Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 5 Ogos 2019. Ia kemudian diterbitkan semula pada 27 Ogos 2020.
Beberapa tahun lalu, 12% daripada kanak-kanak yang telah melaporkan diri ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) adalah bukan pelajar Cina. Ia kemudian semakin meningkat sehingga hampir 20%. Malah, dalam beberapa kes seperti di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Lubok China, Melaka; dan lain-lain, majoriti pelajarnya adalah bukan berbangsa Cina.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa SJKC semakin popular? Ada banyak faktor kenapa ibu bapa kini lebih memilih SJKC berbanding sekolah kebangsaan (SK) sebagai tempat anak mereka menimba ilmu. Salah-satunya pastilah kerana dasar keterbukaan yang diamalkan di negara ini, di mana ibu bapa bebas untuk memilih sekolah yang mereka rasakan terbaik untuk anak masing-masing.
Timbulnya kesedaran terhadap pentingnya anak-anak untuk fasih dalam bahasa Mandarin
Kesedaran terhadap pentingnya anak-anak untuk fasih dalam bahasa lain seperti Mandarin, serta prestasi murid SJKC yang lebih cemerlang, turut jadi penyumbang. Selain berkomunikasi, mereka percaya kebolehan fasih dalam lebih daripada dua bahasa (Melayu dan Inggeris) kelak, boleh diaplikasikan untuk kegunaan dalam kehidupan dan kerjaya mereka pada masa hadapan.
Tempoh 6 tahun yang dilalui menjadikan dua pelajar lepasan SJKC lebih kuat dan mampu berdikari. Nurhashekin Abd Ghani (33 tahun) dan E. Nasaruddin (51 tahun) menyatakan bahawa penyertaan mereka ke sekolah tersebut jadikan mereka lebih bersedia dalam melalui kehidupan di universiti dengan cemerlang, meskipun berdepan dengan pelbagai persaingan. Nurashekin, seorang guru bahasa Mandarin dari Segamat merupakan bekas mahasiswi dari UiTM.
Meskipun dibebani banyak kerja sekolah pada setiap masa, dia tetap berusaha menyiapkannya, walau ketika cuti sekolah dan merasa tertekan. Kepayahan di SJKC tersebut menjadikan dia mampu berdepan dengan tekanan belajar serta peperiksaan di kampus, sehingga mampu lulus dengan jayanya.
Malahan ketika sesi kuliah, Nurashekin menyatakan bahawa dia tak mempunyai masalah untuk menyiapkan serta menghantar tugasan yang diberikan oleh pensyarah, pada keesokan harinya, meskipun diberikan tempoh yang lebih panjang. Dia belajar di SJKC bagaimana untuk meningkatkan disiplin diri serta menguruskan masa, selain rotan yang menjadi kebiasaan di sekolah itu, jika gagal menyiapkan tugasan atau melanggar disiplin.
Dia turut menyertai pertandingan bercerita di sekolahnya, dan sering mendapat tiga tempat teratas. Rakan-rakan sekelasnya yang lain akan turut meraikan kejayaannya.
Buddy system di SJK, bukti rakyat saling memerlukan di antara satu sama lain
Nasaruddin pula menyatakan bahawa SJKC bukan hanya mendedahkan dia kepada ilmu akademik, malah tentang kehidupan, kematangan serta bagaimana untuk berfikir di luar kotak. Nasaruddin merasakan bahawa dia lebih rasa dibuli sewaktu belajar di sekolah menengah kebangsaan, kerana dituduh komunis, selepas lulus dari SJKC. Di SJKC, dia menyatakan bahawa sekolahnya mempunyai ‘buddy system’ di mana kaum lain akan diletakkan bersama seorang pelajar berbangsa Cina.
Rakan Cina ini akan mengajar kawan Melayunya untuk fasih bahasa Mandarin, sementara dia pula belajar bahasa Melayu. Jika pelajar Melayu itu gagal mencapai keputusan cemerlang dalam bahasa Mandarin, rakan Cinanya itu akan dirotan. Selain tu, dia mengatakan bahawa silibus di sekolah Cina lebih maju berbanding sekolah kebangsaan pada lewat 1970an dan awal 1980an. Kementerian Pendidikan telah menyeragamkan silibus sekolah kebangsaan dan SRJK pada 1990an.
Nasaruddin dan Nurhashekin adalah antara pembentang ketika forum yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina KL-Selangor (KLSCAH) untuk menerangkan salah faham terhadap sekolah Cina di Malaysia. Panelis ketiga, Rosly Yusof (47 tahun) yang menghantar seorang anaknya ke SJKC, memaklumkan bahawa memandangkan inegrasi kaum sudah sebati di Pulau Pinang, ia menjadi sesuatu kebiasaan untuk menghantar anak perempuannya ke sana.
Forum ini dianjurkan oleh badan masyarakat madani (CSO) iaitu ‘Saudara’, dan dimoderatorkan oleh Lim Hong Siang. Sistem pendidikan vernacular Cina sering ditentang oleh sesetengah kumpulan dan parti politik, meskipun dipelihara oleh Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan. Ia dilihat sebagai penghalang kepada integrasi serta perpaduan nasional.
Pada Muktamar PAS di Pahang baru-baru ini, sayap wanita parti itu menggesa agar sekolah vernakular Tamil dan Cina dihapuskan.
Faktor yang mendorong ibu bapa menghantar anak ke SJKC, salah satunya kerana prasarana yang lebih lengkap
Antara faktor yang mempengaruhi ibu bapa menghantar anak mereka ke SJKC adalah disiplin murin yang terkawal, serta kemudahan prasarana di SJKC yang lebih baik dan lengkap. Pengurusan sekolah yang lebih cekap, baik dan tersusun juga menjadi pertimbangan, di mana prestasi dan perkembangan pelajar dimaklumkan kepada ibu bapa secara terperinci. Apalagi jumlah pelajar di SJKC lebih sedikit berbanding SK, membolehkan tumpuan yang lebih dapat diberikan.
Faktor kewangan dan dana yang besar juga menyumbang kepada kecemerlangan SJKC, di mana ia melicinkan urusan pentadbiran serta pengurusan. Inilah kekuatan SRKC – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang benar-benar hidup dan berfungsi, sehingga mampu mendanai sekolah.
Kecemerlangan kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik juga menjadi salah satu faktornya, kerana sistemnya berbeza berbanding SK. Kesatuan serta komitmen yang diberikan oleh ibu bapa, pengurusan sekolah, serta para guru terhadap kepentingan untuk menguasai mata pelajaran itu, menjadi nilai tambah dan pendorong kepada para pelajar. Ia dilakukan secara konsisten dan bukan hanya ketika menghadapi peperiksaan (bukan secara berkala). Latih tubi ditekankan secara lebih serius di SJKC.
Tips buat ibu bapa yang rasa nak menghantar anak ke SJKC, perlu hantar anak-anak ke sekolah tadika yang ditempatkan SRKJC
Ibu bapa digalakkan terlebih dahulu menghantar anak-anak ke sekolah tadika yang ditempatkan di SRKJC di mana diniatkan mahu anak-anak mereka belajar kelak. Ini bagi memudahkan proses transisi anak-anak mereka. Anak-anak perlu mempunyai asas Mandarin serta sijil tadika Cina. Ini bagi membolehkan mereka bersedia dengan suasana di SJKC.
Kumpulan sokongan (support group) adalah sangat penting untuk para ibu bapa saling membantu antara satu sama lain. Memandangkan soal disiplin sangat dititikberatkan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka sentiasa dalam keadaan yang bersedia dan lengkap sebelum ke sekolah. Sudah tentu, pengorbanan masa, wang ringgit serta tenaga sangat dituntut daripada para ibu bapa.
Dalam hal makanan, ibu bapa yang beragama Islam boleh menyediakan bekal untuk anak mereka. Sekiranya ada majlis aktitivti anjuran sekolah, para ibu bapa perlu bekerjasama sesama mereka dan berbincang untuk menyediakan makanan halal bagi pelajar. Kebiasaannya, pihak sekolah yang akan menanggung bayaran penyediaan makanan. Anak-anak juga mesti diberikan pendidikan asas Islam yang sewajarnya, sesuai dengan usia mereka, memandangkan tidak semua SJKC mempunyai KAFA.
Ada gesaan untuk menghapuskan sekolah vernakular, tapi ia tak akan berhasil jika sekolah kebangsaan tidak diperkasakan
Baru-baru ni, ada gesaan untuk hapusankan sekolah vernakular oleh Ketua Pemuda Bersatu Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menunjukkan bahawa dia hanya mahu mempolitikkan pendidikan. Bagi Jurucukap Pendidikan Parti Keadilan Rakyat, YB Nik Nazmi, dia menyedari kewujudan sekolah vernakular jadi cabaran untuk pembinaan negara di Malaysia. Dalam kenyataannya dia berkata;
Saya secara peribadi telah memilih untuk menghantar anak saya ke sekolah kebangsaan. Saya yakin aliran nasional adalah jalan terbaik untuk mewujudkan Bangsa Malaysia. Cuma, saya percaya pada pilihan ibu bapa. Saya percaya pilihan terletak di tangan ibu bapa – dan bukannya birokrat, lebih-lebih lagi ahli politik yang ada kepentingan peribadi. Pandangan ibu bapa tentang bagaimana mereka mahukan anak-anak mereka dididik perlu didengar.
Perlu juga diakui bahawa pada tahun 2016, 18% pelajar di SJKC bukan berbangsa Cina, sementara sebaliknya, hanya 3% di SK adalah bukan Melayu. Terdapat SJKC yang majoriti pelajarnya tidak berbangsa Cina. Sebilangan besar ibu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular Cina apabila mereka tak mampu mendapatkan sekolah antarabangsa tetapi mahukan pendidikan berkualiti, dan yang kedua belajar bahasa Mandarin. Bukankah pilihan ibu bapa ini juga harus dihormati?
Bagi Nik Nazmi, jalan terbaik untuk pendidikan di Malaysia adalah memperkukuhkan sekolah kebangsaan untuk menjadikannya pilihan pertama semua ibu bapa Malaysia tanpa mengira kaum atau darjat. Kita tak harus keliru dengan gesaan “menutup sekolah vernakular” sebagai “memperkuat sekolah kebangsaan”. Kedua-duanya bukan perkara yang sama.
Menutup sekolah vernakular tanpa meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan tidak akan membantu meningkatkan kualiti pendidikan atau perpaduan nasional. Pendidikan adalah aspirasi. Ia harus menjadi perlumbaan ke puncak. Ketika Singapura menutup sekolah vernakular Cina, Tamil dan Melayu, mereka melakukannya dengan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan, dan majoriti besar setiap komuniti – Cina, India dan Melayu – menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan Singapura.
Fokus sebaliknya haruslah mengenai peningkatan gaji guru, keadaan kerja guru sekolah kebangsaan, memperbaiki kemudahan, mengemaskini kurikulum dan menghapuskan campur tangan politik. Lebih-lebih lagi, pendukung idea anti sekolah vernakular secara senyap-senyap membisu mengenai keberadaan dan percambahan sekolah antarabangsa yang berterusan di Malaysia. Bukankah institusi seperti itu juga merupakan “ancaman” terhadap perpaduan nasional dan kedudukan bahasa Kebangsaan?
Jalan ke depan untuk pilihan ibu bapa, ia memerlukan perancangan yang rapi. Jika cemerlang boleh memohon asrama penuh
Menghantar anak ke SJKC memerlukan perancangan yang rapi agar ia tidak menimbulkan masalah kepada anak dan ibu bapa. Penting untuk dinyatakan di sini bahawa pelajar SJKC tidak boleh menyambung pelajaran sekolah menengah di sekolah berasrama penuh. Namun, sekiranya pelajar mendapat 5A di dalam peperiksaan UPSR, pelajar boleh memohon masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Setiap ibu bapa pasti akan memilih yang terbaik untuk anak, lebih-lebih lagi yang berkaitan pendidikan.
Justeru, pihak kerajaan seharusnya dapat mempertingkat serta memperkasakan lagi SK supaya menjadi pilihan ibu bapa daripada semua kaum untuk menghantar anak mereka belajar di sana. Tanpa menafikan Sk yang cemerlang seperti sekolah kluster yang mempunyai pencapaian akademik, sukan dan seni yang bagus, perubahan yang lebih progresif perlu dilakukan kepada sukatan pelajaran kebangsaan.