Kalau dulu-dulu, media cetak macam surat khabar dan media televisyen arus perdana sentiasa jadi pilihan sekeluarga lepas saban hari mencari nafkah. Lepas era semuanya di hujung jari ni pula, nampaknya perkembangan media massa khususnya akhbar semakin merundum kerana lebih ramai yang bergantung pada saluran media sosial seperti Facebook.
Kalau saluran media televisyen pula, saluran penstriman video seperti Youtube dan Netflix turut menggugat kepentingan media televisyen ni.
Media Prima pun dah mula kena kecilkan operasi…
Lepas kisah Utusan yang hentikan operasi beberapa bulan lalu, satu lagi saluran media besar yang dilihat turut mengekori tindakan Utusan yang melepaskan lebih ramai pekerja sejak tahun lalu. Menurut laporan Rnggit.com, Media Prima Berhad tengah pertimbangkan pemberhentian pekerja buat kali kedua. Sebenarnya mereka dah pun mula kecilkan operasi sampai ada insiden minta campur tangan Kerajaan.
Pada November 2018, seramai 190 orang pekerja teknikal diberhentikan kerja lepas diberi notis 3 bulan untuk mempertimbangkan pengurangan gaji. Manakala 43 orang lagi ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela Secara Bersama (MSS). Keputusan pemberhentian kerja tersebut pernah dibantah oleh Kesatuan Sekerja Kakitangan TV3 kerana tak bincang dulu dengan wakil kesatuan antara pekerja dan majikan.
Baru-baru ini pula, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) NSTP dah buka mulut dan mengiyakan khabar bahawa tindakan pemberhentian pekerja Media Prima tu tak berakhir setakat tahun lalu je. Bukan hanya TV3 kena, malah New Straits Times Press kini jadi sasaran pengecilan operasi Media Prima.
“Ia akan melibatkan setiap jabatan termasuk kakitangan, ‘bosses’ serta pihak pengurusan. Ada unit yang akan dikecilkan dan ada unit yang akan ditutup,”- Wakil Kesatuan Wartawan Kebangsaan, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Selain kewangan, faktor politik jadi pemusnah…
Memang wujud desas desus yang menyatakan Media Prima akan berhentikan lebih ramai pekerja lagi, dengan anggaran seramai 1,500 pekerja dari Kumpulan Media Prima, termasuk 300 kakitangan di TV3. Maklumat ini dikongsi oleh Khaidir Ahmad, Presiden Alam Malaysia dalam sebuah tulisan di Facebook peribadinya tahun lalu dan kemudiannya dilaporkan oleh The Reporter.my.
Dia tak tolak selain dari faktor kewangan syarikat tu sendiri, wujud juga faktor politik di mana sebelum ni, dikatakan ramai yang pro kepada kerajaan terdahulu. Memetik kenyataannya;
“Sepatutnya mantan macai-macai kleptokrasi yang kononnya sudah ‘swing 360 darjah; itulah yang sepatutnya dibuang dahulu. Mereka hanya kuda tunggangan politik yang hanya pandai main wayang politik, sedangkan sejarah kegemilangan TV3 sebagai saluran TV swasta pertama negara suatu ketika dahulu bukan kerana berita politik. Tetapi kerana berita-berita eksklusif yang menambat hati rakyat.”- Khaidir Ahmad, Mantan Ketua Pengarang TV3, seperti yang dilaporkan oleh The Reporter.my
Hmm… macam tak jauh beza juga dengan keadaan Utusan dulu, betul tak? Yang merana kelak adalah para pengamal media dan kakitangan yang sebelum ni setia jadi tulang belakang nak kuatkan syarikat mereka. Bukan Lembaga Pengarah, bukan jugak pemegang lesen syarikat.
Tukar model bisnes baharu biar selari dengan peranan dan zaman…
Susulan kedua-dua kes syarikat media yang dah berhentikan ramai pekerja pada beberapa tahun ni buatkan kita nampak sendiri bahawa dunia perniagaan ni tak mudah sebenarnya. Apatah lagi apabila perniagaan tu bergantung dengan peredaran teknologi zaman, jumlah pengguna yang secara tak langsung menyokong kewangan syarikat dan peranan perniagaan tu dalam kalangan masyarakat.
Kami harap perkara ni akan dapat diselesaikan dengan baik antara Media Prima dan para kakitangan yang terlibat secara adil dan saksama. Untuk pengetahuan korang, Media Prima adalah pemegang 100 peratus kepentingan ekuiti dalam TV3, NTV7, 8TV dan TV9 serta pemilik The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad yang merupakan penerbit terbesar tiga akhbar nasional Malaysia iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.
Dunia media ni sepatutnya bebas dari campur tangan politik, terutamanya buat saluran media yang memang dah lama sejarahnya dan membawa kenangan nostalgik kepada rakyat. Sebagai sebuah syarikat pula, mereka dah jadi sumber rezeki ribuan pekerja dan sudah pasti pengecilan operasi menuju model bisnes baharu akan menganggu sumber periuk nasi keluarga mereka.
Sebagai syarikat media pula, kita boleh menjangkakan banyak perubahan yang akan dilakukan selepas ni, khususnya dalam peralihan penerbitan ke media digital.