaan/penolakan masyarakat Rohingya secara kritikal, tanpa perlu memaki hamun

Sesetengah Muslim-Melayu turut berhujah masyarakat Rohingya sebagai etnik yang berperangai buruk, kejam dan tak bersyukur. Bukankah alasan ni boleh halalkan penindasan kerajaan Myanmar terhadap mereka? Jika hujah pelarian asing gagal sesuaikan diri dengan budaya tempatan terpakai, bukankah kita munafik apabila menyeru negara Barat buka pintunya kepada pelarian muslim dari Syria, Palestin dan sebagainya?

Kondisi Pasar Induk Tawau
Via SAYS

Ketika negara dilanda penularan wabak Covid-19, yang bakal disusuli dengan kemelesetan ekonomi yang akan membawa kepada keterbatasan sumber, keutamaan perlu dikenal pasti. Peruntukan untuk selesaikan masalah kebuluran pelarian Rohingya, boleh akibatkan ketidaksampaian bantuan kepada golongan tertentu dalam masyarakat Malaysia sendiri.

Bukan setakat masyarakat Rohingya yang perlu diasuh, tapi masyarakat Malaysia juga perlu dididik untuk terima kedatangan sekumpulan manusia yang “asing”. Mengapa wujud “pelarian”? Mengapa mereka datang ke sini? Apakah hubungan mereka dengan kita? Apakah tanggungjawab kita sebagai manusia? Bagaimana kita tak takut dan dendam kepada mereka? Kesemua ini adalah topik besar untuk memupuk kesedaran sivik dalam masyarakat kita.

Sentiasa ada benda baru untuk kita belajar. Via Giphy

Topik-topik seperti ni dah diterapkan dalam pendidikan sivik di Jerman, mempersiap-sediakan warganya untuk berhadapan dengan kedatangan pelarian. Oleh sebab tu, jika kita tak mampu dari segi syarat ekonomi, atau sistem perubatan untuk tampung beban pada saat ini, maka kita terpaksa mohon maaf untuk tolak mereka, tanpa perlu kita maki hamun dan hina mereka sebagai sampah.

Kita seharusnya rasa kesal dan rasa bersalah, dan doakan agar pelayaran mereka ke destinasi seterusnya dipermudahkan, dan bukannya menyarat bot yang terayun-ayun itu dengan sumpah seranah kita.

Kondisi Pasar Induk Tawau
Himpunan Solidariti Ummah yang pernah berlangsung satu ketika dulu. Via FMT

Tiada manusia yang dilahirkan dengan sifat baik atau jahat, keadaan sekeliling banyak mempengaruhi

Manusia tak dilahirkan jahat, begitu juga manusia tak dilahirkan mulia. Nilai pegangan dan tingkah laku seseorang hakikatnya dibentuk melalui proses sosialisasi. Bagaimana seorang kanak-kanak Palestin boleh berdendam dengan seorang budak Israel, seandainya tak diasuh dalam suasana “nenek-moyang kita dibunuh kejam oleh tentera Israel”? Begitu juga sebaliknya.

Dendam menjadi reaksi kepada kejam. Kekerasan dijawab dengan keganasan. Sifat-sifat yang dilentur sejak rebungnya, tak mudah untuk ditegakkan kembali. Bukan untuk halalkan kejahatan mereka, tetapi untuk memahami bagaimana reaksi manusia ketika tersepit dalam kesempitan, sebagaimana kita menyelami jiwa Pi sepanjang pengembaraannya di laut.


Artikel ini diambil dan disunting dari artikel Rohingya: Kebinatangan, kemanusiaan dan ketuhanan tulisan Lim Hong Siang yang diterbitkan oleh MalaysiaKini. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *