Kuasa dan peranan orang muda tak pernah berhenti singgah dari wacana tentang negara dan arah kemajuannya. Kita sering bincang pasal kekuatan dan kemenjadian orang muda sekarang, jadi relevanlah andainya kita risau bila tengok sisi dan sikap orang muda masa kini. Orang muda kerap ditegur ‘manja’, terlalu pentingkan berhibur dan kurang peduli pada situasi politik negara.
Namun sebenarnya, ramai yang terlepas pandang bahawa orang muda ni lah yang mencatur dan mewarnai senario demokrasi tanah air. Sementara ramai masih pandang serong terhadap sikap orang muda, kami nak bawa korang imbau semula sejarah orang muda jadi wakil rakyat. Dulu kami dah sebut wajah baharu yang bersuara wakili masyarakat, kini bagaimana jika masyarakat sendiri pilih diorang jadi wakil harapan setempat?
1. Mahathir jadi wakil rakyat pun ketika umur bawah 40 tahun
Pada hari ni, kita mengenali Dr. Mahathir yang dah cukup berusia. Dah tua pun, tetap ada bisa. Di sebalik pelbagai gelaran yang dilemparkan terhadapnya, kita tak boleh padam sejarah tentang bagaimana Mahathir membentuk pengaruhnya sebagai sorang negarawan yang dikenali satu dunia. Mahathir lahir pada tahun 1925, dan pernah membesar di kala Tanah Melayu sedang dijajah British dan Jepun.
Dia sangat aktif dalam UMNO, dan menjadi penulis prolifik dari dulu hingga kini. Dia ada buku, ada blog, pernah menulis dalam kolum akhbar dan menulis surat demi menyatakan pendirian vokalnya. Oleh sebab tu, dia boleh dikatakan antara tokoh politik yang paling banyak merekodkan idea-idea dan pemikirannya sampai ke hari ni. Pertama kali dia bertanding adalah di Kota Setar, dan berjaya tewaskan calon PAS pada 1964.
Ini bermakna pada waktu tu, dia baru berumur 39 tahun semasa jadi wakil rakyat. Masa tu, dia menang dengan majoriti 60.2%. Tetapi pada pilihan raya seterusnya iaitu pada 1969, dia ditewaskan oleh Haji Yusof Rawa. Dia kembali jadi wakil rakyat selepas keputusan menang tanpa bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974. Dari situ, karier politiknya terus pecut jadi PM ke-empat iaitu selepas Datuk Hussein Onn sendiri namakan Mahathir sebagai penggantinya pada 1981.
2. Tiga wakil rakyat ni rupanya lebih muda dari umur Anwar Ibrahim jadi YB
Anwar Ibrahim, ketua pembangkang dan kini masih lagi kekal reputasinya sebagai wajah KEADILAN pada hari ni. Namun tahukah korang, Anwar sendiri sah jadi wakil rakyat hanya pada usia 35 tahun? Dulu, pasangan Mahathir-Anwar dilihat sebagai harapan baharu zaman 80-an. Anwar Ibrahim sangat popular pada masa tu, khususnya bila diperhatikan sejarah penglibatan dan pencapaian dirinya sebelum dia jadi wakil rakyat.
Anwar Ibrahim terjun ke dunia politik dengan bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh atas tiket UMNO pada 1982. Ini menjadikan usia Anwar ketika tu, 35 tahun. Bagaimanapun, takdir sejarah melakarkan Anwar sebagai ketua pembangkang bermula 2008. Antara tiga lagi barisan wakil rakyat yang setahun lebih tua dari Anwar sewaktu memegang gelar wakil rakyat adalah Rafizi, Nik Nazmi dan Isnaraissah Munirah.
Rafizi, Nik Nazmi dan Isnaraissah Munirah jadi wakil rakyat pada umur 36 tahun. Rafizi berjaya menang kawasan parlimen Pandan pada 2013 manakala Nik Nazmi menggegarkan kubu tunggal BN di kawasan Parlimen Setiawangsa pada 2018. Isnaraissah Munirah juga berjaya tewaskan calon kubu BN di Kota Belud, Sabah atas tiket parti Warisan dalam PRU14.
3. Kelvin Yii dan Young Syefura baru nak masuk usia awal 30-an, tak segan berkhidmat
Selain para wakil rakyat yang dah nak menginjak usia 40-an, ada jugak yang baru je masuk angka siri 30. Dua wakil rakyat yang kami boleh sebut adalah Kelvin Yii dan Young Syefura. Kedua-duanya dari parti DAP, dan lantang membuktikan bahawa orang muda jugak mampu bawa isu-isu masyarakat di peringkat Parlimen.
Rara dan Dr. Kelvin Yii bersama-sama dipilih menjadi wakil rakyat semasa PRU14. Rara, atau Syefura Othman masa tu baru berusia 28 tahun dan mengakui kemenangan yang diraih tu merupakan tanggungjawab yang besar. Sebelum ni, dia pernah pegang jawatan Ahli Majlis Perbandaran Kajang dan pada 2018, dia bertanding di bawah tiket PKR. Sekarang dia dalam DAP, dan merupakan timbalan DAPSY Kebangsaan.
Kelvin Yii pula menang bertanding untuk kerusi Parlimen Bandar Kuching pada 32 tahun, selepas menumpaskan calon BN ketika tu, Kho Teck Wan. Dia menang selesa dengan kelebihan lebih 30,000 undi. Dia jugak menang selaku Ketua Jawatankuasa Eksekutif DAPSY dalam pemilihan yang dilangsungkan Mac lalu. Rara sekarang timbalan Kelvin Yii dalam DAPSY.
4. Wakil Muda tampilkan calon bawah 30 tahun, tak jauh beza dengan parti lain
Tentulah, kita tak boleh kesampingkan pengaruh parti baharu di bawah pimpinan Syed Saddiq yang berimpian untuk mantapkan lagi penglibatan anak muda dalam politik. Ciri perbezaan yang selalu diterangkan oleh parti tersebut adalah diorang takde sayap-sayap pemuda; dioranglah parti yang diterajui sepenuhnya oleh orang muda.
PRN Johor baru-baru ni menyingkap bagaimana kekuatan Muda di arena undi. Walaupun ada sedikit pertelingkahan antara Muda dan kem pembangkang yang lain, diorang tetap mampu menempatkan calon diorang sebagai wakil rakyat. Amira Aisya Abd Aziz menang selesa di kerusi DUN Puteri Wangsa, dengan majoriti 7,114 undi mengalahkan lima pencabar lain.
Amira Aisya dan Syed Saddiq merupakan antara pengasas bersama parti Muda. Ketika tu, Syed Saddiq masih lagi bergelar ahli Parlimen Muar selepas menang di atas tiket Bersatu semasa PRU14 lepas. Dia baru berumur 25 tahun, berani mencabar penyandang kerusi Muar selama tiga penggal, Datuk Seri Razali Ibrahim. Amira Aisya pulak jadi wakil rakyat semasa berumur 27 tahun.
5. Prabakaran unggul pegang rekod YB termuda, pecah rekod Najib dulu
Setakat ni, belum ada lagi yang dapat memecahkan rekod yang dipegang oleh Prabakaran Parameswaran. Bukan hanya calon termuda, tetapi dia jugak tengah dalam pengajian ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan bertanding atas tiket Bebas pada 2018. Diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya masa tu, Anwar Md Zain; Prabakaran menang kerusi Parlimen Batu, mengalahkan calon BN (Dr. Dominic Lau Hoe Chai), PAS (Azhar Yahya) dan calon Bebas lain, Datuk V M Panjamothy.
Kemenangan Prabakaran turut berjaya padam rekod Najib Razak sebelum ni. Pada 21 Februari 1979, Najib Razak jadi wakil rakyat termuda apabila menang kerusi Parlimen Pekan semasa umurnya baru 23 tahun. Menurut Harian Metro, kemenangan Prabakaran ni dibantu oleh para pengundi PKR yang sebelum ni isytiharkan beri sokongan sepenuhnya disebabkan Tian Chua tak lepas syarat bertanding. Dia kena denda mahkamah sebanyak RM2,000.
Dengan pengenalan Undi 18, boleh jadi pada masa hadapan kelak… kita bakal ada wakil rakyat yang lebih muda dan bakal pecahkan rekod usia Prabakaran iaitu pada 22 tahun. Dalam gambaran yang lebih jauh, usia tak pernah menghalang seseorang untuk menjadi wakil rakyat. Kami percaya ramai lagi yang kami tak sempat sebut, namun nama-nama ni cukup glamer dan memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berani membawa suara rakyat.